NILAI - NILAI ISLAM
DALAM HIKAYAT AMIR HAMZAH
Hasmida binti Hassan
Fakulti Bahasa dan
Komunikasi
Universiti Pendidikan
Sultan Idris
Perak, Malaysia
Abstrak
Artikel
ini adalah berkenaan nilai – nilai Islam dalam Hikayat Amir Hamzah. Penelitian
mendalam akan ditumpukan terhadap penulisan karya agung. Secara amnya,
penghasilan karya – karya berunsur sejarah ini memiliki objektif dan peranan
tersendiri dan amat penting dalam konteks pengetahuan pengkajian aspek – aspek
politik, sosioekonomi dan budaya masyarakat Asia Barat yang disesuaikan dengan
budaya penduduk Tanah Melayu. Pengkajian secara kaedah analisis teks terhadap
karya pilihan iaitu Hikayat Amir Hamzah akan mendedahkan para pembaca mengenali
nilai – nilai yang baik iaitu nilai – nilai Islam yang meliputi sifat mahmudah
seperti sabar, memelihara kesucian diri, cinta akan keadilan, menepati janji,
tawakal, pemaaf, pemurah, kasih sayang, sabar dan sebagainya. Pendedahan ini
juga mendedahkan para pembaca tentang nilai – nilai Islam yang perlu diserapkan
dalam diri para pembaca untuk pembentukan modal insan setiap individu pada masa
ini. Di samping itu, para pembaca turut dilatih membuat penilaian kritis
terhadap nilai – nilai Islam ini untuk dijadikan iktibar dan tauladan dalam
kehidupan seharian
1.0 Pengenalan
Seri
Lanang Jaya Hj. Rohani et.al. (2013:
3) menyatakan bahawa karya agung Melayu merupakan karya yang melambangkan
keunggulan daya cipta penulis, seniman dan pemikir bangsa Melayu dalam
menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, kesedaran moral dan
seumpamanya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan
seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa
Melayu.
Hikayat
Amir Hamzah merupakan salah sebuah karya agung yang hebat dari segi penceritaan
tentang perihal kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam. Cerita tentang
perjuangan Amir Hamzah ini telah ditokok tambah dengan pelbagai kisah
peperangan dan pengembaraan yang bercorak khayalan dan fantasi. Namun demikian,
terdapat sebuah cerita yang dikatakan telah digubah tentang Hamzah berjudul
Qissah Maghazi Hamzah (cerita peperangan Hamzah). Cerita Amir Hamzah ini
tertulis dalam bahasa Parsi kira – kira abad ke -11 Masihi, sedang tulisan
cerita ini yang ditulis dalam bahasa Arab seperti yang disebutkan oleh Ibn
Taimiah, bertarikh pada abad ke – 13 Masihi. Van Ronkel berpendapat bahawa
cerita Amir Hamzah ini pada mulanya dituliskan dalam bahasa Parsi, kemudian ia
telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.
Karya-karya dalam kesusasteraan Melayu lama berunsur Islam,
diperkenalkan oleh penulis-penulis Melayu yang berorientasikan tradisi Islam.
Justeru itu dalam karya-karya sastera Melayu berunsur Islam, gambaran tentang
perwatakan wira didasarkan kepada nilai-nilai Islam. Konsep epik daripada
sastera Melayu berunsur Islam dapat didasarkan kepada perwatakan utama hikayat
tersebut. Model kepahlawanan tokoh-tokoh utama telah menjadi ikutan dan
pendorong kepada pahlawan-pahlawan Melayu untuk berjuang menentang musuh
mereka. Hikayat Amir Hamzah dibacakan
di Melaka sewaktu negeri itu diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Pembacaan
hikayat tersebut bertujuan untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu bagi
menentang serangan orang Portugis.
Menurut
Ismail Hamid (1990 : 203), epik yang terdapat dalam sesebuah karya itu dapat
dilihat melalui perwatakan kegagahan, menegakkan kebenaran, menegakkan
keadilan, memenuhi janji, sifat tolong menolong, nilai pengampun, nilai pemurah
dan menghormati orang lain, kepimpinan dan kebijaksanaan dan yang terakhir
ialah pengembangan agama Islam. Unsur-unsur inilah yang telah membuatkan Hikayat Amir Hamzah diangkat
sebagai sebuah karya kebanggaan Melayu.
2.0 Nilai – Nilai Islam
Asmawati
Suhid (2009) menyatakan bahawa perkataan Islam bererti mentauhidkan Allah SWT,
patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran yang dibawa
oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT. Nilai – nilai Islam merupakan nilai
adab dan akhlak yang digariskan dalam Islam iaitu perkara yang disarankan dalam
Al – Quran. Sifat mahmudah merupakan
nilai – nilai yang baik disarankan untuk
menjadi tauladan dan pegangan untuk menjadi seorang modal insan yang berwawasan
tinggi.
2.1 Memelihara Kesucian Diri (Al – Iffah)
Syahrul
Faizaz Abdullah dalam Mardzelah Makhsin (2003 : 109) menyatakan bahawa iffah
merupakan sifat yang dapat mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada
kemahuan akal dan syariat. Menurut Muhammad Yusuf Hussain (1986) dalam Ahmad
Mohd Salleh (1998 : 267) pula sifat al – iffah bermaksud menjaga diri daripada
segala keburukan supaya terpelihara kehormatan diri. Seseorang individu yang
bergelar Muslim mesti sentiasa berusaha menjaga kehormatan dan kesucian dirinya
daripada melakukan sesuatu kemungkaran iaitu setiap muslim harus berusaha menjaga
hawa nafsu, lidah dan juga hatinya daripada melakukan perkara – perkara yang
dilarang oleh Alllah S.W.T.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, nilai akhlak mahmudah iaitu sifat al –iffah ( memelihara
kesucian diri) dapat dilihat melalui sifat yang ditonjolkan oleh Amir Hamzah
dalam peristiwa beliau ditangkap dan dilarikan oleh Puteri Indera Negeri ke
dalam sebuah gua batu. Puteri Indera Negeri sangat meminati dan berahi terhadap
Amir Hamzah. Namun, Amir Hamzah tidak tergoda dan menolak permintaan puteri itu
walaupun diugut kerana beliau takut melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.
Maka dilihatnya dirinya
terbaring di dalam gua batu terikat, dan ada seorang perempuan duduk di
sisinya. Amir Hamzah pun menyebut nama Allah Subhanahu wa Taala dengan
lidahnya, kemudian ia pun berkata kepada
perempuan yang duduk di sisinya itu, “Hei perempuan bedebah, siapa
engkau ini?” Maka jawab perempuan itu, “Akulah Puteri Indera Negeri,” lalu
diceterakannyalah perihal berahinya akan Amir Hamzah. Maka kata Amir Hamzah,
“Hei perempuan yang fasik, bukankah engkau ini isteri Raja Nusyirwan? Adapun
Raja Nusyirwan itu pangkat bapa kepada aku, kerana mentua kepada aku. Maka
engkau pun pangkat ibulah kepada aku; betapa perinya berbuat terlanjur
kepadanya dan beberapa kata – kata nasihat lagi dikatakan oleh Amir Hamzah
kepadanya, tetapi tidak juga didengarnya. (Hikayat Amir Hamzah : hlm. 475)
2.2 Cinta Akan Keadilan
Ahmad
Mohd Saleh (1998: 263) berpendapat bahawa niai utama akhlak yang baik ialah
berlaku adil. Menurut beliau, adil membawa maksud meletakkan sesuatu pada
tempatnya, memberi hak kepada mereka yang memiliki hak dan membebankan
kewajipan bagi mereka yang mempunyai kewajipan. Hak yang diberikan mesti sama
rata iaitu tidak kurang dan tidak juga lebih. Muhammad Fadzillah Kamsah (1986)
dalam Ahmad Mohd Saleh (1998) pula menyatakan bahawa setiap Muslim dituntut
supaya berlaku adil kepada dirinya sendiri dan juga kepada manusia lain. Sifat
adil ini harus diamalkan kepada semua aspek kehidupan. Keadilan dituntut dalam
Islam kerana ingin mencegah kezaliman yang boleh menyebabkan kecelakaan,
penderitaan dan seksaan.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, pengarang menonjolkan sifat cinta akan keadilan dalam
watak Raja Nusyirwan dan watak Amir Hamzah. Dalam watak Nusyirwan digambarkan
seorang raja yang adil dalam negeri Mada’in sewaktu pemerintahan baginda.
Ketika pemerintahan Raja Nusyirwan, baginda telah mengambil ufti dan
menyebabkan penganiayaan berlaku kepada orang dusun. Hal ini menyebabkan
baginda berasa kecewa atas tindakannya kerana mendengar nasihat Bakhtik.
Oleh
hal yang demikian, atas pertolongan Khoja Buzurjumhur Hakim, baginda telah
mengambil tindakan dengan menghantar surat kepada para penghulu di dalam negeri
Mada’in dan kawasan jajahannya dengan menyatakan peraturan baru iaitu pengutipan
ufti mengikut adat seperti pemerintahan pada zaman Sultan Kobat Syahril dan
pembayaran ufti kepada Bakhtik tidak dibenarkan. Hal ini menyebabkan segenap
jajahan peerintahannya berasa gembira dan tidak berasa tidak teraniaya lagi
oleh sifat keadilan baginda. Raja Nusyirwan juga menitahkan orang
menggantungkan sebuah loceng besar untuk mengelakkan daripada ketidakadilan
berlaku. Peristiwa ini boleh dilihat dalam bab dua.
Pada suatu hari, Khoja
Buzurjumhur Hakim berdatang sembah kepada Raja Nusyirwan,“Ya Tuanku Syah Alam,
akan sekarang baik juga Duli Yang Dipertuan menitahkan orang menggantungkan
sebuah genta besar dengan rantainya sebagai tanda alamat adil Syah Alam dalam
negeri ini. Barang siapa teraniaya digerakkannyalah genta itu.” Maka raja pun
kabullah seperti kata khoja itu, lalu baginda menyuruh orang menggantungkan
genta itu di muka pintu gerbang serta dengan rantainya. Maka barang siapa ada
teraniaya, digerakkannyalah genta itu, dan pada seketika itu juga disuruh
baginda periksai, siapa – siapa teraniaya dan siapa yang menganiaya. (Hikayat
Amir Hamzah : hlm.30)
Selain
itu, pemimpin Islam ialah seorang yang berlaku adil terhadap musuh dan tawanan
atau seteru perjuangan. Para musuh tidak dianiayakan tetapi sebaliknya mereka
diberi layanan secukupnya dan berperikemanusiaan. Sifat balas dendam tiada
tempat kepada pemimpin yang berperikemanusiaan tertinggi dalam agama Islam.
Dalam watak Amir Hamzah, pengarang menunjukkan sifat Amir Hamzah yang sentiasa
berjuang untuk menegakkan keadilan dalam kalangan manusia. Sikap terpuji ini
merupakan satu sikap yang menyebabkan beliau digelar sebagai wira dalam sastera
Islam. Peristiwa keadilan beliau boleh dilihat dalam bab Sembilan.
Maka pada ketika itu,
Umar Muad Karab berserta saudara – saudaranya yang empat puluh orang itu pun
kesemuanya membawa iman dan ikrarlah kepada agama Islam. Sudah itu, maka Amir
Hamzah sendiri bangkit dari atas kerusinya pergi menghuraikan pengikat Umar Muad
Karab dan segala saudaranya. Kemudian diberinya pula persalinan yang khas, dan
Umar Muad Karab disuruhnya duduk di atas kerusi yang keemasan; segala
saudaranya pun diberi anugerah oleh Amir Hamzah. (Hikayat Amir Hamzah : hlm
80-81)
2.3 Menepati Janji
M.Z.
Azmie (2008) menyatakan bahawa menepati janji menjadi prinsip yang menentukan
ketakwaan seseorang. Sekiranya seseorang memungkiri janji yang telah diikat
secara sah, ianya menjadi petunjuk kepada sifat munafik. Sebagai contoh,
seseorang yang bercakap benar merupakan seseorang yang menepati janji. Golongan
yang menepati janji selalunya akan dihormati dan disanjungi oleh masyarakat.
Bahkan, Islam juga menekankan bahawa tepati janji sangat penting untuk
dititikberatkan oleh semua. Daud Rasyid (1998) menyatakan bahawa orang yang
menepati janjinya pada Allah S.W.T ialah orang yang terpuji di sisi Allah.
Dalam
Hikayat Amir Hamzah, menepati janji selalu diamalkan oleh perwira Islam iaitu
Amir Hamzah. Janji beliau terhadap seseorang selalu ditunaikan dengan sebaiknya
walaupun pelbagai rintangan berlaku dalam perjuangan beliau. Sifat beliau yang
suka tepati janji ini boleh dilihat sewaktu beliau membuat perjanjian dengan
musuh – musuh sewaktu peperangan. Sekiranya musuh – musuhya memeluk Islam,
beliau memegang janji akan membebaskan mereka. Perjanjian ini dapat dilihat
sewaktu penghantaran surat kepada Umar Muad Karab iaitu beliau berjanji akan
membebaskan dan menjadikan Umar Muad Karab sebagai ketua pahlawan di bawah
beliau. Selepas itu, beliau menggotai janji beliau dengan membebaskan Muad
Karab dan pengikut – pengikutnya dan Muad Karab memegang janjinya menjadi
pahlawan di bawah pemerintahan Amir Hamzah.
Setelah itu, segala
lasykar Umar Muad Karab pun datang masuk bercampul gaul dengan lasykar Amir
Hamzah, semuanya membawa imanlah masuk Islam. Tatkala itu, maka Umar Umaiyah
pun datanglah mengenakan anting – anting keemasan pada telinga Umar Muad Karab
serta segala saudaranya. Apabila dilihat oleh Amir Hamzah kelakuan Umar Umaiyah
itu, maka ia pun berkata, “Hei Umar, engkau pengapakan Umar Muad Karab itu,”
Maka sahut Umar Umaiyah, “Ya Amirul Mukminin, hamba meneguhkan janji.” Maka
berkata pula Umar Muad Karab, “Ya Amirul Mukminin, telah redalah hamba akan
anting – anting ini.”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.81)
Peristiwa
Amir Hamzah memegang janjinya kepada Tawaf Khazanah dapat dilihat dalam bab
Sembilan. Dalam peristiwa ini, Amir Hamzah sangat menepati janjinya kepada
seseorang yang bernama Tawaf Khazanah walaupun seorang wanita yang sangat
cantik menyukainya. Namun, beliau menolak kerana beliau merupakan seorang yang
memegang janjinya.
Segala kata – kata
Puteri Hamani Ta’ifah itu pun dipersembahkan kepada Amir Hamzah. Maka kata Amir
Hamzah. “Hei telangkai, dahulu lagi bapanya hendak berikan kepada aku, tiada
aku kabulkan; sebabnya sudah aku berjanji dengan Tawaf Khazanah, ia sudah jadi
halal, orang lain tiada patut.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.68)
Selain
itu, pengarang juga menonjolkan watak seperti Khoja Buzurjumhur Hakim sebagai
seorang yang menepati janji. Hal ini dapat dilihat ketika beliau memberikan
anak perempuan Alkis Menteri kepada seorang Habsyi setelah beliau membuat
perjanjian dengannya. Perjanjian itu dibuat ketika seorang Habsyi yang diberi
arahan oleh Alkis Menteri untuk membunuh beliau. Namun, Habsyi tersebut tidak
membunuh Khoja Buzurjumhur Hakim kerana dia percaya akan janji Khoja
Buzurjumhur Hakim yang akan menyerahkan anak perempuan Alkis Menteri yang
dicintai kepadanya.
Titah raja kepada
segala menteri. “Jikalau demikian nyatalah Alkis Menteri berbuat aniaya kepada
Khoja Buzurjumhur Hakim.” Ketika itu juga disuruh raja sulakan Alkis Menteri;
segala rumah tangga dan anak isterinya diserahkan raja kepada Khoja Buzurjumhur
Hakim. Maka oleh Khoja diambilnya seorang anak perempuan Alkis Menteri akan
isterinya, dan yang seorang lagi diberikan kepadanya kepada hulubalang Habsyi
itu. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.19)
2.4 Tawakal kepada Allah SWT
Sifat
tawakal kepada Allah merupakan satu ciri orang yang beriman. H. Ahmad Yani
(2007) menyatakan bahawa tawakal berasal daripada perkataan “wakala” yang
bermaksud menyerahkan, mempercayai atau mewakili urusan orang lain. Dari segi
istilahnya, tawakal adalah dengan menyerahkan segala perkara dan usaha yang
dilakukan oleh Allah SWT serta berserah diri sepenuhnya kepada Allah untuk
mendapatkan kerahmatan dan menolak kemudaratan. Beliau juga menyatakan bahawa
tawakal merupakan pekerjaan hati manusia dan puncak tertinggi keimanan.
Dalam
Hikayat Amir Hamzah, perwatakan dan sifat terpuji Amir Hamzah dapat dilihat
beliau merupakan seorang yang suka bertawakal kepada Allah SWT. Hal ini
merupakan nilai Islam yang terpuji untuk menjadi teladan kepada umat Islam.
Amir Hamzah tidak gentar atau takut dengan ugutan musuhnya dan tidak takut mati
kerana beliau percaya semua yang berlaku adalah dengan kehendak Alllah SWT.
Sifat beliau yang suka bertawakal kepada Allah dapat dilihat ketika beliau
berperang dengan Mukbal Hulab.
Ujar Amir Hamzah, “Hei
pahlawan, sebagaimu ini jika empat kali lagi pun engkau memanah akan daku,
dengan tolong Tuhan sarwa sekalian alam, tiada apa bahananya kepada aku.” (Hikayat
Amir Hamzah : hlm 56- 57)
Selain
itu juga, sifat Amir Hamzah yang suka bertawakal kepada Allah terserlah ketika
berperang dengan Hisyam anak Alkimah.
Setelah dilihat oleh
Hisyam tiada apa – apa mara kepada Amir Hamzah, bahkan ia terdiri juga seperti
harimau hendak menerkam lakunya, maka Hisyam berkata, “Hei Arab, tiadakah
engkau mati? Aku sangka sudah matilah engkau dengan sekali paluku itu.” Sahut
Amir Hamzah, “Hei kafir yang tiada mengenal Tuhan, jika tiada dengan Tuhan
Rabbulalamin, tiada aku mati. Aku hidup ini pun dengan kehendak Tuhanku jua.”( Hikayat
Amir Hamzah : hlm.71)
2.5 Pemaaf
H.
Ahmad Yani (2007) menyatakan bahawa hal – hal yang diutamakan dalam Islam
beerti memiliki keistimewaan tersendiri di hadapan Allah SWT dengan Rasulnya.
Oleh sebab itu, setiap muslim harus berusaha memilikinya. Salah satunya adalah
dengan memaafkan orang lain. Allah Swt berfirman,
Sesungguhnya
kesalahan hanya ada pada orang – orang yang berbuat zalim kepada manusia dan
melampaui batas di bumi tanpa (mengindahkan) kebenaran. Mereka itu mendapat
siksaan yang pedih. Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang
demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.” (asy-syuura :42-43)
Sifat
afwu yakni memaafkan dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW ketika umatnya melakukan
kesalahan terhadapnya. Sifat terpuji ini telah diikuti oleh para sahabat nabi
dan juga tokoh – tokoh Islam. Dalam Hikayat Amir Hamzah, sifat terpuji ini
telah dimiliki oleh Amir Hamzah dalam perjuangannya. Sifat pemaaf Amir Hamzah
dapat dilihat semasa peristiwa anak – anak Kastam membunuh Bahram Haqan. Beliau
sangat memarahi tindakan anak – anak Kastam itu dan menyuruh Umar Umaiyah
menjatuhkan hukuman bunuh kepada mereka. Namun begitu, Kastam merayu agar anak
– anaknya diampunkan dosa – dosa mereka. Oleh itu, anak – anak Kastam
dibebaskan daripada oleh Amir Hamzah.
Kemudian dengan
marahnya Amir Hamzah berkata kepada Umar Umaiyah “Pergilah bunuh olehmu keempat
– empat ini.” Apabila pahlawan Kastam mendengar kata Amir Hamzah demikian itu,
ia pun berlari – lari datang menyembah kaki Amir Hamzah, minta ampun akan dosa anak
–anaknya, dan kepada Khoja Buzurjumhur Hakim pun ia menyembah, minta tolong.( Hikayat
Amir Hamzah : hlm.115)
2.6 Pemurah
Sifat pemurah juga dikenali sebagai
as – sakhaar’u iaitu sikap suka
memberi kepada orang yang memerlukan pertolongan atau bantuan di luar kewajipan
yang harus ditunaikannya. (H. Ahmad Yani, 2007: 90). Dalam Islam juga menuntut
zakat, infak dan sedekah bagi yang mampu. Hal ini disebabkan sifat pemurah merupakan
satu sifat yang terpuji dalam Islam yang harus dimiliki oleh setiap muslim.
Sebagai muslim, idealnya kita menjadi orang yang dapat memberi manfaat kebaikan
yang sebesar – sebesarnya kepada orang lain. Rasulullah SAW juga mempunyai
sifat mahmudah ini, iaitu suka menderma atau pemurah.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, nilai Islam iaitu mempunyai sifat suka menderma ini telah
dipraktikkan dalam jiwa sanubari seorang muslim. Hal ini dapat dilihat dalam
perwatakan seorang raja yang pemurah iaitu Raja Nusyirwan. Baginda merupakan
seorang yang sangat pemurah dengan rakyat jelata. Sifat pemurah Raja Nusyirwan
boleh dilihat dalam petikan iaitu:
Ketika itu Umar Umaiyah
pun menunjukkan nakalnya, menghantuk – hantukkan piring dan mangkuk emas di
dalam bokcanya itu. Maka Raja Nusyirwan pun tertawa gelak – gelak melihat
kelakuan Umar Umaiyah demikian. Maka Amir Hamzah pun marah, mukanya merah
padam, sebab hamba raja itu mengatakan Umar mencuri itu. Maka kata Nusyirwan melihat
Amir Hamzah berubah air mukanya itu, baginda pun bertitah, “Hei kamu kaum Arab,
adapun segala talam, mangkuk, pinggan yang keemasan itu sekaliannya
kuanugerahkan kepada kamu sekalian.” (Hikayat Amir Hamzah : hlm.100)
Apakala sudah selesai
semuanya, maka Amir Hamzah pun pergi menghadap Raja Nusyirwan. Apabila Raja
Nusyirwan melihat muka Amir Hamzah, maka baginda pun memberi hadiah akan Amir
Hamzah dengan pakaian seperti anak – anak raja. Sudah itu baginda menganugerahi
pula Umar Umaiyah dengan pakaian yang khas, serta makan minum dengan Amir Hamzah.
Segala hulubalang dan lasykarnya pun dianugerah baginda pakaian (Hikayat Amir
Hamzah : hlm. 119)
Sifat
pemurah ini juga diamalkan oleh Khoja Buzurjumhur Hakim iaitu beliau memberi hadiah
kepada Khoja Abdul Mutalib dan Umaiyah Zamhuri dalam peristiwa menilik masa
depan anak mereka iaitu Amir Hamzah dengan Umar Umaiyah.
Setelah itu maka Khoja
Buzurjumhur Hakim pun memberi empat puluh ekor unta serta dengan emas perak
akan Khoja Adul Mutalib, “Hei Khoja, apa gunanya emas dan perak ini?”( Hikayat
Amir Hamzah : hlm.25)
Sudah itu, maka Khoja
Buzurjumhur Hakim pun memberi emas dan seekor unta kepada Umaiyah Zamhuri,
serta dinamainya budak itu Umar Umaiyah. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.25)
2.7 Kasih Sayang
Kasih sayang atau ar –Rahmah merupakan
salah satu sifat mahmudah dalam nilai Islam. Muhammad Yusuf Hussain (1986)
dalam Ahmad Mohd Saleh (1998 : 262) menyatakan bahawa sifat kasih sayang kepada
semua manusia terutama antara manusia yang seagama sangat dipandang tinggi dan
digalakkan oleh Islam. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud:
Sesiapa
yang tidak bersifat belas kasihan kepada yang ada di bumi, dia pun tidak
dikasihi oleh yang ada di langit. (At – Tabrani)
Selain
itu, Abu Urwah (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998 : 263) menyatakan bahawa
dalam usaha menjalankan dakwah, seseorang itu perlu mempunyai pendekatan yang
baik iaitu mempunyai hati yang lembut yang penuh dengan kasih sayang dan
bersifat pemurah. Hal ini disebabkan orang yang menerima dakwah itu tidak melarikan
diri.
Dalam
Hikayat Amir Hamzah, sifat kasih sayang banyak dilahirkan dalam kalangan
masyarakat pada masa itu. Sifat kasih sayang ini dapat dilihat dalam diri Umar
Umaiyah yang begitu menyayangi sahabatnya, Amir Hamzah. Beliau tidak sanggup
berpisah dengan Amir Hamzah walaupun hanya seketika. Hal ini dapat dilihat
dalam bab 21.
Kemudian daripada itu,
maka berkata Amir Hamzah kepada Umar Umaiyah, “Engkau pun pergilah barang ke
mana sekehendak hatimu, belayar ke laut, berbuat jenaka, atau mencuri sekalipun.”
Maka sahut Umar Umaiyah, “Ya Amir, jangan apalah engkau jauhkan aku dari sini,
kerana aku tiada dapat berjauhan daripadamu.” Maka ujar Amir Hamzah, “Adapun
sertaku Mukbal Hulab seorang pun padalah.” Maka dengan beberapa musykilnya hati
Umar Umaiyah hendak menceraikan dirinya daripada Amir Hamzah, tetapi daripada
daruratnya ia pun nyahlah, lalu meninggalkan Amir Hamzah di tempat itu. (Hikayat
Amir Hamzah : hlm.422)
Sifat
ar – Rahmah juga dapat dilihat dalam diri tentera dan pahlawan Arab. Mereka
sangat kasih dan sayang akan ketua mereka iaitu Amir Hamzah. Ketika mereka
melihat keadaan Umar Umaiyah yang sedang bersedih, mereka menyangkakan bahawa
ketua pahlawan Islam mereka, Amir Hamzah meninggal dunia lalu mereka turut
bersedih akan hal itu.
Apabila Umar Umaiyah sampai,
maka segala tentera dan pahlawan Arab pun berlari – lari datang bertanyakan
khabar Amir Hamzah. Maka oleh Umar Umaiyah berpura – pura dibuatnya seperti
dalam percintaan yang amat sangat. Tatkala segala tentera dan pahlawan itu
melihat hal Umar Umaiyah demikian itu, maka pada sangka sekalian mereka bahawa
Amir Hamzah sudah tiadalah. Maka sekalian mereka pun dengan pencintaan yang
amat sangat, dan setengahnya menangis.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.393)
Kasih
sayang dalam Islam bukan hanya hubungan mausia dengan Allah SWT dan hubungan
manusia dengan manusia namun Islam juga menitikberatkan kasih sayang manusia
dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan alam. Dalam hikayat Amir Hamzah,
pengarang menonjolkan watak Khoja Buzurjumhur Hakim yang menyayangi haiwan. Hal
ini dapat dilihat ketika beliau melepaskan seekor kambing daripada ditambat dan
beliau telah memarahi seorang zanggi yang membunuh seekor kambing yang sedang
bunting.
Arkian zanggi penunggu
taman itu pun menyuruh Khoja Buzurjumhur Hakim duduk pada suatu temapt, dan
zanggi itu pun pergilah memungut sayur. Adapun pada tempat Khoja Buzurjumhur
Hakim duduk itu, ada seekor kambing tertambat. Kambing itu menyentak –nyentak
talinya hendak makan sayur. Setelah melihat demikian halnya kambing itu, maka
Khoja Buzurjumhur Hakim pun bangkit perlahan – lahan, lalu diuraikannya tali
kambing itu, dilepaskannya. Maka kambing itu pun berlari – lari masuk ke taman
bunga itu lalu dimakannya pokok – pokok bunga itu. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.12)
Pada ketika itu Khoja
Buzurjumhur Hakim pun ada melihat, lalu ia berkata, “Hei zanggi, tiga yang
halal engkau jadikan haram!”( Hikayat Amir Hamzah : hlm.12)
2.8 Sabar
Sabar merupakan salah satu sifat yang
mulia dalam nilai Islam iaitu dapat mengawal seseorang daripada melakukan
perbuatan yang tidak baik yang boleh mengundang kemudaratan kepada diri dan
orang lain. Abdul Rashid Ahmad (2008) menyatakan bahawa sabar beerti menahan
diri daripada gelisah. Manakala Al – Imam al – Ghazali r.h dalam Abdul Rashid
Ahmad (2008) juga menjelaskan bahawa sabar adalah keteguhan dan ketabahan
bertahan kekuatan keagamaan dalam menentang hawa nafsu.
Al
–Syahid Sayyid Qutb juga berpendapat bahawa kesabaran merupakan satu keperluan
kerana untuk menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan
kebenaran dan keadilan memerlukan kesabaran yang kuat di dalam diri.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, kesabaran yang tinggi telah ditunjukkan oleh Amir Hamzah
ketika beliau menahan marah disebabkan tindakan Umar Umaiyah yang mengambil
rasuah daripada Kastam agar tidak menjatuhi anak –anaknya dengan hukuman bunuh.
Setelah Amir Hamzah
mendengar kata Umar Umaiyah demikian, maka tahulah ia bahawa Umar Umaiyah sudah
makan upah Kastam. Maka daripada daruratnya, ia pun diamlah dengan menahan
marahnya, tiada berdaya lagi daripada malunya kepada perbuatan Umar Umaiyah
itu.(Hikayat Amir Hamzah : hlm.115)
Selain
itu, dalam Hikayat Amir Hamzah, sifat Umar ibni Hamzah harus diikuti oleh umat
Islam yang lain. Hal ini disebabkan beliau mempunyai sifat yang mulia iaitu
mempunyai kesabaran hati yang kuat menentang godaan hawa nafsu dan keinginan.
Sifat beliau ini dapat dilihat ketika Umar ibni Hamzah digoda oleh Puteri Kilanjaharin.
Sifat mulia ini terserlah dalam diri beliau walaupun digoda dengan pelbagai
cara oleh Puteri Kilanjaharin namun Umar ibni Hamzah tidak tergoda dan beliau
mencari jalan melepaskan diri daripada tuan puteri itu.
Apabila Puteri
Kilanjaharin mendengar kata – kata Umar ibni Hamzah demikian itu, makin pula
ditunjukkan makarnya. Kain bajunya pun dilucutkannya, lalu dipeluknya badan
Umar ibni Hamzah dibawanya berbaring – baring. Tatkala itu, Umar ibni Hamzah
pun hilanglah akalnya, tidak terkata – kata lagi, lalu ia berfikir mencari daya
upaya hendak melepaskan dirinya daripada pekerjaan yang terkutuk itu. Maka kata
Umar ibni Hamzah, “Hei puteri, sabarlah dahulu, kerana taulanku itu sekalian datang.
Apabila mereka itu datang kelak, bolehlah aku pujuk kahwin. Pada ketika itu tiadalah mulut orang boleh
berkata – kata akan hal kita, dan pekerjaan kita pun sempurnalah.” Apabila
Puteri Kilanjaharin mendengar kata Umar ibni Hamzah demikian, maka ketika itu
juga dipanggilnya seorang utusan, katanya, “Pergilah engkau ke negeri Kasmiri,
kerana segala taulan Amir Hamzah ada di sana.(Hikayat Amir Hamzah : hlm. 404)
2.9 Berani
Menegakkan Kebenaran
Ibnu Taimiyah (1990) menyatakan bahawa
seseorang yang mempunyai keberanian untuk menegakkan kebenaran merupakan
seseorang yang melibatkan diri dalam amar ma’ruf nahi mungkar. Ibnu Taimiyah
juga menegaskan bahawa sifat berani menegakkan kebenaran itu harus ada untuk
menyampaikan dakwah, dalam pengertian teguh pendirian yang didasari oleh
keyakinan dan keimanan yang penuh kepada Allah SWT. Sifat ini dimiliki oleh
Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dan menegakkan agama Islam. Sifat
baginda ini telah dicontohi oleh wira – wira Islam dan para sahabat nabi
Muhammad SAW.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, sifat berani dalam menegakkan dan mempertahankan agama
Allah dapat dilihat dalam perwatakan Amir Hamzah. Beliau dikenali sebagai
amirul mukminin dalam kalangan sahabat dan para pejuang yang lain. Keberanian
beliau banyak diceritakan dalam karya A. Samad Ahmad. Penonjolan keberanian
beliau menunjukkan beliau seorang yang gagah dan menjadi wira dalam perjuangan
Islam. hal ini dapat dilihat semasa Raja Manzur Syah menitahkan Bahrum dan 600
orang askar pergi menangkap Amir Hamzah dan Umar Umaiyah. Namun begitu, Amir
Hamzah hanya tersenyum dan tidak berganjak daripada tempat itu. Sifat
keberanian beliau dan Umar Umaiyah menyebabkan mereka selalu menang dalam
peperangan dan ramai musuh sebelum ini telah diislamkan oleh mereka.
Setelah dilihat oleh
Umar Umaiyah lasykar banyak datang itu, ia pun berkata kepada Amir Hamzah, “Ya
Amirul Mukminin, apa bicara Amir sekarang, pada bicara hamba baiklah kita lari,
senyampang lasykar itu belum dekat.” Amir Hamzah tersenyum mendengar kata Umar itu,
tiada ia berkata apa – apa. Pada ketika itu Bahrum pun hampir, serta menyuru
kepung pada lasykarnya, sambil mengeluarkan cokmarnya yang berat lima ratus man
itu hendak dipalunya kepala Amir Hamzah. Tiada berganjak Amir Hamzah daripada
tempat duduknya, pura – pura tiada melihat. (Hikayat Amir Hamzah : hlm.61)
2.10 Mengikat Tali Persaudaraan
Shakil
Ahmad Khan & Wasim Ahmad (2005 : 87) berpendapat bahawa perbuatan saling
membenci, saling iri hati, saling memarahi dan seumpamanya secara tegas
terlarang dalam ajaran Islam. Oleh itu, setiap Muslim diwajibkan untuk
menghubungkan tali silaturahim dan mengikat tali persaudaraan. Asep Burhanudin (2005 : 38) menyatakan bahawa
tokoh Islam iaitu Ghulam Ahmad telah mengikat tali persaudaraan dengan hamba
Allah semata – mata kerana Allah Swt. dengan pengakuan taat dalam hal ma’ruf
dan akan berdiri di atas perjanjian ini hingga menemui ajal. Tali persaudaraan
ini begitu tinggi wawasannya, sehingga tidak akan diperoleh bandingannya baik
dalam ikatan persaudaraan dunia mahupun kekeluargaan. Dalam hadis juga
menekankan betapa pentingnya pertalian persaudaraan dalam Islam.
Dari Anas bin Malik r.a.,
sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda, Janganlah saling membenci, saling iri,
saling bermusuhan, dan jadilah kalian hamba Allah yang saling bersaudara. Tidak
halal bagi muslim memutuskan persahabatan dengan saudaranya lebih dari tiga
malam.” (Sahih al – Bukhari)
Dalam
hikayat Amir Hamzah, pengarang menonjolkan nilai Islam iaitu ikatan tali
persaudaraan antara orang Islam dan bukan beragama Islam. Pengarang juga
menghubungkaitkan persaudaraan dengan nilai Islam lain iaitu bersatu padu atau
bekerjasama dalam memperjuangkan Islam. Hal ini membolehkan pembaca mengetahui
bahawa kesan ikatan tali persaudaraan dan hidup bersatu padu sesama manusia
sangat penting kerana hal ini dapat mengelakkan berlakunya peperangan dan menjamin kesejahteraan hidup.
Sehari kemudian, Mukbal
Hulab pun sampailah dengan segala lasykarnya, lalu ia menyembah Amir Hamzah.
Disuruh oleh Amir Hamzah ia duduk di atas kerusi Johan Pahlawan serta diberi
oleh Amir Hamzah persalin sepertinya. Ketika itu Raja Manzur Syah pun datang
kepada Amir Hamzah seraya berkata, “Ya Amirul Mukminin, bahawa hamba ini telah
tualah, maka anak hamba Ni’man itu hamba ini telah tualah, maka anak hamba
Ni’man itu hamba serahkanlah kepada tuan hamba, supaya ia berbuat khidmat
kepada hamba.” Maka kata Amir Hamzah, “Jika sekali raja suka anakanda itu
menjadi saudara kepada hamba, seratus kali hamba suka.” Maka Ni’man pun
datanglah menyembah Amir Hamzah, lalu Amir Hamzah pun memberi persalinan akan
Ni’man.( Hikayat Amir Hamzah : hlm.66 – 67)
Selain
itu, persaudaraan ini telah mewujudkan sikap bersatu padu antara Amir Hamzah
dan pejuang – pejuang Islam yang lain. Hal ini menyebabkan musuh Islam menjadi
gugup dan takut akan perpaduan para pejuang Islam pada ketika itu.
Setelah kastam sedar
dari pengsan, ia pun memberi isyarat kepada lasykarnya dan segala raja – raja
yang di bawah perintah Nusyirwan, katanya, “Hei kamu sekalian! Hei kamu segala
hamba dan lasykarku, bunuhlah Arab ini!” Apabila segala raja – raja dan
lasykarnya mendengar kata Kastam itu, maka semuanya pun menghunus pedang dan
segala senjata masing – masing. Setelah dilihat oleh lasykar Arab sekalian akan
hal yang demikian itu, mereka sekalian pun menghunus pedang, lalu menghampiri
Amir Hamzah. Apabila Kastam melihat hal demikian itu, ia pun takut, lalu ia
berkata, “Hei segala lasykarku mengapa kamu sekalian menghunus senjata kamu di
hadapan raja ini? Jikalau raja bertitah kepada kamu sekalian kerjakanlah.( Hikayat
Amir Hamzah : hlm.108)
2.11 Bersyukur dan Puas Hati
Sifat
suka bersyukur merupakan salah satu sifat mahmudah yang digariskan dalam nilai
– nilai Islam. Melvi Yendra dan Mira Rainayati (2007) menyatakan bahawa sifat
syukur terbahagi kepada dua iaitu syukur hamba terhadap Allah dan syukur Allah
terhadap hambaNya. Nabi Muhammad saw. bersabda, “ orang taat yang bersyukur,
sama darjatnya dengn orang yang berpuasa lalu bersabar.”
Muhammad
Fadzillah Kamsah (1986) dalam Ahmad Mohd Saleh (1998) menyatakan ciri orang
yang bersyukur dan berpuas hati dengan kehendak Allah Swt. iaitu kedamaian dan
ketenangan fikiran ialah milik orang yang sentiasa mengerjakan solat. Orang
yang sempurna solatnya akan mengalami kepuasan yang hakiki. Mereka akan tenang
dan reda apabila ditimpa bencana, masalah atau sebarang kesusahan.
Dalam
Hikayat Amir Hamzah, Amir Hamzah, keluarga, dan para pejuang Islam mempunyai
nilai Islam dalam diri mereka iaitu
mempunyai sifat suka mensyukuri nikmat yang
diberikan Allah kepada hambaNya.
Sesudah itu, Amir
Hamzah pun menghambat lasykar Hisyam yang lari itu sekira – kira empat keruh
bumi jauhnya; kemudian ia pun kembalilah dengan kemenangan, serta datang
menyembah kaki ayahandanya, Khoja Abdul Mutalib. Maka Khoja Abdul Mutalib pun
mendakap anaknya itu mengucap syukur beribu – ribu syukur, serta memohon doa
kepada Allah Taala kiranya dimenangkan anaknya dan lasykarnya daripada segala
seterunya. (Hikayat Amir Hamzah : hlm. 72)
2.12 Menghormati Tetamu
Menghormati tetamu (ikram al-dayf) merupakan perkara yang
dititikberatkan dalam Islam. Alias Othman & Anisah Ab. Ghani (2008)
menyatakan bahawa menghormati tetamu bermaksud berbuat baik kepada tetamu
dengan memberi makan dan memenuhi keperluannya. Dalam Islam ada dua kategori
tetamu iaitu dhaif dan jaizah. Dhaif bermaksud tetamu yang menumpang singgah
sehingga tiga hari tiga malam manakala jaizah pula ialah tetamu yang menumpang
satu hari satu malam. Dalam hadis Rasulullah juga memberitahu pentingnya
memuliakan tetamu.
“Orang yang beriman
kepada Allah hendaklah berkata yang baik ataupun diam, orang yang beriman
kepada Allah hendaklah memuliakan jirannya,orang yang beriman kepada Allah
hendaklah memuliakan tetamunya”.
Dalam
hikayat Amir Hamzah, nilai ini diamalkan dalam struktur masyarakat Islam pada
masa itu. Pengarang menonjolkan sifat orang Islam yang baik iaitu memuliakan
tetamu tidak kira latar belakang yang berbeza iaitu perbezaan dari segi status,
agama dan lain – lain.
Ketika Amir Hamzah
bertemu dengan Saiyakhas, keduanya pun turun dari atas kuda berjabat tangan
serta berpeluk bercium dengan beberapa hormat mulianya. Sudah itu, Saiyakhas
pun dibawa oleh Amir Hamzah masuk ke istananya, dipersalinnya Saiyakhas dengan
pakaian yang mulia – mulia, dan diperjamunya makan minum dengan sepertinya.( Hikayat
Amir Hamzah : hlm. 90)
3.0 Kesimpulan
Hikayat
Amir Hamzah merupakan sebuah karya teks sastera yang amat penting, dilihat dari
sudut emosi, isi dan nilai budaya yang terkandung di dalamnya. Dalam Hikayat
Amir Hamzah ini terdapat banyak nilai – nilai Islam iaitu dari segi pengajaran
dan teladan kepada semua.
Hikayat
Amir Hamzah mendedahkan pembaca mengenali nilai – nilai yang baik iaitu nilai –
nilai Islam yang meliputi sifat mahmudah seperti sabar, memelihara kesucian
diri, cinta akan keadilan, menepati janji, tawakal, pemaaf, pemurah, kasih
sayang, sabar dan sebagainya. Pendedahan ini juga mendedahkan para pembaca tentang
nilai – nilai Islam yang perlu diserapkan dalam diri para pembaca untuk
pembentukan modal insan setiap individu pada masa ini. Di samping itu, para
pembaca turut dilatih membuat penilaian kritis terhadap nilai – nilai Islam ini
untuk dijadikan iktibar dan tauladan dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment