Sunday, 6 April 2014

ULASAN KARYA AGUNG

NILAI-NILAI MORAL YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT PANJI JAYENG KUSUMA
Nor Rasyidah Binti Zakaria
Fakulti bahasa dan Kominikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Perak, MALAYSIA

Abstrak

Artikal ini adalah berkenaan dengan nilai-nilai moral yang terdapat dalam Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK). Kajian dilakukan bagi meneliti dan mengkaji nilai-nilai moral sama ada nilai positif atau nilai negatif yang terdapat dalam HPJK. Melalui kajian ini juga, kita dapat mengetahui watak dan perwatakan watak yang terdapat dalam hikayat tersebut melalui nilai-nilai yang diceritakan. Seterusnya, kita juga dapat mengetahui sama ada nilai tersebut boleh dijadikan sebagai pengajaran dan tauladan dalam kehidupan seharian atau nilai tesebut perlu kita jauhi. Hikayat ini banyak mengisahkan kisah-kisah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Melalui unsur-unsur inilah yang menyebabkan banyak peristiwa dan babak menarik yang berlaku dan sudah tentunya setiap babak tersebut mempunnyai nilai moralnya yang tersendiri. Nilai-nilai moral tersebut bukan sahaja telah menjadikan hikayat ini nampak lebih menarik malah, dapat memberi pengajaran kepada pembaca supaya menjadikan setiap babak yang diceritakan itu sebagai pengajaran kepada mereka dalam kehidupan seharian. Terutamanya, ketika membuat sesuatu keputusan itu, hendaklah jangan terburu-buru. Hal yang demikian kerana, sikap yang terburu-buru akan membawa kerugian dan kesesalan sebagai mana yang digambarkan dalam watak utama dalam hikayat tersebut.







1.0 PENGENALAN            
Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) ini terdapat dalam bentuk naskhah tulisan jawi yang ditulis di atas kertas berukuran 35cm x 22cm. Penulis atau penyalin naskhak ini tidak menulis nombor halaman pada setiap halamannya. Walau bagaimanapun, setelah di periksa, didapati bahawa naskhah ini mempunyai sebanyak 552 halaman. Setiap halaman tidak melebihi 23 baris, dan setiap baris terdiri daripada 13 hingga 14 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam nakhah ini pula lebih kurang 177,000 patah perkataan.
            Berdasarkan HPJK ini, ada anggapan yang menyatakan bahawa percintaan adalah tema cerita-cerita panji. Sebaliknya, ada pula yang menyatakan bahawa pengembaraan dan peperangan yang menjadi fokus pengarangnya. Walau bagaimanapun, setelah kita membaca cerita ini memang tidak dapat dinafikan bahawa ketiga-tiga unsur tersebut amat penting kerana unsur-unsur inilah yang menjadi landasan cerita ini. malah, ada baiknya jika dikatakan bahawa tema hikayat ini terdiri daripada percintaan, pengembaraan dan peperangan. Selain itu, terdapat juga unsur yang lain. Namun, unsur-unsur ini dapat pula dianggap sebagai ekoran dari ketiga-tiga aspek yang disebutkan tadi. Misalnya, dari aspek percintaan yang begitu mendalam sudah tentu akan timbul pula perasaan cemburu, kecil hati, dengki, kianat dan sebagainya. Begitu juga dengan tema pengembaraan. Berpunca daripada pengembaraan ini sudah tentulah akan berlakunya peperangan kerana adanya keinginan untuk berkuasa. Seterusnya, bagi mendapatkan kemenangan, maka terjadilah pula tipu muslihat dan kekejaman. Disamping itu, penulis juga ingin menampilkan seni dan budaya bangsanya seperti yang diperlihat dalam pertunjukan wayang, tarian, nyanyian, pakaian dan pertapaan.
            Unsur-unsur inilah yang membuatkan sesebuat karya itu lebih menarik disamping bertujuan untuk menghiburkan pembaca. Disamping untuk menghibur, pengarangnya sudah tentu tidah akan lupa untuk menyelitkan beberapa unsur moral yang bersifat didaktif di dalamnya. Ada kalanya unsur-unsur ini dapat dikesan dengan mudah dan ada kalanya unsur-unsur ini diadunkan secara artistik sehingga pencernaannya agak samar-samar. Keseluruhan moral yang terdapat dalam hikayat ini dapat kita bahagikan kepada dua kategori iaitu moral yang membawa kesan ajaran yang baik dan moral yang membawa kesan serta ajaran yang kurang baik.
2.0 SINOPSIS HIKAYAT PANJI JAYENG KUSUMA (HPJK)
            Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa melayu. Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan.
Percintaan dalam HPJK ini berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah kerajaan seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Lesem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan dengan Raden Galuh Candera Kirana, iaitu wirawatinya. Namun, akibat tersilap mendapat gambaran tentang rupa paras, Raden Inu Kerta Pati telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja Singasari iaitu Raden Galuh Lasmi Ningrat.
            Walau bagaimanapaun, Raden Inu Kerta Pati akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas berangkat ke Daha untuk mengahdiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana. Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri.
            Ekoran daripada peristiwa tersebut, bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana. Sepanjang pengembaraan tersebut, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan, penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.

3.0 Nilai-Nilai Moral
Setiap karya yang dihasilkan oleh pengarang sudah pasti ada nilai-nilai moral yang ingin diketengahkan kepada pembaca. Nilai-nilai ini bukan sahaja dapat memberi pengajaran yang berkesan kepada pembaca, malah dapat menjadikan sesuatu cerita itu nampak lebih menarik kerana terdapat babak-babak suka, sedih, gembira, sakit, dengki, peperangan, khianat, kasih sayang dan sebagainya. Dalam HPJK ini, saya mengkaji nilai moral yang positif dan nilai moral negatif.
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, nilai bermaksud sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan, dll). Manakala, maksud moral pula ialah, ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, kewajiban, dll), sikap atau cara berkelakuan yang berasaskan atau yang diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak.
3.1 Nilai Positif
 Antara nilai moral yang membawa kesan kebaikan adalah seperti yang berikut:
(a)                Matlamat mendidirkan sebuah rumah tangga
Inti pati dalam HPJK dapat dianggap sesuatu yang menggambarkan kehidupan dalam sesebuah rumah tangga. Segala kesulitan yang dilalui oleh watak-watak dalam cerita tersebut dapat pula kita anggap sebagai sesuatu yang perlu kita atasi bagi memperoleh kebahagiaan. Oleh itu, ada kemungkinan pengarang ingin meninggalkan kesan bahawa sifat-sifat seperti ketabahan, kegigihan, kejujuran, kesabaran dan keberanian perlu sekiranya kita menginginkan kebahagiaan dalam membina sebuah rumah tangga yang aman damai.
“Baik juga aku terima anak Ratu Belambangan Jaya ini kerana ia               pun ratu agung. Lagipun malu sangat aku akan Anak Inu.”        
                                                                                                (HPJK: 118)   
Berdasarkan teks tersebut, kita dapat lihat di sini bahawa Ratu Daha seolah-olah terkilan dengan penolakkan Raden Inu untuk berkahwin dengan anaknya dan kemudian berkahwin pula dengan anakanda saudaranya, Raden Lasmi Ningrat. Kekecewaan ini amat jelas apabila baginda menerima peminangan daripada Ratu Belambangan Jaya walaupun bukanlah dengan sepenuh hatinya.
(b)               Menepati janji
Bagi nilai menepati janji, HPJK menggambarkan Ratu Kuripan dan saudara-saudaranya berjanji kepada dewa-dewa sekiranya mereka mendapat anak, mereka akan membayar kaul ke Segara Kidul. Tetapi setelah mendapat anak, mereka melupakan janjinya. Oleh kerana sikap mereka yang memungkir janji, para dewa menjadi murka lalu Betara kala menimbulkan berbagai kesulitan dengan tujuan untuk menginsaf dan menyedarkan mereka.
            Begitu juga kisahnya dengan Raden Kembar Dahang yang tidak mahu menepati janjinya. Walaupun pernah kehilangan isterinya, dan bedendam untuk membalas perbuatan Dalang Sungging Anom yang telah merampas isterinya, akan tetapi perkara itu terjadi disebabkan kebodohan dirinya sendiri. Janji Sang Raja Guru supaya jangan mengambil isteri atau tunang orang itu hanya diikuti sebelum mendaoat kesaktian. Sebaliknya, apabila berjaya berjaya berjalan diawang-awangan, dia lupa pada janjinya lalu pergi mengambil tunangan orang. Akibat dari perbuatan tersebut, dia mati di tangan Raden Kerta Buana. Jadi, kita perlu mengambil tauladan dari kisah ini sebagai pengajaran supaya kita perlu menepati janji dan sekiranya dimungkiri akan membawa padah.
Setelah Raden Kembar Dahang menengar kata Betara Indera itu, maka sembahnya, “Patik pohonkan boleh ngambah jumantara juga, pukulan. Boleh berjalan di awang-awangan.” Disetui oleh Betara Indera seraya titah baginda, “Semoga-moga engkau boleh berjalan di awang-awang. Dan lagi janganlah engkau mengambil tunangan orang atau bini orang!” Maka sembah Raden Kembar Dahang, “Mana titah dewa agung, masakan patik berani lalui.”
                                                                                                            (HPJK: 369)
(c)                Kasih sayang antara keluarga
Nilai ini banyaksekali digambarkan dalam HPJK. Mereka sentiasa mengambil tahu dan menjaga kepentingan antara satu dengan yang lain. Mereka bukan sahaja sering mengutus surat, bahkan berasa amat kesal sekiranya terjadi sesuatu yang boleh merenggangkan persaudaraan mereka. contohnya kita boleh lihat dalam peristiwa penolakan Raden Inu Kerta Pati untuk berkahwin dengan Raden Galuh. Ratu Kuripan ketika itu jatuh sakit kerana memikirkan kesedihan adindanya Ratu Daha yang menerima berita penolakan tersebut. Kesemua adindanya yang lain segera datang apabila mendapat khabar tentang kasihatan Ratu Kuripan. Begitu juga dengan sikap Tatu Daha yang tidak menampakkan rasa kekecewaan dan keretakan perhubungan kekeluargaan dengan Ratu Kuripan. Hal ini menunjukkan betapa eratnya hubungan kekeluargaan  yang tidak mungkin terputus walau dengan apa cara sekalipun. Ketika mengadakan perayaan perkahwinan anaknya, beliau tetap menjemput kakandanya dan tidak sedikit pun menampakkan sebarang perubahan.
            Kasih sayang antara keluarga ini juga dapat kita kesan daripada kegigihan seluruh ahli keluarga semasa mencari saudara-mara mereka yang hilang. Sebagai contoh, Raden Inu keluar mencari tunangnya serta sanggup meninggalkan ibu dan ayahnya serta isterinya Raden Lasmi Ningrat. Seterusnya, Raden Agung dan Raden Gunung Sari ikut pula mencari saudaranya di seluruh pelosok Tanah Jawa bahkan sampai pula ke Tanah Melayu.
Adapun akan Raden Nawang Kesuma, telah ia melihat Raden Inu datang itumaka didapatkannya. Dopeluknya leher Raden Inu, katanya sambil menangis, “Aduh, Kakang Bagus! Tolong apalah pun yayi, carikan kakang mbak, segera bawa kembali. Tiadalah pun yayi ini bersaudara. Lagi-lagi Kakang Menteri kedua pun sudah pergi juga!” Maka Sang Nata dengan segala yang mengadap itu pun semuanya menangis, belas menengar kata Ragen Galuh itu. Labih Permaisuri yang sangat menangis seperti akan pengsan rasanya, tambahan Raden Inu, hancur luluh hatinya.
                                                                                                            (HPJK: 163)
(d)               Pihak yang benar selalu mendapat keuntungan
Contoh bagi nilai ini banyak terdapat dalam HPJK ini, terutamanya peristiwa yang berlaku ke atas Raden Galuh dan Raden Inu. Tindakan Raden Inu memukul Ken Segerba Ningrat atas tuduhan berlaku curang amat baik dijadikan teladan. Hal yang demikian kerana, mereka yang bertindak tanpa usul periksa akan mendapat balasan yang setimpal, manakala pihak yang benar, iaitu Raden Galuh sering pula menerima bantuan daripada dewa sehingga dia mendapat kemenangan. Begitu juga peristiwa Ratu Berlambangan jaya yang berperang dengan Ratu Astina Jajar. Walaupun pada mulanya kemenangan berpihak kepada Ratu Astina Jajar, tetapi akhirnya Misa jejuluk tampil memberi bantuan kepada Ratu Berlambangan Jaya sehingga baginda beroleh kemenangan. Melalui kisah ini kita dapat diambil sebagai tauladan iaitu pertolongan haruslah diberikan kepada pihak yang memerlukan.
(e)                Rasa rendah diri, ikhlas dan tidak sombong
Dalam beberapa peristiwa, kita dapati kebanyakkan watak banyak mempunyai sifat-safat ini. Contohnya Raden Inu, pada tempat-tempat yang tertentu, sikap tidak sombong dan rendah dirinya membolehkan mereka dihormati dan dikasihi oleh orang-orangnya. Hal ini jelas apabila Raden Inu Kerta Pati Berkata:
Maka (Raden) Inu pun tersenyum, katanya, “Pun yayi. Kakang ini pun belum tahu sangat menyelukat, tuan. Baiklah kakanda itu tadi juga yayi suruhkan menyelukat. Pergilah yayi ningsun.”
(HPJK: 150)
Selain itu, para putera dari negeri-negeri yang dikalahnya itu tidak diperlakukan sewenang-wenangnya. Adakalanya, ketika beliau menyamar sebagai kelana, beliau tidak mahu disembah dan dibahasakan tuanku oleh anak-anak raja yang menungkul kepadanya. Bahkan, segala harta rampasan disuruh bahagikan sama rata.
            Selain itu, Raden Galuh pula sangat mementingkan sifat-sifat ini. Baginya, sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau sangat dihormati oleh orang lain. Beliau sedia memaafkan segala kesahalan orang lain, walaupun orang itu pernah membuat salah dengannya. Contohnya kita dapat lihat melalui kisah raden Ratna Lango tetap dimaafkannya dan diakui sebagai saudaranya. Sikapnya yang tidak mahu menaruh dendam terhadap Raden Ratna Lango dan Raden Inu perlu kita contohi. Walaupun rasa marahnya pada Raden Inu atas perbuatannya itu, tetapi jauh di sudut hatinya masih terselit juga rasa kasih sayang dan tidak mahukan saudaranya ditimpa bala. Hal ini dapat kita lihat atas tindakannya meninggalkan Raden Inu ketika pertemuannya di Gunung Wilis itu.
Sebermula, adapun akan Endang Kusuma Jiwa telah hari malam maka katanya, “Kakang Endang kedua, bersimpanlah kakang. Mari kita turun darin gunung ini. Benci aku melihat laku Sira Panji itu, kakang. Nescaya datang juga ia mendapatkan aku kerana perangai kakang itu sudah kita ketahuilah, kakang. Seperkaranya, sayang aku akan Kakang Inu kena sumpah segala dewa-dewa, kakang ia saudara kepada aku!”
(HPJK: 318)
            Disamping itu, kita juga dapat mengesan sifat-sifat positif dalam kalangan isteri anak-anak raja itu terutamanya isteri Raden Asmara Agung iaitu Raden Lasmi Kartika. Dalam cerita ini kita dapat lihat beliau tidak sedikit pun menaruh rasa cemburu terhadap isteri-isteri tua Raden Asmara Agung, bahkan beliau dengan rela hati menyuruh suaminya mendapatkan isteri-isterinya itu.
Setelah sudah segala puteri itu kembali, maka Kelana Kesuma Agung pun memeluk mencium isterinya seraya ketanya, “Yayi ningsun, utama jiwa, pun kakanda bermohon pergi kepada adinda kedia. Itu pun tuan, nyawaku suka dan tidak murka akan kakang, beranilah kakang pergi. Dan jikalau tiada tiada tuan lepaskan, apatah daya kakanda!” Maka Raden Lasmi Kartika pun tersenyum seraya katanya, “Pergilah, kakang! Apatah mulanya maka tiada kakanda pergi.
(HPJK: 240)
(f)                Berfikir dahulu sebelum membuat keputusan
Hal ini jelas digambarkan dalam HPJK di mana Raden Galuh Candera Kirana tidak terburu-buru dalam membuat keputusan menerima kembali Raden Inu Kerta Pati memandangkan Raden Inu Kerta Pati pernah menolak untuk berkahwin dengannya sebelum ini. Raden Galuh Candera Kirana telah memberi beberapa ujian kepada kekasihnya yang sebenarnya bukanlah untuk membalas dendam tetapi semua ini dilakukan bagi menguji sejauh mana kental dan mendalamnya cinta tunangnya itu kepadanya. Setelah puas membuat ujian demi ujian, akhirnya Raden Galuh Candera Kirana sedia menerima Raden Inu Kerta Pati semula dan ini membuktikan adanya perubahan dalam dirinya.

(g)               Belas Kasihan
Disebalik sifat kegagahan dan kehandalannya, ada pula sifat belas kasihan pada diri Raden Galuh Candera Kirana. Perkara ini terbukti apabila beliau menasihati Ratu Astina Jajar agar berdamai.
...Dari sebab itulah patik datang menolong orang yang tidak salah. Syahadan akan sekaang mana yang lau itu sudahlah, tuanku. Baik juga tuanku berdamai, pukulan!”
(HPJK: 349)
            Selain itu, Raden galuh Candera Kirana juga tetap setia keada suaminya dan ini dapat dilihat ketika Raden Inu Kerta pati daang meminta ubat daripadanya yang ketika itu sedang menyamar. Apabila melihat Raden Inu Kerta Pati yang kurus kering akibat menahan rindu dendam, Raden Galuh Cendana Kirana hampir-hampir menangis kerana terlalu kasihan melihat keadaan suaminya itu.
Telah Endang Kesuma Jiwa melihat rupaSira Panji itu, maka berdenar hatinya. Belas kasihan rasanya oleh terlalu sangat pucat kurus. Jikalau tiada kulit, bercerailah tulangnya rupanya serta rambutnya habis berjereketan dengan darah, tiada seperti sedia kala.
(HPJK: 309)
3.2 Nilai Negatif
Setelah kita kemukakan beberapa nilai moral yang positif, sekarang kita tinjau pula nilai-nilai moral yang agak negatif. Antaranya ialah:
(a)                Tindakan yang terburu-buru
HPJk banyak memaparkan peristiwa seperti ini sehingga akibatnya amat meneydihkan sekali. Contoh yang sangat jelas ialah tindakan Raden Inu menolak pinangan Raden Galuh atas alasan gambar yang dilukis oleh Samar amat buruk sekali. Sepatutnya Raden Inu berikhtiar pula untuk pergi dan melihat sendiri sebelum mengambil sebarang keputusan. Begitu juga tuduhannya terhadap Ken Segerba Ningrat berlaku curang dengan Raden Teruna Jaya, Raden Inu terus bertindak tanpa menggunakan akal fikiran yang waras serta menimbang dan meneliti dahulu penafian yang dibuat oleh isterinya. Perkara ini boleh mendatangkan kekecewaan pada dirinya sendiri.
Setelah Sira Panji menengar kata Ken Segerba Ningrat itu, mangkin sangat la pula marahnya seraya katanya, “Hai, Segerba Ningrat! Janganlah banyak-banyak katamu lagi,” lalu diambilnya ׀ cemeti kuda itu lalu dipukul Ken Segerba Ningrat empat lima kali. Maka Ken Segerba Ningrat pun menjerit, katanya, “Hai, Sira Panji! Sampainya hati engkau berbuat aku demikian, lebih baik engkau bunuh sekali!” .....  lalu dipalunya pula dengan cemeti kuda itu. Maka kenalah kepala Ken Segerba luka sama tengah kepala. Maka darahnya pun bercucuran. Maka Ken Segerba Ningrat pun pengsanlah tiada khabar darinya.
(HPJK: 285)
Berdasarkan kisah tersebut, pengarang HPJK ini ingin menyampaikan sesuatu iaitu manusia haruslah menggunakan akal fikirannya yang waras terlebih dahulu apabila bertembung dengan sesuatu masalah. Keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti kebaikan dan keburukan sesuatu perkara itu. Sekiranya akal fikiran dikalahkan dengan hawa nafsu, maka diri sendiri yang akan menerima padahnya.
Selain itu, kita juga dapat kesan daripada tindakan Sang Nata Kuripan. Baginda terburu-buru menyumpahi anaknya iaitu Raden Kerta Buana menjadi raksasa tanpa memikirkan akibatnya. Pada hal, tindakan anaknya itu adalah semata-mata kerana kasihan melihat keadaan ayahandanya yang sentiasa dalam keadaan berduka lara, di samping tanggungjawabnya sebagai abang tertua untuk keluar mencari adik beradiknya yang hilang dan mengembara. Sekiranya baginda bertenang dahulu dan menimbang tindakan anaknya itu, sudah tentu malapetaka itu dapat dielakkan.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan sang Nata ing Kuripan. Telah ingat daripada murka itu maka baginda pun keluarlah ke paseban agung menitahkan patik mencari anakanda baginda. Maka beberapa puluh panggawa pergi mencari tiada juga bertemu, khabarnya pun tiada kedengaran, lalu kembali semuanya mengadap, persembahkanlah: “Tiadalah dapat, pukulan, paduka anakanda.” Telah baginda menengar sembah Patih itu mangkin bertambah-tambah besar percintaan baginda. Menyesal rasanya murka akan anakanda baginda Raden Kerta Buana itu.
(HPJK: 368)
(b)               Dengki khianat
Walaupun sikap ini sangat dibenci oleh semua pihak, tetapi kadangkala manusia lupa lalu melakukannya tanpa memikirkan akibatnya. Contoh yang boleh kita ambil dari HPJK ialah, Raden Ratna Lango manaruh rasa dengki kepada Raden Galuh Daha yang pada masa itu menyamar sebagai Ken Segerba Ningrat. Perbuatan keji ini dilakukan dengan mengupah Ken Pengejangan supaya meletakkan pakaian dan keris Raden Teruna Jaya di peraduan Ken Segerba Ningrat. Kedua-dua mereka yang bersalah telah menerima hukuman yang setimpal. Perkara ini amat keji untuk dilakukan dan kita perlu mengambilnya sebagai pengajaran.
Maka dilihatnya Raden Teruna Jaya beradu dekat Kelana Pewira Anom, segera diambilnya perlahan-lahan keris, sabuk dan kampuh Raden Teruna jaya, dibawanya kepada Raden Ratna Lango. Maka Raden Ratna Lango pun terlalu sukacita beroleh keris dan kampuh dan sabuk itu, seraya katanya, “Sungguhlah enkau kasih akan aku!” lalu diberinya cincin dan anting-anting akan Kem Pengejangan, katanya, “Apabila sudah pergi kakang Panji Kelak, engkau taruhlah karis dan sabuk kampuh ini di bawah bantal Segerba Ningrat itu supaya segera sampai seperti kehendak kita itu.”
(HPJK: 281)
(c)                Melanggar perintah orang tua
Antara salah sebab malapetaka yang menimpa keluarga diraja dalam HPJK ini adalah berpunca daripada keingkaran anak-anak mematuhi perintah orang tuanya. Selain itu, kita juga dapat lihat melalui kisah Raden Inu yang menolak pinangan Raden Galuh Daha. Sekiranya Raden Inu mematuhi kemahuan ayahandanya dan terus berkahwin dengan Raden Galuh Daha, mungkin derita yang ditanggungnya tidaklah sehebat yang diceritakan oleh pengarang. Dalam HPJK ini, secara tidak langsung menyarankan kita bahawa dalam menentukan jodoh, pilihan orang tua itu dapat dianggap sesuatu yang baik.
Hal ini dapat kita lihat daripada tindakan Raden Kerta Buana yang tidak mengendahkan larangan ayahandanya. Walaupun dengan alasan dan tujuan yang baik, tetapi kata-kata ayah bonda lebih utama daripada sesuatu perbuatan. Buktinya, walaupun tindakan Raden Kerta Buana keluar itu dengan tujuan yang baik, tetapi tindakan mengingkari kata-kata ayahandanya adalah tindakan derhaka lalu beliau dihukum menjadi raksasa.
Maka raden Kerta Buana pun menyembah pula tumungkul di kaki ayahanda bonda, sembahnya, “Patik bermohon juga, pukulan. Tiada datang hati patik tiada mencari saudara patik kerana ia perempuan. Apatah namanya patik, pukulan, disebut orang, tuanku.” Raden Kerta Buana berkata-kata itu sambil menangis terlalu sangat. Maka sang Nata pu terlalu murkanya akan Raden Kerta Buana, katanya, “Nyiahlah engkau, hai Kerta Buana! Mana suka-suka jualah, anak edan, anak candal ini, tiada menyukakan hati, seperti anak bota raksasa lakunya!” Baginda bertitah itu seraya bangun berjalan kembali ke istana.
 (HPJK: 367-368).
(d)               Melakukan apa yang tidak lazim dilakukan
Tindakan Raden Kembar Dahang mengupah Dalang Sungging Anom supaya memujuk isterinya adalah suatu tindakan yang tidak waras. Hal yang demikian kerana, tindakan yang kurang bijak ini memberikan kesan yang merugikan orang lain. Sebaliknya, Raden Kembar Dahang patut mencari jalan penyelesaian yang lain untuk memujuk isterinya. Jauh daripada itu, kita juga dapat kesan bahawa kebodohan yang kita lahirkan sendiri jarang sekali mendapat simpati daripada orang lain.
Setelah Raden kembar Dahang melihat laku Raden Galuh benci akan dia itu, maka ia fikir dalam hatinya: “Baiklah aku upah kepada Dalang Sungging Anom itu memujuk Yayi Galuh ini, kalau-kalau ia mahu diam. Apabila sudah baik hatinya kelak, mudahla aku memujuk dia.”
(HPJK: 253)
Maka segera ditegur Ajar Brahma Sakti, katanya, “Hendak ke mana sateria Tumasik? Mari duduk dekat dengan ayahanda!” Maka Raden Kembar Dahang pun meniharap menyembah kaki Ajar Brahma Sakti itu sambil menangis, katanya, “Tuanku, tolonglah patik hendak membunuh Dalang Sungging Anom kerana petik mengupah memujukkan isteri patik lalu diambilnya!” seraya diceterakan segala halnya. Ajar Brahma Sakti dengan segala muridnya itu pun suka tertawa seraya katanya, “Ayahanda tiada boleh menolong tuan membunuh Dalang Sungging Anom itu kerana dia bukannya dalang sungguh. Ia Inu Anom Daha yang bernama Perbata Sari. Dan akan Puteri Lasem itu bukannya jatuh karmanya kepada anakku!”
(HPJK: 263)

(e)                Sikap tamak
Dalam HPJK ini, sikap yang ditunjukkan oleh saudara-saudara Ratu Kembang Kuning, terutamanya Ratu Welangit tidak seharusnya kita contohi. Sebagai bukti, Ratu Wengker menyarankan Ratu Welangit supaya jangan merosakkan pesanggrahan orang yang sedang bertapa, tetapi dia tetap dengan tindakannya dengan berpendapat bahawa ajar-ajar yang bertapa selalu mencari kesaktian yang akhirnya akan digunakan untuk menakluki seluruh Tanah Jawa. Di sini jelas menunjukkan sikap tamaknya yang tidak menginginkan orang lain lebih berkuasa. Oleh kerana sikapnya yang tamak ini telah menimbulkan keadaan huru-hara dalam keluargnya.

(f)                Hawa nafsu yang kurang terkawal
HPJK juga menampakkan perkara ini melalui sikap Ratu Manggada yang ingin mendapatkan tunangan orang. Dia tidak dapat mengawal nafsunya terhadap Raden Kesuma Ningrat, iaitu merupakan puteri Ratu Gagelang, walaupun baginda tahu puteri itu sudah bertunang. Kemudian, apabila baginda bertemu dengan Ratu Majapahit, yang sebenarnya merupakan perjelmaan Kuda Mangku Jaya, baginda tidak berhasil juga menahan godaan hawa nafsunya sehingga meninggalkan kesan yang buruk. Melalui kisah ini, pengarang seolah-olah menegaskan bahawa jika hawa nafsu tidak dapat dikawal dengan baik, sudah tentu akan mendatangkan kesan yang amat buruk. Buktinya, Ratu Manggada berbunuh-bunuhan dengan Ratu Wirabumi akibat berebut Puteri Majapahit yang sebenarnya palsu itu. Seterusnya menyebabkan ikatan persaudaraan menjadi putus akibat nafsu yang kurang terkawal.
Setelah Ratu Manggada melihat laku Ratu Wirabumi dengan Puteri Manjapahit itu, maka terlalulah sangat marahnya. Segera ia menghunus kerisnya, melompat datang menikam Ratu Wirabumi kena rusuknya, kanan teruslah ke kiri. Maka Ratu Wirabumi pun terkejut, segera menghunus keris, menikam Ratu Manggada, terus ke belakangnya sama rebah mati.
(HPJK: 494)
(g)               Permukahan
HPJK ada menyebut tentang perkara ini dan memberikan contoh orang yang melakukannya.melalui cerita tersebut, perbuatan bermukah tidak disukai oleh para dewa, apalagi kalau yang melakukannya itu sendiri daripada kalangan dewa sendiri. Sebagai contoh, Betara Durga Kusuma telah bermukah dengan Dewi Gagar Mayang dan telah disumpah oleh Betara Guru menjadi Bota bernama Sang Kala Dugra. Betara Durga Kusuma terpaksa menjalani hukumannya sehingga tiba waktu untyk dia dipulihkan kembali. Raden Inu Kerta Pati pernah melakukan perbuatan yang kurang baik dengan Raden Lasmi Ningrat, walau bagaimanapun, hukuman manusia tidak dikenakan kepadanya.
            Bagi dewa yang menerima hukuman berat seperti yang diceritakan dalam hikayat tersebut, dapat pula kita jadikan contoh merujuk kepada mereka yang memegang kuasa, hendaklah bersikap jujur, baik hati dan adil. Sekiranya mereka bersikap tidak jujur, maka wajarlah hukuman yang diterima lebih berat berbanding mereka yang tidak memegang kuasa.
            Demikianlah beberapa lukisan nilai moral yang dapat kita dikesan dalam cerita ini. ternyata, pengarangnya ingin memperlihatkan betapa pentingnya unsur-unsur tersebut dalam menentukan tingkah laku, perbuatan, dan keadaan hidup manusia sama ada secara individu mahupun bermasyarakat.

4.0 Kesimpulan
Berdasarkan kepada hasil pembicaraan yang telah dilakukan terhadap keseluruhan aspek HPJK ini, kita dapat menyimpulkan bahawa HPJK boleh diangkat sebagai semua cerita panji yang terbaik, sama ada dalam kalangan panji Jawa mahupun Panji Melayu. . hikayat ini juga memaparkan lebih daripada dua puluh episod panji yang tulen. Pelbagai persoalan dan nilai pengajran yang dapat kita kesan berhubung dengan percintaan dan kerinduan, kemarahan dan kebencian, cemburu dan iri hati bersama unsur-unsur lucu serta adegan-adegan yang menarik yang cuba disampaikan oleh pengarang. HPJK ini layak diketengahkan sebagai salah sebuah karya agung Melayu yang ditatapi dan dibaca oleh generasi kini dan akan datang. Nilai-nilai klasik yang dimiliki oleh hikayat ini membuka ruang kepadanya untuk dibariskan sejajar dengan Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Malayu. Selain itu, nilai-nilai moral yang terdapat dalam hikayat ini juga begitu terkesan dalam diri pembaca dan dapat dijadikan sebagai pengajaran.




Rujukan
Hassan Ahmad (2007). Hikayat Panji Jayeng Kusuma. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yayasan Karyawan (2004). Hikayat Panji Jayeng Kusuma. Diperoleh pada April 16, 2014 daripada:    

No comments:

Post a Comment