FALSAFAH MELAYU DALAM KARYA AGUNG

FALSAFAH DALAM KARYA TUHFAT AL-NAFIS


Falsafah Keislaman


Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi.


            Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat. Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan.


“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)


Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:


“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)


Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.


“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)


Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.


“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)


Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.


“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)


Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.


“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)


Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.


Falsafah Adat Istiadat


Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk. Selain itu juga adat istiadat merupakan bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam.


           Adat istiadat berlaku kerana diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun adat istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup manusia.Pengarang Tuhfat al-Nafis, iaitu Raja Ali Haji turut menyelitkan akan kemunculan adat-adat Melayu pada ketika itu. Beliau menyatakan bahawa, Sultan Muhammad Syah merupakan raja Melayu yang pertama memperkenalkan adat-adat dalam masyarakat Melayu.


“Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah inilah Raja Melayu mula-mula meletakkan adat-adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar maka tiga perkara itu boleh. Dan demikian lagi larangan membuat rumah beperangin dan tiang beralas tidak terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun melainkan dengan anugerah raja jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan kepada anak-anak raja jua. Dan jika mengadap raja di balairung, jika Raja Muda duduklah di seri balai, demikian lagi Bendahara dan Temenggung dan Indera Bungsu dan segala menteri-menteri daripada raja-raja di seri balailah kedudukannya. Dan lagi beberapa adat istiadat yang tersebut pada siarah yang panjang-panjang.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)


Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca akan punca bagaimana tercetusnya adat istiadat dalam golongan diraja seperti penggunaan warna kuning yang dikhususkan untuk golongan diraja dan penggunaan balairung dan seri balai ketika mengadap sultan dan raja muda. Apa yang hendak disampaikan oleh pengarang adalah supaya pembaca melihat dan mengetahui akan adat istiadat dan seterusnya memberi gambaran bahawa terdapat keistimewaan tersendiri bagi golongan atasan atau raja pada ketika itu.


Falsafah Etika


Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Raja yang berjiwa rakyat merupakan salah satu tingkah laku yang merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja yang berjiwa rakyat merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Hal ini demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’ melihat kehidupan yang dilalui rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun ditonjolkan dalam karya Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Contohnya adalah seperti berikut:


“Syahadan apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka menggantikan kerajaannya puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda itu sangat suka mengawali negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri, dan beberapa kali ia membunuh penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan menghukumkan dengan adil dan bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan harta benda orang.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 7)


Pengarang memaparkan kepada pembaca akan sikap seorang raja pada ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga keselamatan rakyat tanpa bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut menyelitkan corak pemerintahan yang dibawa pada ketika itu merupakan corak pemerintahan yang adil yang diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang digambarkan oleh pengarang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika atau tingkah laku yang baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman sekarang yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi. Selain memaparkan tingkah laku seorang raja yang berjiwa rakyat, raja yang adil dan benci akan perbuatan yang melanggar norma hidup manusia, karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu Tuhfat al-Nafis pengarang turut menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat diraja yang melanggar norm atau etika sebagai seorang manusia. Contohnya:


“Maka itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda itu juga. Maka tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu membuat negeri di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya, akan tetapi tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang besar-besar, serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas orang tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu diracunnya puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah enam keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”


(Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)


Melalui petikan di atas, pengarang ingin pembaca berfikir dan membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika yang baik dan etika yang buruk. Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca akan sikap yang dibawa atau ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan sering menindas golongan yang berada di bawahnya. Sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa kurang senang dan menimbulkan kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud mengambil tindakan dengan memberi racun kepada anakandanya sendiri. Di sini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang memiliki sikap yang burut dan tidak beretika akan membuatkan orang di sekelilingnya berasa kurang enak dan seterusnya akan ditolak bukan sahaja oleh keluarga sendiri malahan oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini menunjukkan perbezaan antara dua kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika yang berbeza dan pengarang menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap sikap yang dibawa oleh seseorang individu itu.



FALSAFAH DALAM KARYA BUSTAN AL-KATIBIN


Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T


sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:


“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”


Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah. Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.


              Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan. Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:


Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.


FALSAFAH DALAM KARYA SEJARAH MELAYU


Nilai-nilai Feudal


Dalam Sejarah Melayu ada menceritakan amalan feudalisme Melayu. Feudalisme Melayu mengamalkan berbagai-bagai pantang larang untuk mengingatkan rakyat tentang kerendahan martabat mereka (W.G. Shellabear 1975: 74). Raja pada zaman itu sangat zalim manakala rakyat sangat setia kepada rajanya. Malahan ada anak-anak bangsawan memeras wang daripada rakyat (W.G. Shellabear 1975: 62). Terdapat satu peristiwa yang menunjukkan betapa seorang raja itu membenci teguran-teguran ke atas tindak-tanduknya. Apabila raja berkenaan membunuh seorang hamba Allah tanpa sebab-sebab yang munasabah, dengan halus Seri Bija Diraja membayangkan perasaan tidak puas hati.


        Kemudiannya, raja berkenaan telah membunuh Seri Bija Diraja atas alasan-alasan yang tipis. Salah satu daripadanya ialah Seri Bija Diraja lambat datang menyembah raja pada Hari RAYA (W.G. Shellabear 1975: 180, 194, 195). Selain itu, tiadanya sikap toleransi dapat dilihat dalam peristiwa Tun Kadim. Apabila Inderapura dilanggar todak, Tun Kadim berjaya mengatasi masalah tersebut (W.G. Shellabear 1975: 67; Kassim Ahmad 1966: 416 dalam Mohd. Affandi 1994: 62, 63). Walau bagaimanapun, kejayaannya membawa maut apabila Raja membunuhnya kerana dia dianggap terlalu cerdik dan mungkin kelak menggugat kedudukan raja (W.G. Shellabear 1975: 68). Dalam karya ini juga terdapat banyak contoh raja yang zalim. Misalnya Sultan Ahmad menghadapi persaingan dalam usaha menawan hati seorang gadis.


          Dia menyelesaikan masalah dengan memerintahkan seorang pengikutnya membunuh saingannya (W.G. Shellabear 1975: 186, 187). Unsur-unsur kezaliman ini juga terdapat dalam kisah Sultan Mahmud dan Tun Fatimah. Apabila Sultan Mahmud melihat Tun Fatimah buat pertama kali, dia menaruh dendam terhadap Bendahara Mutahir, bapa Tun Fatimah kerana tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepadanya sebelum menjodohkannya dengan lelaki lain. Sultan Mahmud mengambil kesempatan apabila Bendahara Mutahir difitnahkan hendak menderhaka. Dia menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Mutahir, suami Tun Fatimah, dan kesemua anggota keluarga Bendahara Mutahir.


          Kemudian, Sultan Mahmud mengahwini Tun Fatimah (W.G. Shellabear 1975: 246, 247, 252, 253). Sikap Bendaharan mutahir sebelum menjalani hukuman menjadi teladan nilai-nilai feudal. Apabila ahli keluarganya cuba membantah dan menentang, dia melarang dan memarahi mereKa, sejajar dengan sikap taat setia tanpa berbelah bahagi yang dianjurkan oleh fahaman feudal. Dia menegur anaknya, “Hai Hassan, hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah? Kerana adat Melayu, tiada pernah derhaka.” (W.G. Shellabear 1975: 253). Kesan perendahan kemanusiaan Melayu oleh mitos feudal dapat juga dilihat dalam individu-individu yang berjiwa takut dan khuatir. Ketakutan dan kekhuatiran yang menyelubungi jiwa mereka begitu mendalam dan hebat sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana merasakan akan hilang pengikhtirafan raja ke atasnya.


         Contoh ketakutan dan kekhuatiran yang amat patologikal ini dapat dilihat pada peribadi Bendahara Seri Wak Raja. Pada suatu hari, beliau datang lewat ke istana. Sejurus hendak masuk, pintu istana secara kebetulan tertutup di hadapannya. Dia dengan salah merumuskan bahawa raja tentu marah padanya, lalu membunuh diri (Othman Puteh (1994: 248). Itulah yang digambarkan bahawa raja pada zaman dahulu berlaku zalim terhadap rakyat-rakyatnya. Amalan feudal juga telah menjadi satu amalan yang wajib bagi masyarakat pada zaman dahulu. Rakyat yang tidak mengamalkannya pasti akan dibunuh terutamanya apabila melanggar titah raja atau para pemimpin.


Nilai Pendidikan


Menurut Laurent Metzger (2007: 76), satu contoh telah membuktikan bahawa kepandaian atau kepintaran kanak-kanak tidak disanjung tinggi malah kadang-kadang pula ditakuti. Pada awal karya ini diceritakan serbuan ikan todak di Singapura. Kemudian para pembaca diberitahu bahawa orang tempatan cuba menghalang kemasukan ikan todak itu dengan badan mereka. Namun mereka tidak berjaya sehingga seorang kanak-kanak mencadangkan mereka menggunakan batang pisang sebagai tembok supaya ikan todak tidak dapat masuk. Cadangan ini diterima dan memang berjaya menghalang kemasukan ikan tersebut ke Pulau Singapura.




           Walau bagaimanapun, budak itu yang begitu pintar tidak dihormati akan tetapi dibunuh serta-merta oleh kerana beliau dikatakan terlalu pandai dan boleh mengancam kedudukan raja dan para pemimpin Singapura pada waktu itu. Jadi jikalau terdapat seorang yang pintar orang itu ditakuti dan dibunuh. Hal ini menunjukkan bahawa kebijaksanaan dan kepintaran kanak-kanak pada masa itu tidak dipedulikan kerana raja dan pemimpinlah yang paling berkuasa dan tiada seorang pun rakyat yang boleh menandinginya.

No comments:

Post a Comment