Monday, 12 May 2014

GAGASAN PEMIKIRAN TUN SERI LANANG, RAJA ALI HAJI, DAN MOHD RASHID MD IDRIS

PENGUMPULAN JAWAPAN BAGI SOALAN :

Bincangkan gagasan pemikiran Tun Seri Lanang (Sulalatus Salatin), Raja Ali Haji (Bustan Al-Katibin) Dan Mohd Rashid Md Idris (Teori Falsafah Bahasa).

JAWAPAN 1:
Raja Ali Haji merupakan penulis berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan orientalis. Antara beberapa karya beliau yang penting ialah sebuah karya berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil, Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi kanak-kanak yang baru hendak mempelajarinya. Hasilnya merupakan karya kritis mengenai nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857. Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di Penyegat. Karya ini diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land.en Volkenkunde pada tahun 1901.
            Buku yang terdiri daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.
            Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
JAWAPAN 2:
GUGUSAN PEMIKIRAN RAJA ALI HAJI (BUSTAN AL – KATIBIN)
Raja Ali Haji merupakan salah seorang ulama terkemuka di Alam Melayu dalam mempertahankan tradisi Islam dan Melayu.Beliau menerapkan prinsip – prinsip ajaran agama yang diyakini dan dianutnya ke dalam karyanya sebagai hujah dan panduan yang akan mengawal generasi berikutnya dalam mengharungi kehidupan sebagai manusia. Hashim Musa menegaskan bahawa Raja Ali Haji adalah peletak asas pengajian bahasa Melayu pada tempat sebenar iaitu alat untuk memperoleh ilmu yang benar yang akan membawa kepada keyakinan dan ketaqwaan. Berdasarkan falsafah dan pegangan demikian akan lahir manusia Melayu yang beradab sopan, berakal, berbudi bahasa mulia dan berilmu tinggi. Buktinya bahasa Melayu telah mengalami proses Islamisasi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin (halaman 3) :
“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).”
Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa.
Dalam Bustan Al – Katibin,  Raja Ali Haji menulis dan membakukan tatabahasa Melayu dalam Bustan Al –Katibin dan menumpukan jati diri bangsa Melayu dalam buku tersebut. Hal ini juga dipertegaskan oleh beliau dalam muqaddimah Bustan Al – Katibin iaitu mengenai kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perfektif dan tujuan dalam pembelajaran bahasa. Sebagai orang yang mahir dalam bahasa Arab, Raja Ali Haji amat mengetahui pentingnya fungsi bahasa dalam penyampaian misi – misi Islam kepada umat.
Raja Ali haji sangat terkenal dalam bidang bahasa. Beliau telah menghasilkan Bustan al- Katibin pada tahun 1850. Bustan al-Katibin membawa maksud Taman Pujangga-pujangga. Bustan al- katibin merupakan buku tatabahasa Melayu. Buku ini dimulakan dengan pendahuluan, 30 Fasal dan penutupnya. Mukadimah atau pendahuluan Bustan Al Katibin menjelaskan kelebihan ilmu dan akal manakala bahagian isi yang terdiri daripada 30 pasal dapat dibahagikan kepada 3 kelompok iaitu tata ejaan, pembahasan kelas kata dan analisis kalimat. Tata ejaan dimuatkan dalam fasal 1 hingga fasal yang ke 10.
Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
            Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu.
            Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar. 
GUGUSAN PEMIKIRAN TUN SERI LANANG (SULALATUS SALATIN)
Mengikut sejarah, Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615, serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu.Dalam pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah). Tun Seri Lanang dilantik sebagai uleebalang Samalanga yang pertama yang terletak di pesisir timur Aceh pada tahun 1613 dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Samalanga, Aceh.
Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kemahiran mengarang, mengolah dan menulis dengan teliti. Sekiranya dikaji, hanya  bangsa Melayu sahaja yang mempunyai sejarah tentang kehidupan bangsanya masa lalu iaitu Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Sejarah sepatutnya bukan hanya dikenang atau diikuti, tetapi diteladani apa yang baik dijadikan teladan, manakala yang buruk di jadikan sempadan. Inilah yang tersurat dan juga yang tersirat dalam tulisan yang dipaparkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu.
Pengaruh Penyair Usman Awang yang sering membaca dan mengkaji Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang mendapat idea dan terkesan dengan cara penulisannya. Beliau menulis sajak Melayu Johor hasil dan pengaruh daripada pembacaan Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang.
Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kekuatan daya renung, memahami sistem politik dan budaya tradisional pada masa itu dan menerapkan dalam tulisan untuk tatapan generasi masa depan iaitu masa kini. Beliau juga memahami kewibawaan (atau keesahan) kuasa dalam kehidupan istana dan juga kehidupan rakyat jelata. Sebagai penulis beliau dilindungi oleh pihak istana dan mereka yang mempunyai kuasa. Kajian mendapati, kesarjanaan Melayu dimulakan oleh tokoh seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Munshi Abdullah, Mereka ini adalah pelopor dalam persuratan Melayu sejak zaman silam hingga abad ke 20 ini.
Memahami manusia Melayu sejak dari Sejarah Melayu terpancar akal budinya, mengikut alur perasaan dan keindahannya. Ia boleh dijadikan landasan dalam bidang politik, budaya, sosial, ekonomi, sejarah dan juga pendidikan. Justeru, terdapat beberapa persoalan dalam kehidupan bangsa Melayu pada zaman silam yang kini berulang kembali dalam kehidupan masa kini. Membaca Sejarah Melayu seharusnya dijadikan landasan pemikiran politik dan sosial serta tatacara kehidupan masa kini. Peta sastera Melayu Nusantara adalah bertapak dan berasal daripada Sejarah Melayu.
Seorang pengarang seperti Tun Seri Lanang, menulis sejarah bangsanya, maka dipilihnya generasi sejarah, yang juga digolongkan sebagai sastera yang melakarkan perjalanan kerajaan, pergerakan bangsa, peristiwa dan watak penting dalam karya-karya beliau. Dia menjadikan Sejarah Melayu sebagai hasil sastera dan sejarah yang bernilai sebagai khazanah bangsa yang sangat indah bahasa dan penceritaannya.
GUGUSAN PEMIKIRAN MOHD RASHID MD IDRIS (TEORI FALSAFAH BAHASA)
Mohd Rashid Md Idris dalam tesisnya Ph.D beliau (2007) telah mengemukakan sebuah model yang diberi nama “Teori Falsafah Bahasa.” Pada umumnya memperlihatkan hubungan erat antara bahasa dengan pemikiran penuturnya. Mohd Rashid Md Idris & Abu Hassan Abdul (2010 : 17) menyatakan bahawa dalam teori ini terdapat kesempurnaan berbahasa. Kesempurnaan berbahasa dapat dicapai melalui penggunaan alat – alat pertuturan kurniaan Allah dengan cara yang betul serta menekankn komunikasi secara holistik yang dapat memberikan gambaran keseluruhan kehidupan orang Melayu merangkumi bahasa, budaya dan agama.Prinsip kesempurnaan berbahasa ini mengetengahkan tiga prinsip asas bagi memastikan fungsi bahasa dimanfaat secara maksimum.
Pertama, keperluan berbahasa menurut nahu bahasa yang betul; kedua, keperluan berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang betul dan benar; dan ketiga, kewajaran berbahasa untuk tujuan ibadah. Berdasarkan aplikasi teori ini juga, nilai kebijaksanaan Melayu dapat dilihat. Misalnya dalam pantun, kebijaksanaan Melayu dapat dilihat dalam hampir semua kegiatan hidup mereka.
Hal ini dirakamkan dalam tujuh kategori nilai kebijaksanaan mereka, iaitu ketika mendidik; ketika menguji minda; ketika berinteraksi sesama pemantun; ketika berinteraksi dengan alam; ketika bekerja; ketika memimpin; ketika berubat; dan termasuk ketika berhibur. Turut dibuktikan adalah tingkat kebijaksanaan orang Melayu. Umumnya, individu yang memiliki tingkat kebijaksanaan yang lebih tinggi dianggap mempunyai kelebihan untukmendapat sanjungan dan kedudukan lebih tinggi dalam masyarakatnya.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa ketiga – tiga tokoh ini mempuyai gugusan pemikiran yang bijaksana dan nilai yang tinggi dalam penulisan karya agung agar kandungan dalam karya – karya ini boleh menjadi pedoman dan pengajaran kepada seseorang untuk menimba ilmu pengetahuan.

JAWAPAN 3:
Tun Seri Lanang merupakan pengarang hikayat Melayu yang bertajuk Sulalatus Salatin. Berdasarkan Sulalatus Salatin, dapat disimpulkan bahawa gagasan pemikiran Tun Seri Lanang lebih ke arah sosial dan kebudayaan yang merujuk kepada pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan Melayu awal. Dengan itu Sejarah Melayu boleh digunakan untuk menyusun sejarah kemasyarakatan. Hal ini adalah kerana karya ini memberi gambaran yang jelas tentang cara hidup penduduk Melaka pada abad ke-15 M. (Liaw Yock Fang: 214-215) dalam Seri Lanang Jaya et.al (2013). Sejarah Melayu dapat dikatakan sebagai sumber penting dalam menyusun sejarah kemasyarakatan Melayu.
            Pengarang Bustam Al-Katibin  iaitu Raja Ali Haji mempunyai pemikiran yang berbeza dengan Tun Seri Lanang. Berdasarkan Hikayat Bustam Al-Katibin, gagasan pemikiran Raja Ali Haji lebih bercorak keilmuan. dalam karyanya itu, beliau lebih menekankan tentang bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan orientalis.
Mohd Rashid Md Idris merupakan individu yang mendukung teori falsafah bahasa. Gagasan pemikiran beliau boleh dikatakan kreatif sekali. Hal ini demikian kerana, pada pendapat saya teori yang dikemukakan oleh beliau menunjukkan bahawa bahasa itu mesra pengguna. Buktinya Md Rashid Md Idris menyatakan bahawa bahasa sebagai alat atau kenderaan yang mendukung dan menyampaikan maksud. Penyataan tersebut memberi gambaran bahawa terdapat hubungan erat antara bahasa dan penuturnya.
JAWAPAN 4:
Gagasan Pemikiran Mohd Rashid Md Idris dalam Teori Falsafah Bahasa
Teori Falsafah Bahasa diasaskan oleh Mohd Rashid Md Idris yang mengetengahkan satu bentuk rajah iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus beserta dengan huraian berkaitan rajah. Teori ini dihasilkan gandingan Teori Relatif dan Teori Kenuranian Bahasa. Gabungan teori-teori ini mewujudkan satu titik pertemuan antara pemikiran barat dengan pemikiran Islam kemudian daripada kesepaduan teori-teori ini lahirlah Teori Falsafah Bahasa. Dalam teori ini, kesempurnaan kegiatan berbahasa dapat dicapai dengan mengambil kira tiga prinsip iaitu berbahasa mengikut nahunya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat dan yang terakhir ialah berbahasa bertujuan ibadat atau mentauhidkan Allah. Prinsip yang pertama, kita haruslah berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya. Prinsip yang kedua, berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar.
Bentuk bulatan menggambarkan perlunya kita berbahasa secara sempurna atau (komprehensif) bukan sahaja dari segi nahunya, namun kesempurnaan juga perlu meliputi aspek makna dan tujuannya. Bentuk ini turut menggambarkan peranan bahasa yang dapat memberikan gambaran keseluruhan tentang kehidupan orang Melayu manakala bulat juga menggambarkan agama orang Melayu yakni Islam yang perlu diamalkan secara menyeluruh dan bukan sekadar mengambil sebahagiannya sahaja. Kitaran hidup manusia jika dilihat dari segi budaya ibarat sebuah roda yang ada ketikanya manusia berada di atas dan ada masanya mereka berada di bawah. Begitu juga dengan kitaran usia manusia yang mana mereka bermula daripada keadaan tidak mengetahui apa-apa seterusnya mengetahui banyak perkara namun akhirnya kembali kepada keadaan tidak mengetahui apabila seseorang itu telah nyanyuk. Jelasnya disini, bentuk bulatan merupakan lambang kepada kehidupan manusia.
Rajah anak panah (dua hala) menunjukkan hubungan langsung (tersurat) antara penutur dan pendengar (hubungan sesama manusia). Dalam hal ini, antara mereka akan berlakunya keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan bersama. Garisan putus-putus pula menunjukkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah selaku Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada hamba-Nya. Antara anugerah terbesar yang diberikan oleh Allah ialah kejadian diri manusia itu sendiri (Allah menciptakan Adam dan anak juga adalah anugerah Allah) sehinggakan manusia itu dapat mengecap kenikmatan dunia, anugerah akal untuk berfikir dan anugerah bahasa (alat-alat pertuturan dan Allah mengajarkan nama-nama kepada Adam).
 Kesimpulannya, Teori Falsafah Bahasa (Mohd Rashid Md Idris, 2012) cuba mengetengahkan suatu situasi yang lebih jelas tentang perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi yang dikurniakan Allah dengan betul. Prinsip Kesempurnaan Berbahasa (Mohd Rashid Md Idris, 2012) dapat dilaksanakan dengan mengambil kira-kira tiga prinsip asas, iaitu :
1) Berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan itu mencapai  objektifnya.
- Proses komunikasi perlu mengikut nahu yang betul agar maklumat yang hendak disampaikan itu mencapai objektifnya. Setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi maknasebelum ia diucapkan mahupun ditulis. Penggunaan perkataan yang difahami umum juga sangat penting supaya pendengar dapat mentafsir makna dengan betul.
2)   Berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar.
- Berdasarkan prinsip ini, seseorang perlulah menggunakan bahasa bagi menyampaikan fakta yang betul dan benar. Seseorang yang hendak menyampaikan maklumat tidah boleh hanya berlandaskan kepercayaan dan emosi semata-mata tetapi hendaklah berlandaskan sumber-sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
3)  Berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah.
- Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Allah S.W.T misalnya solat, puasa dan zakat malah melakukan pekerjaan yang baik juga berdasarkan niat kerana Allah juga merupakan ibadat. Berbahasa juga merupakan salah satu cara untuk beribadah apabila kita berbahasa untuk menyampaikan kebaikan.
JAWAPAN 5:
1.    Tun Seri Lanang (Sulalatus Salatin)
Tun Seri Lanang dilahirkan pada 1565 di Bukit Seluyut, Kota Tinggi, Johor. Nama sebenarnya ialah Tun Muhammad. Tun Seri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu disamping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Sebuah naskah diserah kepadanya, iaitu Hikayat Melayu yang kemudian diberi nama Sulalat al-Salatin. Naskah Hikayat Melayu yang ditugaskan kepada Tun Seri Lanang untuk diperbaiki oleh Raja Abdullah adalah naskah yang mengandungi peradaban melayu seluruhnya. Sulalat al-Salatin juga dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin.
Karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ini terisi di dalamnya pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Ia adalah suatu karya yang banyak menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara dan diperakui kekayaan isi cerita di dalamnya. Pelbagai peristiwa yang kini dilabelkan sebagai sejarah bangsa Melayu termuat di dalam hasil pengarangan ini termasuklah yang berunsurkan salasilah raja-raja, kisah kepahlawanan, sejarah, humor atau jenaka, kisah-kisah cinta dan kasih sayang, kisah yang berunsur magis dan sebagainya.
2.      Raja Ali Haji (Bustan al-Katibin)
Nama sebenar pengarang Bustan al-Katibin ialah raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji. Beliau dilahirkan di Penyengat, Riau pada tahun 1809. Bustan al--Katibin terdiri daripada 10 fasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Sepuluh fasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.
 Bustan al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
3.      Mohd Rashid Md Idris (Teori Falsafah Bahasa)
Model Falsafah Bahasa dikemukakan oleh Mohd Rashid bin Md. Idris dalam tesis ph.D beliau pada tahun 2007 berdasarkan perbincangan mengenai padanan Teori Relatif dengan Teori Kenuranian. Ringkasan dapatan Teori Relatif yang dikemukakan oleh Edward Sapir (1884-1939) dan Benjamin Whorf (1897-1941) ialah bahasa berperanan dalam mempengaruhi pemikiran dan cara hidup individu masyarakat penuturnya. Dapatan teori ini menjadi asas kepada Model Falsafah Bahasa. Model Falsafah Bahasa ini boleh dibahagikan kepada  tiga bahagian, iaitu bentuk bulatan, anak panah dan garisan putus. Bentuk bulatan menggambarkan perlunya kita berbahsa secara sempurna (komprehensif) bukan sahaja dari segi nahunya, namun kesempurnaan juga perlu meliputi aspek makna dan tujuannya. Anak panah pula menunjukkan wujudnya hubungan langsung (tersurat) antara penutur dengan pendengar (hubungan sesama manusia). Garisan putus pula menunjukkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah selaku Pencipta.

JAWAPAN 6:
Falsafah Bahasa merupakan gabungan Teori Relatif dengan Teori Kenuranian Bahasa yang telah diperkenalkan oleh Mohd Rashid Md Idris dalam tesis ph.D beliau pada tahun 2007. Dapatan daripada teori ini ialah potensi berbahasa adalah kurniaan Allah. (Mohd Rashid Md Idris, 2010: 15). Model ini terdapat tiga pecahan utama iaitu bulatan, anak panah, dan garisan putus-putus. Bentuk bulatan menggambarkan perlunya kita berbahasa secara sempurna mengikut nahu, makna, dan tujuan. Ketiga-tiga aspek ini adalah selaras prinsip kesempurnaan berbahasa iaitu berbahasa mengikut nahu yang betul, berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar, dan berbahasa untuk tujuan ibadah. Segala ujaran itu mestilah dalam konteks yang mudah untuk difahami, disenangi oleh pendengar, dan bertujuan baik selaras dengan tuntutan syarak. Bentuk bulatan ini secara tidak langsung turut menggambarkan peranan bahasa yang menggambarkan keseluruhan kehidupan orang Melayu termasuklah dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka sepenuhnya. Kitaran budaya dan usia juga diibaratkan seperti roda yang adakalanya di atas dan adakalanya di bawah.
            Rajah anak panah dua hala menggambarkan hubungan langsung (tersurat) antara antara penutur dengan pendengar. Dalam konteks ini, akan berlakunya satu keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan bersama. Keadaan ini selaras dengan prinsip kesempurnaan berbahasa yang kedua iaitu berbahasa untuk menyampaikan maklumat. Lumrahnya, seorang manusia perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk berhubung bagi mendapatkan maklumat. Pelbagai cara manusia berkomunikasi. Ada yang secara verbal dan ada yang secara non-verbal.  
            Garisan putus-putus dalam rajah menerangkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah  selaku Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada makhluk-Nya. Keadaan ini termasuklah kejadian asal diri manusia itu sendiri. Dalam konteks ini, Allah turut menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dalam menentukan sama ada mereka memilih untuk menjadi manusia yang baik ataupun sebaliknya.
            Alat-alat pertuturan yang diberikan kepada manusia merupakan satu pinjaman yang amat berharga untuk mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Manusia berkomunikasi bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan Yang Maha Pencipta iaitu melalui amalan ibadah yang dilakukan. Keadaan ini selaras dengan prinsip kesempurnaan berbahasa yang ketiga iaitu berbahasa untuk beribadah atau mentauhidkan Allah.
Khazanah persuratan Melayu kaya dengan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas). Oleh itu, terhasillah beberapa banyak karya persuratan dalam bidang ilmu keagamaan. 
 Secara kasar, ilmu keagamaan yang dikembangkan dalam penulisan para ulama’ terbahagi kepada:

1. Ilmu kalam atau tauhid atau akidah.
2. Ilmu feqah atau ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji.
3. Ilmu kekeluargaan (munakahat).
4. Ilmu hubungan ekonomi dan sosial (muamalat).
5. Ilmu undang-undang dan pengadilan (jinayat).
6. Ilmu tasawuf atau akhlak.
 JAWAPAN 7:
 Gagasan Pemikiran Tun Sri Lanang
Tun Muhammad atau nama timang-timangannya Tun Sri Lanang mula mengarang karyaSulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu disamping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebgai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan dan ketamadunan masyarakat Melayu awal. melihat kepada gagasan pemikiran beliau, Tun Sri Lanang menerapkn pemikarannya mengenai ketaatan,waad, keadilan dan pemikiran keberanian. sebagai contohnya, pemikiran beliau terhadap waad,Dalam konsep waad, dengan jelas menetapkan bahawa golongan rakyat dikehendaki taat setia dan patuh kepada raja, walaupun raja bersikap zalim dan kejam. Ini secara tidak langsung mewujudkan suatu konsep lain iaitu konsep "daulat". "tulah” serta konsep "derhaka". Konsep daulat, tulah, dan derhaka merupakan aspek panting yang mendasari konsep negeri beraja. Dalam Sulalatus Salatin ada menyebut kisah penderhakaan terhadap raja oleh rakyat jelata. Peristiwa penderhakaan pertama dilakukan oleh Sang Rajuna Tapa yang berpunca dari Raja Iskandar Syah, iaitu raja Singapura yang terakhir telah termakan fitnah oleh gundik raja yang lain. Raja Iskandar Syah telah menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
Gagasan Pemikiran Raja Ali haji. 
            Bustan al-Katibin merupakan sebuah karya paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu ulung, Raja Ali Haji. Kitab ini selesai dikarang pada 15 September 1850.Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.
Gagasan Pemikiran Mohd Rashid Md Idris. 
 Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan secara terpisah

JAWAPAN 8:
Gagasan pemikiran Raja Ali Haji adalah lebih ke arah keislaman. Beliau mempunyai beberapa kelebihan sendiri terutama dari aspek pengkaryaan dengan menghasilkan sekitar 14 karya, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan. Menurut Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham (1998), landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan system pendidikan Islam tradisional yang diterima dari beberapa guru dan ulama di Riau serta pendidikan informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji. Bustan al-Katibin merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Karya tersebut adalah karya tulisan pertama yang menyentuh berkenaan dengan bahasa Melayu. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan jawi atau arab yang berbentuk khat jenis nasyta’lik. Dalam karya tersebut dimuatkan bersama 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut telah dibahagikan kepada enam topik. Antara topiknya adalah membincangkan tentang peraturan ejaan jawi bahasa Melayu, huraian tentang kelas kata, unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan, binaan sintaksis dan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan.
            Gagasan pemikiran Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin adalah karya yang menceritakan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan dibawa dari Goa. Antara gagasan pemikiran yang ingin disampaikan oleh Tun Seri Lanang adalah seperti sifat ketaatan yang diamalkan terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung-agungkan sultan biarpun tindakan sultan tersebut adalah salah dan melampau. Seterusnya adalah berkenaan waad atau dikenali sebagai daulat pada masa kini. Waad ini dilihat sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan rakyat. Terdapat pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana. Seterusnya adalah gagasan pemikiran mengenai keadilan. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan mengenai sikap raja yang adil.
            Gagasan pemikiran Mohd. Rashid Md. Idris dalam Teori Falsafah Bahasa. Teori Falsafah Bahasa adalah merupakan teori yang diasaskan melalui dapatan Teori Relatif yang dikemukakan oleh Edward Sapir (1884-1939) dan Benjamin Whorf (1897-1941) dalam Mohd Rashid Md Idris (2007), ialah bahasa berperanan dalam mempengaruhi pemikiran dan cara hidup individu dan masyarakat penuturnya. Gagasan pemikiran ini diperkemaskan dengan kemasukan dapatan Teori Kenuranian Bahasa. Rumusan dapatan daripada teori ini ialah potensi berbahasa adalah kurnian Allah. Gagasan pemikiran ini menggambarkan perlunya kita berbahasa secara sempurna bukan sahaja dari segi nahunya, namun kesempurnaan juga perlu meliputi aspek makna dan tujuannya. Segala ujaran juga turut haruslah bersesuaian dengan tuntutan syarak sekaligus mempamerkan gambaran kehidupan masyarakat Melayu. Teori Falsafah Bahasa menitikberatkan tujuan berbahasa adalah untuk menyampaikan maklumat yang benar dan betul. Selari dengan firman allah S.W.T iaitu yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2012:70) yang bermaksud:
“wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
(Surah Al-Ahzab:33:70)
JAWAPAN 9:
Tun Sri Lanang
Tun Sri Lanang merupakan tokoh kesusasteraan yang terulung pada suatu ketika dahulu. Karya teragung beliau ialah Sulalatus Salatin memuatkan pemikiran beliau yang kreatif sejajar dengan kehidupan pada zaman tersebut.Antara falsafah yang ditonjolkan dalam karya beliau ialah: 
1.   Ketaatan
Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah menunjukkan ketaatan kepada sultan sehingga rela menerima hukuman bunuh dari sultan setelah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun beliau tidak bersalah.Baginda Paduka Raja dikatakan taat kepada sultan malah akur dan tidak memprotes apabila anaknya Tun Besar, dibunuh oleh anak sultan kerana bola sepak raganya terkena destar anaknda sultan lalu terjatuh ke tanah.
2.  Waad
Dalam konsep waad, dengan jelas menetapkan bahawa golongan rakyat dikehendaki taat setia dan patuh kepada raja, walaupun raja bersikap zalim dan kejam. Ini secara tidak langsung mewujudkan suatu konsep lain iaitu konsep "daulat". "tulah” serta konsep "derhaka". Konsep daulat, tulah, dan derhaka merupakan aspek panting yang mendasari konsep negeri beraja.Dalam Sulalatus Salatin ada menyebut kisah penderhakaan terhadap raja oleh rakyat jelata. Peristiwa penderhakaan pertama dilakukan oleh Sang Rajuna Tapa yang berpunca dari Raja Iskandar Syah, iaitu raja Singapura yang terakhir telah termakan fitnah oleh gundik raja yang lain. Raja Iskandar Syah telah menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa apabila anak perempuan  
Raja Ali Haji
Dalam karya Bustan Al-khatibin lebih melihat kepada aspek bahasa atau nahu dan bukannya cerita-cerita sejarah seperti Tuhfat al-Naffis. Bahagian yang paling besar tentang karya ini terdiri daripada Mukadimah diikuti oleh 31 Fasal atau perkara mauduk dan disimpulkan oleh tiga pesan atau nasihat yang ingin disampaikan oleh beliau. Dalam sebahagian besar kitab ini bukan sahaja memperkatakan analisis ilmu bahasa tentang bahasa tersebut, tetapi menekankan juga perkara-perkara seperti nilai ilmu pengetahuan. Bahagian pengenalannaya, banyak diselang selikan dengan ungkapan-ungkapan Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hal ini jela menunjukkan bentuk dan dianjurkan dan digunakan oleh beliau terutamanya dalam menulis warkah kiriman.
Mohd Rashid Md Idris (Teori Falsafah Bahasa)
Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iaitu teori falsafah bahasa. Model ini cuba mengetengahkan suatu situasi yang lebih jelas tentang perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi (alat-alat pertuturan) yang dikurniai oleh Allah dengan cara yang betul. Kesempurnaan kegiatan berbahasa dapat dilaksanakan dengan mengambil kira tiga prinsip asas iaitu (i) berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang ingin disampaikan itu tercapai objektifnya, (ii) berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar, dan (iii) berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah. Dengan cara itu, kita telah melakukan perkara-perkara yang terbaik dalam urusan berbahasa.
JAWAPAN 10:
Pemikiran Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin
Penulisan Tun Sri Lanang tentang Sejarah Melayu ini antara lainnya menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala yang boleh menjadi contoh dan teladan buat masyarakat Melayu pada hari ini. Bukti keagungan masyarakat Melayu sejak dahulu menjadi warisan kepada masyarakat hari ini melalui hasil-hasil karya seperti Sulalatus Salatin, Hang Tuah dan sebagainya. Hal ini terbukti apabila terciptanya ratusan puisi, drama, filem, lukisan, dan karya sejarah yang tercetus hasil daripada karya Sulalatus Salatin serta dapat juga dilihat banyak yang diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Russia dan Jerman.
Pemikiran Raja Ali Haji dalam Bustan Al-Katibin
Bustan Al-Katibin yang ditulis oleh Raja Ali Haji merupakan kitab pertama yang dihasilkan oleh orang tempatan yang menghuraikan bahasa Melayu. Kandungan kitab ini bukan sahaja meliputi aspek tatabahasa tetapi juga meliputi falsafah tentang pengajian terhadap bahasa Melayu, iaitu dari sudut agama Islam. Dalam Bustan Al-Katibin, Raja Ali Haji telah menghuraikan falsafah terhadap pengajian bahasa dalam bahagian Mukadimah buku tersebut. Raja Ali Haji menyatakan kaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi dalam bahagian mukadimah. Hubungan pemikiran Raja Ali Haji yang tidak lari dari pembicaraan tentang agama Islam adalah disebabkan oleh beliau berkesempatan tinggal selama setahun di tanah suci dan beliau memperdalam pengetahuannya dalam agama Islam dan bahasa Arab.
Pemikiran Mohd Rashid Md Idris dalam Teori Falsafah Bahasa
Pemikiran Mohd Rashid Md Idris dalam Teori Falsafah Bahasa Melayu menyatakan bahasa sebagai alat atau kenderaan yang mendukung dan menyampaikan maksud. Selain itu, bahasa juga boleh dilihat sebagai fenomena sosial yang menghubungkan seorang individu dengan individu yang lain dan satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Dalam Model Falsafah Bahasa ini, model ini dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu bentuk bulatan, anak panah dan garisan putus-putus. Kesempurnaan dalam berbahasa dapat dilaksanakan dengan mengambil kira tiga prinsip asas, iaitu yang pertama adalah berbahasa mengikut nahu supaya maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar dan yang terakhir adalah berbahasa untuk tujuan ibadah ataupun mentauhidkan Allah. Budaya dan bahasa tidak dapat dipisahkan malahan menjadi bingkai untuk melihat pemikiran sesebuah masyarakat untuk berkomunikasi. Tambahan pula, kelangsungan hidup sesuatu bahasa sangat dipengaruhi oleh aturan yang terjadi dalam masyarakat penuturnya. Dengan ini, budaya yang ada di sekeliling bahasa tersebut akan turut terikut menentukan wajah dari bahasa tersebut. Selain itu, bahasa dan budaya juga merupakan dua sistem yang melekat pada manusia.
Rujukan:
Mohamad Daud Mohamad (1987). Tokoh-tokoh sastera Melayu klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris & Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong  Malim: Emeritus Publications.
 Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Nik Safiah Karim (2010). Tatabahasa Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.








Thursday, 24 April 2014

NILAI - NILAI ISLAM DALAM HIKAYAT AMIR HAMZAH

NILAI - NILAI ISLAM DALAM HIKAYAT AMIR HAMZAH
Hasmida binti Hassan
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Perak, Malaysia

Abstrak
Artikel ini adalah berkenaan nilai – nilai Islam dalam Hikayat Amir Hamzah. Penelitian mendalam akan ditumpukan terhadap penulisan karya agung. Secara amnya, penghasilan karya – karya berunsur sejarah ini memiliki objektif dan peranan tersendiri dan amat penting dalam konteks pengetahuan pengkajian aspek – aspek politik, sosioekonomi dan budaya masyarakat Asia Barat yang disesuaikan dengan budaya penduduk Tanah Melayu. Pengkajian secara kaedah analisis teks terhadap karya pilihan iaitu Hikayat Amir Hamzah akan mendedahkan para pembaca mengenali nilai – nilai yang baik iaitu nilai – nilai Islam yang meliputi sifat mahmudah seperti sabar, memelihara kesucian diri, cinta akan keadilan, menepati janji, tawakal, pemaaf, pemurah, kasih sayang, sabar dan sebagainya. Pendedahan ini juga mendedahkan para pembaca tentang nilai – nilai Islam yang perlu diserapkan dalam diri para pembaca untuk pembentukan modal insan setiap individu pada masa ini. Di samping itu, para pembaca turut dilatih membuat penilaian kritis terhadap nilai – nilai Islam ini untuk dijadikan iktibar dan tauladan dalam kehidupan seharian









1.0       Pengenalan
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al. (2013: 3) menyatakan bahawa karya agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta penulis, seniman dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, kesedaran moral dan seumpamanya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
Hikayat Amir Hamzah merupakan salah sebuah karya agung yang hebat dari segi penceritaan tentang perihal kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam. Cerita tentang perjuangan Amir Hamzah ini telah ditokok tambah dengan pelbagai kisah peperangan dan pengembaraan yang bercorak khayalan dan fantasi. Namun demikian, terdapat sebuah cerita yang dikatakan telah digubah tentang Hamzah berjudul Qissah Maghazi Hamzah (cerita peperangan Hamzah). Cerita Amir Hamzah ini tertulis dalam bahasa Parsi kira – kira abad ke -11 Masihi, sedang tulisan cerita ini yang ditulis dalam bahasa Arab seperti yang disebutkan oleh Ibn Taimiah, bertarikh pada abad ke – 13 Masihi. Van Ronkel berpendapat bahawa cerita Amir Hamzah ini pada mulanya dituliskan dalam bahasa Parsi, kemudian ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.
Karya-karya dalam kesusasteraan Melayu lama berunsur Islam, diperkenalkan oleh penulis-penulis Melayu yang berorientasikan tradisi Islam. Justeru itu dalam karya-karya sastera Melayu berunsur Islam, gambaran tentang perwatakan wira didasarkan kepada nilai-nilai Islam. Konsep epik daripada sastera Melayu berunsur Islam dapat didasarkan kepada perwatakan utama hikayat tersebut. Model kepahlawanan tokoh-tokoh utama telah menjadi ikutan dan pendorong kepada pahlawan-pahlawan Melayu untuk berjuang menentang musuh mereka. Hikayat Amir Hamzah dibacakan di Melaka sewaktu negeri itu diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Pembacaan hikayat tersebut bertujuan untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu bagi menentang serangan orang Portugis.

Menurut Ismail Hamid (1990 : 203), epik yang terdapat dalam sesebuah karya itu dapat dilihat melalui perwatakan kegagahan, menegakkan kebenaran, menegakkan keadilan, memenuhi janji, sifat tolong menolong, nilai pengampun, nilai pemurah dan menghormati orang lain, kepimpinan dan kebijaksanaan dan yang terakhir ialah pengembangan agama Islam. Unsur-unsur inilah yang telah membuatkan Hikayat Amir Hamzah diangkat sebagai sebuah karya kebanggaan Melayu.
2.0       Nilai – Nilai Islam
Asmawati Suhid (2009) menyatakan bahawa perkataan Islam bererti mentauhidkan Allah SWT, patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT. Nilai – nilai Islam merupakan nilai adab dan akhlak yang digariskan dalam Islam iaitu perkara yang disarankan dalam Al – Quran.  Sifat mahmudah merupakan nilai – nilai yang baik  disarankan untuk menjadi tauladan dan pegangan untuk menjadi seorang modal insan yang berwawasan tinggi.

2.1       Memelihara Kesucian Diri (Al – Iffah)
Syahrul Faizaz Abdullah dalam Mardzelah Makhsin (2003 : 109) menyatakan bahawa iffah merupakan sifat yang dapat mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada kemahuan akal dan syariat. Menurut Muhammad Yusuf Hussain (1986) dalam Ahmad Mohd Salleh (1998 : 267) pula sifat al – iffah bermaksud menjaga diri daripada segala keburukan supaya terpelihara kehormatan diri. Seseorang individu yang bergelar Muslim mesti sentiasa berusaha menjaga kehormatan dan kesucian dirinya daripada melakukan sesuatu kemungkaran iaitu setiap muslim harus berusaha menjaga hawa nafsu, lidah dan juga hatinya daripada melakukan perkara – perkara yang dilarang oleh Alllah S.W.T.
Dalam hikayat Amir Hamzah, nilai akhlak mahmudah iaitu sifat al –iffah ( memelihara kesucian diri) dapat dilihat melalui sifat yang ditonjolkan oleh Amir Hamzah dalam peristiwa beliau ditangkap dan dilarikan oleh Puteri Indera Negeri ke dalam sebuah gua batu. Puteri Indera Negeri sangat meminati dan berahi terhadap Amir Hamzah. Namun, Amir Hamzah tidak tergoda dan menolak permintaan puteri itu walaupun diugut kerana beliau takut melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.
Maka dilihatnya dirinya terbaring di dalam gua batu terikat, dan ada seorang perempuan duduk di sisinya. Amir Hamzah pun menyebut nama Allah Subhanahu wa Taala dengan lidahnya, kemudian ia pun berkata kepada  perempuan yang duduk di sisinya itu, “Hei perempuan bedebah, siapa engkau ini?” Maka jawab perempuan itu, “Akulah Puteri Indera Negeri,” lalu diceterakannyalah perihal berahinya akan Amir Hamzah. Maka kata Amir Hamzah, “Hei perempuan yang fasik, bukankah engkau ini isteri Raja Nusyirwan? Adapun Raja Nusyirwan itu pangkat bapa kepada aku, kerana mentua kepada aku. Maka engkau pun pangkat ibulah kepada aku; betapa perinya berbuat terlanjur kepadanya dan beberapa kata – kata nasihat lagi dikatakan oleh Amir Hamzah kepadanya, tetapi tidak juga didengarnya. (Hikayat Amir Hamzah : hlm. 475)

2.2       Cinta Akan Keadilan
Ahmad Mohd Saleh (1998: 263) berpendapat bahawa niai utama akhlak yang baik ialah berlaku adil. Menurut beliau, adil membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberi hak kepada mereka yang memiliki hak dan membebankan kewajipan bagi mereka yang mempunyai kewajipan. Hak yang diberikan mesti sama rata iaitu tidak kurang dan tidak juga lebih. Muhammad Fadzillah Kamsah (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998) pula menyatakan bahawa setiap Muslim dituntut supaya berlaku adil kepada dirinya sendiri dan juga kepada manusia lain. Sifat adil ini harus diamalkan kepada semua aspek kehidupan. Keadilan dituntut dalam Islam kerana ingin mencegah kezaliman yang boleh menyebabkan kecelakaan, penderitaan dan seksaan.
Dalam hikayat Amir Hamzah, pengarang menonjolkan sifat cinta akan keadilan dalam watak Raja Nusyirwan dan watak Amir Hamzah. Dalam watak Nusyirwan digambarkan seorang raja yang adil dalam negeri Mada’in sewaktu pemerintahan baginda. Ketika pemerintahan Raja Nusyirwan, baginda telah mengambil ufti dan menyebabkan penganiayaan berlaku kepada orang dusun. Hal ini menyebabkan baginda berasa kecewa atas tindakannya kerana mendengar nasihat Bakhtik.
Oleh hal yang demikian, atas pertolongan Khoja Buzurjumhur Hakim, baginda telah mengambil tindakan dengan menghantar surat kepada para penghulu di dalam negeri Mada’in dan kawasan jajahannya dengan menyatakan peraturan baru iaitu pengutipan ufti mengikut adat seperti pemerintahan pada zaman Sultan Kobat Syahril dan pembayaran ufti kepada Bakhtik tidak dibenarkan. Hal ini menyebabkan segenap jajahan peerintahannya berasa gembira dan tidak berasa tidak teraniaya lagi oleh sifat keadilan baginda. Raja Nusyirwan juga menitahkan orang menggantungkan sebuah loceng besar untuk mengelakkan daripada ketidakadilan berlaku. Peristiwa ini boleh dilihat dalam bab dua.
Pada suatu hari, Khoja Buzurjumhur Hakim berdatang sembah kepada Raja Nusyirwan,“Ya Tuanku Syah Alam, akan sekarang baik juga Duli Yang Dipertuan menitahkan orang menggantungkan sebuah genta besar dengan rantainya sebagai tanda alamat adil Syah Alam dalam negeri ini. Barang siapa teraniaya digerakkannyalah genta itu.” Maka raja pun kabullah seperti kata khoja itu, lalu baginda menyuruh orang menggantungkan genta itu di muka pintu gerbang serta dengan rantainya. Maka barang siapa ada teraniaya, digerakkannyalah genta itu, dan pada seketika itu juga disuruh baginda periksai, siapa – siapa teraniaya dan siapa yang menganiaya. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.30)
Selain itu, pemimpin Islam ialah seorang yang berlaku adil terhadap musuh dan tawanan atau seteru perjuangan. Para musuh tidak dianiayakan tetapi sebaliknya mereka diberi layanan secukupnya dan berperikemanusiaan. Sifat balas dendam tiada tempat kepada pemimpin yang berperikemanusiaan tertinggi dalam agama Islam. Dalam watak Amir Hamzah, pengarang menunjukkan sifat Amir Hamzah yang sentiasa berjuang untuk menegakkan keadilan dalam kalangan manusia. Sikap terpuji ini merupakan satu sikap yang menyebabkan beliau digelar sebagai wira dalam sastera Islam. Peristiwa keadilan beliau boleh dilihat dalam bab Sembilan.
Maka pada ketika itu, Umar Muad Karab berserta saudara – saudaranya yang empat puluh orang itu pun kesemuanya membawa iman dan ikrarlah kepada agama Islam. Sudah itu, maka Amir Hamzah sendiri bangkit dari atas kerusinya pergi menghuraikan pengikat Umar Muad Karab dan segala saudaranya. Kemudian diberinya pula persalinan yang khas, dan Umar Muad Karab disuruhnya duduk di atas kerusi yang keemasan; segala saudaranya pun diberi anugerah oleh Amir Hamzah. (Hikayat Amir Hamzah : hlm 80-81)

2.3       Menepati Janji
M.Z. Azmie (2008) menyatakan bahawa menepati janji menjadi prinsip yang menentukan ketakwaan seseorang. Sekiranya seseorang memungkiri janji yang telah diikat secara sah, ianya menjadi petunjuk kepada sifat munafik. Sebagai contoh, seseorang yang bercakap benar merupakan seseorang yang menepati janji. Golongan yang menepati janji selalunya akan dihormati dan disanjungi oleh masyarakat. Bahkan, Islam juga menekankan bahawa tepati janji sangat penting untuk dititikberatkan oleh semua. Daud Rasyid (1998) menyatakan bahawa orang yang menepati janjinya pada Allah S.W.T ialah orang yang terpuji di sisi Allah.
Dalam Hikayat Amir Hamzah, menepati janji selalu diamalkan oleh perwira Islam iaitu Amir Hamzah. Janji beliau terhadap seseorang selalu ditunaikan dengan sebaiknya walaupun pelbagai rintangan berlaku dalam perjuangan beliau. Sifat beliau yang suka tepati janji ini boleh dilihat sewaktu beliau membuat perjanjian dengan musuh – musuh sewaktu peperangan. Sekiranya musuh – musuhya memeluk Islam, beliau memegang janji akan membebaskan mereka. Perjanjian ini dapat dilihat sewaktu penghantaran surat kepada Umar Muad Karab iaitu beliau berjanji akan membebaskan dan menjadikan Umar Muad Karab sebagai ketua pahlawan di bawah beliau. Selepas itu, beliau menggotai janji beliau dengan membebaskan Muad Karab dan pengikut – pengikutnya dan Muad Karab memegang janjinya menjadi pahlawan di bawah pemerintahan Amir Hamzah.
Setelah itu, segala lasykar Umar Muad Karab pun datang masuk bercampul gaul dengan lasykar Amir Hamzah, semuanya membawa imanlah masuk Islam. Tatkala itu, maka Umar Umaiyah pun datanglah mengenakan anting – anting keemasan pada telinga Umar Muad Karab serta segala saudaranya. Apabila dilihat oleh Amir Hamzah kelakuan Umar Umaiyah itu, maka ia pun berkata, “Hei Umar, engkau pengapakan Umar Muad Karab itu,” Maka sahut Umar Umaiyah, “Ya Amirul Mukminin, hamba meneguhkan janji.” Maka berkata pula Umar Muad Karab, “Ya Amirul Mukminin, telah redalah hamba akan anting – anting ini.”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.81)
Peristiwa Amir Hamzah memegang janjinya kepada Tawaf Khazanah dapat dilihat dalam bab Sembilan. Dalam peristiwa ini, Amir Hamzah sangat menepati janjinya kepada seseorang yang bernama Tawaf Khazanah walaupun seorang wanita yang sangat cantik menyukainya. Namun, beliau menolak kerana beliau merupakan seorang yang memegang janjinya.
Segala kata – kata Puteri Hamani Ta’ifah itu pun dipersembahkan kepada Amir Hamzah. Maka kata Amir Hamzah. “Hei telangkai, dahulu lagi bapanya hendak berikan kepada aku, tiada aku kabulkan; sebabnya sudah aku berjanji dengan Tawaf Khazanah, ia sudah jadi halal, orang lain tiada patut.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.68)
Selain itu, pengarang juga menonjolkan watak seperti Khoja Buzurjumhur Hakim sebagai seorang yang menepati janji. Hal ini dapat dilihat ketika beliau memberikan anak perempuan Alkis Menteri kepada seorang Habsyi setelah beliau membuat perjanjian dengannya. Perjanjian itu dibuat ketika seorang Habsyi yang diberi arahan oleh Alkis Menteri untuk membunuh beliau. Namun, Habsyi tersebut tidak membunuh Khoja Buzurjumhur Hakim kerana dia percaya akan janji Khoja Buzurjumhur Hakim yang akan menyerahkan anak perempuan Alkis Menteri yang dicintai kepadanya.
Titah raja kepada segala menteri. “Jikalau demikian nyatalah Alkis Menteri berbuat aniaya kepada Khoja Buzurjumhur Hakim.” Ketika itu juga disuruh raja sulakan Alkis Menteri; segala rumah tangga dan anak isterinya diserahkan raja kepada Khoja Buzurjumhur Hakim. Maka oleh Khoja diambilnya seorang anak perempuan Alkis Menteri akan isterinya, dan yang seorang lagi diberikan kepadanya kepada hulubalang Habsyi itu. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.19)

2.4       Tawakal kepada Allah SWT
Sifat tawakal kepada Allah merupakan satu ciri orang yang beriman. H. Ahmad Yani (2007) menyatakan bahawa tawakal berasal daripada perkataan “wakala” yang bermaksud menyerahkan, mempercayai atau mewakili urusan orang lain. Dari segi istilahnya, tawakal adalah dengan menyerahkan segala perkara dan usaha yang dilakukan oleh Allah SWT serta berserah diri sepenuhnya kepada Allah untuk mendapatkan kerahmatan dan menolak kemudaratan. Beliau juga menyatakan bahawa tawakal merupakan pekerjaan hati manusia dan puncak tertinggi keimanan.
Dalam Hikayat Amir Hamzah, perwatakan dan sifat terpuji Amir Hamzah dapat dilihat beliau merupakan seorang yang suka bertawakal kepada Allah SWT. Hal ini merupakan nilai Islam yang terpuji untuk menjadi teladan kepada umat Islam. Amir Hamzah tidak gentar atau takut dengan ugutan musuhnya dan tidak takut mati kerana beliau percaya semua yang berlaku adalah dengan kehendak Alllah SWT. Sifat beliau yang suka bertawakal kepada Allah dapat dilihat ketika beliau berperang dengan Mukbal Hulab.
Ujar Amir Hamzah, “Hei pahlawan, sebagaimu ini jika empat kali lagi pun engkau memanah akan daku, dengan tolong Tuhan sarwa sekalian alam, tiada apa bahananya kepada aku.” (Hikayat Amir Hamzah : hlm 56- 57)
Selain itu juga, sifat Amir Hamzah yang suka bertawakal kepada Allah terserlah ketika berperang dengan Hisyam anak Alkimah.
Setelah dilihat oleh Hisyam tiada apa – apa mara kepada Amir Hamzah, bahkan ia terdiri juga seperti harimau hendak menerkam lakunya, maka Hisyam berkata, “Hei Arab, tiadakah engkau mati? Aku sangka sudah matilah engkau dengan sekali paluku itu.” Sahut Amir Hamzah, “Hei kafir yang tiada mengenal Tuhan, jika tiada dengan Tuhan Rabbulalamin, tiada aku mati. Aku hidup ini pun dengan kehendak Tuhanku jua.”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.71)

2.5       Pemaaf
H. Ahmad Yani (2007) menyatakan bahawa hal – hal yang diutamakan dalam Islam beerti memiliki keistimewaan tersendiri di hadapan Allah SWT dengan Rasulnya. Oleh sebab itu, setiap muslim harus berusaha memilikinya. Salah satunya adalah dengan memaafkan orang lain. Allah Swt berfirman,
Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang – orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa (mengindahkan) kebenaran. Mereka itu mendapat siksaan yang pedih. Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.” (asy-syuura :42-43)
Sifat afwu yakni memaafkan dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW ketika umatnya melakukan kesalahan terhadapnya. Sifat terpuji ini telah diikuti oleh para sahabat nabi dan juga tokoh – tokoh Islam. Dalam Hikayat Amir Hamzah, sifat terpuji ini telah dimiliki oleh Amir Hamzah dalam perjuangannya. Sifat pemaaf Amir Hamzah dapat dilihat semasa peristiwa anak – anak Kastam membunuh Bahram Haqan. Beliau sangat memarahi tindakan anak – anak Kastam itu dan menyuruh Umar Umaiyah menjatuhkan hukuman bunuh kepada mereka. Namun begitu, Kastam merayu agar anak – anaknya diampunkan dosa – dosa mereka. Oleh itu, anak – anak Kastam dibebaskan daripada oleh Amir Hamzah.
Kemudian dengan marahnya Amir Hamzah berkata kepada Umar Umaiyah “Pergilah bunuh olehmu keempat – empat ini.” Apabila pahlawan Kastam mendengar kata Amir Hamzah demikian itu, ia pun berlari – lari datang menyembah kaki Amir Hamzah, minta ampun akan dosa anak –anaknya, dan kepada Khoja Buzurjumhur Hakim pun ia menyembah, minta tolong.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.115)

2.6       Pemurah
Sifat pemurah juga dikenali sebagai as – sakhaar’u iaitu sikap suka memberi kepada orang yang memerlukan pertolongan atau bantuan di luar kewajipan yang harus ditunaikannya. (H. Ahmad Yani, 2007: 90). Dalam Islam juga menuntut zakat, infak dan sedekah bagi yang mampu. Hal ini disebabkan sifat pemurah merupakan satu sifat yang terpuji dalam Islam yang harus dimiliki oleh setiap muslim. Sebagai muslim, idealnya kita menjadi orang yang dapat memberi manfaat kebaikan yang sebesar – sebesarnya kepada orang lain. Rasulullah SAW juga mempunyai sifat mahmudah ini, iaitu suka menderma atau pemurah.
            Dalam hikayat Amir Hamzah, nilai Islam iaitu mempunyai sifat suka menderma ini telah dipraktikkan dalam jiwa sanubari seorang muslim. Hal ini dapat dilihat dalam perwatakan seorang raja yang pemurah iaitu Raja Nusyirwan. Baginda merupakan seorang yang sangat pemurah dengan rakyat jelata. Sifat pemurah Raja Nusyirwan boleh dilihat dalam petikan iaitu:
Ketika itu Umar Umaiyah pun menunjukkan nakalnya, menghantuk – hantukkan piring dan mangkuk emas di dalam bokcanya itu. Maka Raja Nusyirwan pun tertawa gelak – gelak melihat kelakuan Umar Umaiyah demikian. Maka Amir Hamzah pun marah, mukanya merah padam, sebab hamba raja itu mengatakan Umar mencuri itu. Maka kata Nusyirwan melihat Amir Hamzah berubah air mukanya itu, baginda pun bertitah, “Hei kamu kaum Arab, adapun segala talam, mangkuk, pinggan yang keemasan itu sekaliannya kuanugerahkan kepada kamu sekalian.” (Hikayat Amir Hamzah : hlm.100)
Apakala sudah selesai semuanya, maka Amir Hamzah pun pergi menghadap Raja Nusyirwan. Apabila Raja Nusyirwan melihat muka Amir Hamzah, maka baginda pun memberi hadiah akan Amir Hamzah dengan pakaian seperti anak – anak raja. Sudah itu baginda menganugerahi pula Umar Umaiyah dengan pakaian yang khas, serta makan minum dengan Amir Hamzah. Segala hulubalang dan lasykarnya pun dianugerah baginda pakaian (Hikayat Amir Hamzah : hlm. 119)
            Sifat pemurah ini juga diamalkan oleh Khoja Buzurjumhur Hakim iaitu beliau memberi hadiah kepada Khoja Abdul Mutalib dan Umaiyah Zamhuri dalam peristiwa menilik masa depan anak mereka iaitu Amir Hamzah dengan Umar Umaiyah.
Setelah itu maka Khoja Buzurjumhur Hakim pun memberi empat puluh ekor unta serta dengan emas perak akan Khoja Adul Mutalib, “Hei Khoja, apa gunanya emas dan perak ini?”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.25)
Sudah itu, maka Khoja Buzurjumhur Hakim pun memberi emas dan seekor unta kepada Umaiyah Zamhuri, serta dinamainya budak itu Umar Umaiyah. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.25)

2.7       Kasih Sayang
Kasih sayang atau ar –Rahmah merupakan salah satu sifat mahmudah dalam nilai Islam. Muhammad Yusuf Hussain (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998 : 262) menyatakan bahawa sifat kasih sayang kepada semua manusia terutama antara manusia yang seagama sangat dipandang tinggi dan digalakkan oleh Islam. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang tidak bersifat belas kasihan kepada yang ada di bumi, dia pun tidak dikasihi oleh yang ada di langit. (At – Tabrani)
            Selain itu, Abu Urwah (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998 : 263) menyatakan bahawa dalam usaha menjalankan dakwah, seseorang itu perlu mempunyai pendekatan yang baik iaitu mempunyai hati yang lembut yang penuh dengan kasih sayang dan bersifat pemurah. Hal ini disebabkan orang yang menerima dakwah itu tidak melarikan diri.
            Dalam Hikayat Amir Hamzah, sifat kasih sayang banyak dilahirkan dalam kalangan masyarakat pada masa itu. Sifat kasih sayang ini dapat dilihat dalam diri Umar Umaiyah yang begitu menyayangi sahabatnya, Amir Hamzah. Beliau tidak sanggup berpisah dengan Amir Hamzah walaupun hanya seketika. Hal ini dapat dilihat dalam bab 21.
Kemudian daripada itu, maka berkata Amir Hamzah kepada Umar Umaiyah, “Engkau pun pergilah barang ke mana sekehendak hatimu, belayar ke laut, berbuat jenaka, atau mencuri sekalipun.” Maka sahut Umar Umaiyah, “Ya Amir, jangan apalah engkau jauhkan aku dari sini, kerana aku tiada dapat berjauhan daripadamu.” Maka ujar Amir Hamzah, “Adapun sertaku Mukbal Hulab seorang pun padalah.” Maka dengan beberapa musykilnya hati Umar Umaiyah hendak menceraikan dirinya daripada Amir Hamzah, tetapi daripada daruratnya ia pun nyahlah, lalu meninggalkan Amir Hamzah di tempat itu. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.422)
            Sifat ar – Rahmah juga dapat dilihat dalam diri tentera dan pahlawan Arab. Mereka sangat kasih dan sayang akan ketua mereka iaitu Amir Hamzah. Ketika mereka melihat keadaan Umar Umaiyah yang sedang bersedih, mereka menyangkakan bahawa ketua pahlawan Islam mereka, Amir Hamzah meninggal dunia lalu mereka turut bersedih akan hal itu. 
Apabila Umar Umaiyah sampai, maka segala tentera dan pahlawan Arab pun berlari – lari datang bertanyakan khabar Amir Hamzah. Maka oleh Umar Umaiyah berpura – pura dibuatnya seperti dalam percintaan yang amat sangat. Tatkala segala tentera dan pahlawan itu melihat hal Umar Umaiyah demikian itu, maka pada sangka sekalian mereka bahawa Amir Hamzah sudah tiadalah. Maka sekalian mereka pun dengan pencintaan yang amat sangat, dan setengahnya menangis.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.393)
            Kasih sayang dalam Islam bukan hanya hubungan mausia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia namun Islam juga menitikberatkan kasih sayang manusia dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan alam. Dalam hikayat Amir Hamzah, pengarang menonjolkan watak Khoja Buzurjumhur Hakim yang menyayangi haiwan. Hal ini dapat dilihat ketika beliau melepaskan seekor kambing daripada ditambat dan beliau telah memarahi seorang zanggi yang membunuh seekor kambing yang sedang bunting.
Arkian zanggi penunggu taman itu pun menyuruh Khoja Buzurjumhur Hakim duduk pada suatu temapt, dan zanggi itu pun pergilah memungut sayur. Adapun pada tempat Khoja Buzurjumhur Hakim duduk itu, ada seekor kambing tertambat. Kambing itu menyentak –nyentak talinya hendak makan sayur. Setelah melihat demikian halnya kambing itu, maka Khoja Buzurjumhur Hakim pun bangkit perlahan – lahan, lalu diuraikannya tali kambing itu, dilepaskannya. Maka kambing itu pun berlari – lari masuk ke taman bunga itu lalu dimakannya pokok – pokok bunga itu. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.12)
Pada ketika itu Khoja Buzurjumhur Hakim pun ada melihat, lalu ia berkata, “Hei zanggi, tiga yang halal engkau jadikan haram!”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.12)

2.8       Sabar
Sabar merupakan salah satu sifat yang mulia dalam nilai Islam iaitu dapat mengawal seseorang daripada melakukan perbuatan yang tidak baik yang boleh mengundang kemudaratan kepada diri dan orang lain. Abdul Rashid Ahmad (2008) menyatakan bahawa sabar beerti menahan diri daripada gelisah. Manakala Al – Imam al – Ghazali r.h dalam Abdul Rashid Ahmad (2008) juga menjelaskan bahawa sabar adalah keteguhan dan ketabahan bertahan kekuatan keagamaan dalam menentang hawa nafsu.
            Al –Syahid Sayyid Qutb juga berpendapat bahawa kesabaran merupakan satu keperluan kerana untuk menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan memerlukan kesabaran yang kuat di dalam diri.
            Dalam hikayat Amir Hamzah, kesabaran yang tinggi telah ditunjukkan oleh Amir Hamzah ketika beliau menahan marah disebabkan tindakan Umar Umaiyah yang mengambil rasuah daripada Kastam agar tidak menjatuhi anak –anaknya dengan hukuman bunuh.
Setelah Amir Hamzah mendengar kata Umar Umaiyah demikian, maka tahulah ia bahawa Umar Umaiyah sudah makan upah Kastam. Maka daripada daruratnya, ia pun diamlah dengan menahan marahnya, tiada berdaya lagi daripada malunya kepada perbuatan Umar Umaiyah itu.(Hikayat Amir Hamzah : hlm.115)
            Selain itu, dalam Hikayat Amir Hamzah, sifat Umar ibni Hamzah harus diikuti oleh umat Islam yang lain. Hal ini disebabkan beliau mempunyai sifat yang mulia iaitu mempunyai kesabaran hati yang kuat menentang godaan hawa nafsu dan keinginan. Sifat beliau ini dapat dilihat ketika Umar ibni Hamzah digoda oleh Puteri Kilanjaharin. Sifat mulia ini terserlah dalam diri beliau walaupun digoda dengan pelbagai cara oleh Puteri Kilanjaharin namun Umar ibni Hamzah tidak tergoda dan beliau mencari jalan melepaskan diri daripada tuan puteri itu. 
Apabila Puteri Kilanjaharin mendengar kata – kata Umar ibni Hamzah demikian itu, makin pula ditunjukkan makarnya. Kain bajunya pun dilucutkannya, lalu dipeluknya badan Umar ibni Hamzah dibawanya berbaring – baring. Tatkala itu, Umar ibni Hamzah pun hilanglah akalnya, tidak terkata – kata lagi, lalu ia berfikir mencari daya upaya hendak melepaskan dirinya daripada pekerjaan yang terkutuk itu. Maka kata Umar ibni Hamzah, “Hei puteri, sabarlah dahulu, kerana taulanku itu sekalian datang. Apabila mereka itu datang kelak, bolehlah aku pujuk kahwin.  Pada ketika itu tiadalah mulut orang boleh berkata – kata akan hal kita, dan pekerjaan kita pun sempurnalah.” Apabila Puteri Kilanjaharin mendengar kata Umar ibni Hamzah demikian, maka ketika itu juga dipanggilnya seorang utusan, katanya, “Pergilah engkau ke negeri Kasmiri, kerana segala taulan Amir Hamzah ada di sana.(Hikayat Amir Hamzah : hlm. 404)

2.9       Berani Menegakkan Kebenaran
Ibnu Taimiyah (1990) menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai keberanian untuk menegakkan kebenaran merupakan seseorang yang melibatkan diri dalam amar ma’ruf nahi mungkar. Ibnu Taimiyah juga menegaskan bahawa sifat berani menegakkan kebenaran itu harus ada untuk menyampaikan dakwah, dalam pengertian teguh pendirian yang didasari oleh keyakinan dan keimanan yang penuh kepada Allah SWT. Sifat ini dimiliki oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dan menegakkan agama Islam. Sifat baginda ini telah dicontohi oleh wira – wira Islam dan para sahabat nabi Muhammad SAW.
            Dalam hikayat Amir Hamzah, sifat berani dalam menegakkan dan mempertahankan agama Allah dapat dilihat dalam perwatakan Amir Hamzah. Beliau dikenali sebagai amirul mukminin dalam kalangan sahabat dan para pejuang yang lain. Keberanian beliau banyak diceritakan dalam karya A. Samad Ahmad. Penonjolan keberanian beliau menunjukkan beliau seorang yang gagah dan menjadi wira dalam perjuangan Islam. hal ini dapat dilihat semasa Raja Manzur Syah menitahkan Bahrum dan 600 orang askar pergi menangkap Amir Hamzah dan Umar Umaiyah. Namun begitu, Amir Hamzah hanya tersenyum dan tidak berganjak daripada tempat itu. Sifat keberanian beliau dan Umar Umaiyah menyebabkan mereka selalu menang dalam peperangan dan ramai musuh sebelum ini telah diislamkan oleh mereka.
Setelah dilihat oleh Umar Umaiyah lasykar banyak datang itu, ia pun berkata kepada Amir Hamzah, “Ya Amirul Mukminin, apa bicara Amir sekarang, pada bicara hamba baiklah kita lari, senyampang lasykar itu belum dekat.” Amir Hamzah tersenyum mendengar kata Umar itu, tiada ia berkata apa – apa. Pada ketika itu Bahrum pun hampir, serta menyuru kepung pada lasykarnya, sambil mengeluarkan cokmarnya yang berat lima ratus man itu hendak dipalunya kepala Amir Hamzah. Tiada berganjak Amir Hamzah daripada tempat duduknya, pura – pura tiada melihat. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.61)  

2.10     Mengikat Tali Persaudaraan
Shakil Ahmad Khan & Wasim Ahmad (2005 : 87) berpendapat bahawa perbuatan saling membenci, saling iri hati, saling memarahi dan seumpamanya secara tegas terlarang dalam ajaran Islam. Oleh itu, setiap Muslim diwajibkan untuk menghubungkan tali silaturahim dan mengikat tali persaudaraan.  Asep Burhanudin (2005 : 38) menyatakan bahawa tokoh Islam iaitu Ghulam Ahmad telah mengikat tali persaudaraan dengan hamba Allah semata – mata kerana Allah Swt. dengan pengakuan taat dalam hal ma’ruf dan akan berdiri di atas perjanjian ini hingga menemui ajal. Tali persaudaraan ini begitu tinggi wawasannya, sehingga tidak akan diperoleh bandingannya baik dalam ikatan persaudaraan dunia mahupun kekeluargaan. Dalam hadis juga menekankan betapa pentingnya pertalian persaudaraan dalam Islam.
Dari Anas bin Malik r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda, Janganlah saling membenci, saling iri, saling bermusuhan, dan jadilah kalian hamba Allah yang saling bersaudara. Tidak halal bagi muslim memutuskan persahabatan dengan saudaranya lebih dari tiga malam.” (Sahih al – Bukhari)
Dalam hikayat Amir Hamzah, pengarang menonjolkan nilai Islam iaitu ikatan tali persaudaraan antara orang Islam dan bukan beragama Islam. Pengarang juga menghubungkaitkan persaudaraan dengan nilai Islam lain iaitu bersatu padu atau bekerjasama dalam memperjuangkan Islam. Hal ini membolehkan pembaca mengetahui bahawa kesan ikatan tali persaudaraan dan hidup bersatu padu sesama manusia sangat penting kerana hal ini dapat mengelakkan berlakunya  peperangan dan menjamin kesejahteraan hidup.
Sehari kemudian, Mukbal Hulab pun sampailah dengan segala lasykarnya, lalu ia menyembah Amir Hamzah. Disuruh oleh Amir Hamzah ia duduk di atas kerusi Johan Pahlawan serta diberi oleh Amir Hamzah persalin sepertinya. Ketika itu Raja Manzur Syah pun datang kepada Amir Hamzah seraya berkata, “Ya Amirul Mukminin, bahawa hamba ini telah tualah, maka anak hamba Ni’man itu hamba ini telah tualah, maka anak hamba Ni’man itu hamba serahkanlah kepada tuan hamba, supaya ia berbuat khidmat kepada hamba.” Maka kata Amir Hamzah, “Jika sekali raja suka anakanda itu menjadi saudara kepada hamba, seratus kali hamba suka.” Maka Ni’man pun datanglah menyembah Amir Hamzah, lalu Amir Hamzah pun memberi persalinan akan Ni’man.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.66 – 67)
Selain itu, persaudaraan ini telah mewujudkan sikap bersatu padu antara Amir Hamzah dan pejuang – pejuang Islam yang lain. Hal ini menyebabkan musuh Islam menjadi gugup dan takut akan perpaduan para pejuang Islam pada ketika itu.
Setelah kastam sedar dari pengsan, ia pun memberi isyarat kepada lasykarnya dan segala raja – raja yang di bawah perintah Nusyirwan, katanya, “Hei kamu sekalian! Hei kamu segala hamba dan lasykarku, bunuhlah Arab ini!” Apabila segala raja – raja dan lasykarnya mendengar kata Kastam itu, maka semuanya pun menghunus pedang dan segala senjata masing – masing. Setelah dilihat oleh lasykar Arab sekalian akan hal yang demikian itu, mereka sekalian pun menghunus pedang, lalu menghampiri Amir Hamzah. Apabila Kastam melihat hal demikian itu, ia pun takut, lalu ia berkata, “Hei segala lasykarku mengapa kamu sekalian menghunus senjata kamu di hadapan raja ini? Jikalau raja bertitah kepada kamu sekalian kerjakanlah.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.108)

2.11     Bersyukur dan Puas Hati
Sifat suka bersyukur merupakan salah satu sifat mahmudah yang digariskan dalam nilai – nilai Islam. Melvi Yendra dan Mira Rainayati (2007) menyatakan bahawa sifat syukur terbahagi kepada dua iaitu syukur hamba terhadap Allah dan syukur Allah terhadap hambaNya. Nabi Muhammad saw. bersabda, “ orang taat yang bersyukur, sama darjatnya dengn orang yang berpuasa lalu bersabar.”
Muhammad Fadzillah Kamsah (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998) menyatakan ciri orang yang bersyukur dan berpuas hati dengan kehendak Allah Swt. iaitu kedamaian dan ketenangan fikiran ialah milik orang yang sentiasa mengerjakan solat. Orang yang sempurna solatnya akan mengalami kepuasan yang hakiki. Mereka akan tenang dan reda apabila ditimpa bencana, masalah atau sebarang kesusahan.
Dalam Hikayat Amir Hamzah, Amir Hamzah, keluarga, dan para pejuang Islam mempunyai nilai Islam dalam diri mereka  iaitu mempunyai sifat suka mensyukuri nikmat yang  diberikan Allah kepada hambaNya. 
Sesudah itu, Amir Hamzah pun menghambat lasykar Hisyam yang lari itu sekira – kira empat keruh bumi jauhnya; kemudian ia pun kembalilah dengan kemenangan, serta datang menyembah kaki ayahandanya, Khoja Abdul Mutalib. Maka Khoja Abdul Mutalib pun mendakap anaknya itu mengucap syukur beribu – ribu syukur, serta memohon doa kepada Allah Taala kiranya dimenangkan anaknya dan lasykarnya daripada segala seterunya. (Hikayat Amir Hamzah : hlm. 72)

2.12     Menghormati Tetamu
Menghormati  tetamu (ikram al-dayf) merupakan perkara yang dititikberatkan dalam Islam. Alias Othman & Anisah Ab. Ghani (2008) menyatakan bahawa menghormati tetamu bermaksud berbuat baik kepada tetamu dengan memberi makan dan memenuhi keperluannya. Dalam Islam ada dua kategori tetamu iaitu dhaif dan jaizah. Dhaif bermaksud tetamu yang menumpang singgah sehingga tiga hari tiga malam manakala jaizah pula ialah tetamu yang menumpang satu hari satu malam. Dalam hadis Rasulullah juga memberitahu pentingnya memuliakan tetamu.
“Orang yang beriman kepada Allah hendaklah berkata yang baik ataupun diam, orang yang beriman kepada Allah hendaklah memuliakan jirannya,orang yang beriman kepada Allah hendaklah memuliakan tetamunya”.
Dalam hikayat Amir Hamzah, nilai ini diamalkan dalam struktur masyarakat Islam pada masa itu. Pengarang menonjolkan sifat orang Islam yang baik iaitu memuliakan tetamu tidak kira latar belakang yang berbeza iaitu perbezaan dari segi status, agama dan lain – lain.
Ketika Amir Hamzah bertemu dengan Saiyakhas, keduanya pun turun dari atas kuda berjabat tangan serta berpeluk bercium dengan beberapa hormat mulianya. Sudah itu, Saiyakhas pun dibawa oleh Amir Hamzah masuk ke istananya, dipersalinnya Saiyakhas dengan pakaian yang mulia – mulia, dan diperjamunya makan minum dengan sepertinya.( Hikayat Amir Hamzah : hlm. 90)

3.0       Kesimpulan
Hikayat Amir Hamzah merupakan sebuah karya teks sastera yang amat penting, dilihat dari sudut emosi, isi dan nilai budaya yang terkandung di dalamnya. Dalam Hikayat Amir Hamzah ini terdapat banyak nilai – nilai Islam iaitu dari segi pengajaran dan teladan kepada semua.
Hikayat Amir Hamzah mendedahkan pembaca mengenali nilai – nilai yang baik iaitu nilai – nilai Islam yang meliputi sifat mahmudah seperti sabar, memelihara kesucian diri, cinta akan keadilan, menepati janji, tawakal, pemaaf, pemurah, kasih sayang, sabar dan sebagainya. Pendedahan ini juga mendedahkan para pembaca tentang nilai – nilai Islam yang perlu diserapkan dalam diri para pembaca untuk pembentukan modal insan setiap individu pada masa ini. Di samping itu, para pembaca turut dilatih membuat penilaian kritis terhadap nilai – nilai Islam ini untuk dijadikan iktibar dan tauladan dalam kehidupan seharian.