Tuesday, 22 April 2014

FALSAFAH SEJARAH MELAYU

PENGARANG SEJARAH MELAYU

Tun Seri Lanang atau nama sebenarnya ialah Tun Muhammad adalah penulis asal Sejarah Melayu. Beliau adalah pembesar istana berketurunan bendahara-bendahara kerajaan Melayu Melaka dan Johor Lama yang ke-14. Ketika menjawat jawatan Bendahara, beliau menggunakan gelaran Paduka Raja III. Tun Seri Lanang adalah anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad, iaitu Temenggung Johor dan ibunya bernama Tun Ganggang. Beliau juga merupakan cucu kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir iaitu bendahara kerajaan Melayu Melaka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah dan cicit kepada Tun Kudu, iaitu bekas permaisuri Sultan Muzaffar syah.

            Walaubagaimanapun, Tun Seri Lanang bukanlah penulis tulen Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang adalah pengarang ketiga atau mungkin pengarang keempat yang merombak kembali Sejarah Melayu. Sejarah Melayu adalah hasil karya 'gotong-royong' beberapa orang dan pengarang yang terpenting sekali ialah Tun Seri Lanang.
            Menurut Ismail Hussein, pengarang Sejarah Melayu adalah seorang yang mahir bahasa Sanskrit, Parsi , Tamil, Jawa dan Arab. Pengarang awal Sejarah Melayu ini hidup ketika Portugis menyerang Melaka . Oleh itu dia dapat menerangkan penyerangan Portugis itu dengan teliti. Banyak buku sastera yangg telah dibaca dan didengarnya. Antaranya ialah Ramayana, Baghavad-Geeta, Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhamad Hanafiah dan Hikayat Raja-Raja Pasai.
            Pengarang Sejarah Melayu juga merupakan seorang penulis yang berani. Abdul Rahman Rukaini dalam tesisnya ada menyatakan tidak ada penulis yang begitu berani seperti Tun Seri Lanang. Hal ini demikian kerana, terdapat berbelas-belas cerita simbolik yang mengkritik raja. Siapakah yangg berani mengkritik raja kecuali Tun Seri Lanang. Sebagai contohnya kezaliman Sultan Mahmud didedahkan secara berdepan-depan dan secara simbolik. Apakah 'Lembaga Penapis' ketika itu tidak terfikir maksud tersirat dan implikasi dari cerita Puteri Gunung Ledang.
Sumbangan Tun Seri Lanang dalam dunia kesusasteraan melayu cukup bernilai dengan terhasilnya buku Sejarah Melayu.  Menurut Winstedt, Sejarah Melayu mula ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai bulan Februari 1614 dan siap pada Januari 1615 dengan berdasarkan naskhah yang ditulis di negeri Melaka. Beliau menulis semula Sejarah Melayu setelah mendapat perintah daripada Sultan Abdullah Maayah Syah.
            Tujuan Tun Seri Lanang menyusun Sulalatus Salatin adalah untuk memperbesarkan kedudukan dan sejarah silam raja-raja Melaka yang telah dirampas oleh Portugis. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan ayat daripada petikan ( Sulalatus Salatin hlm, 3 ) ; “Bahawa beta minta diperbuat hikayat pada bendahara peri persetua dan peri peraturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali ; supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu ; syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.

LATAR BELAKANG SEJARAH MELAYU
Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah yang berkisar tentang kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa.
            Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Teks yang turun masa kini merupakan teks yang disalin dipercayai berasal sejak 1356, dan disunting semula pada 1612. Salinan manuskrip yang ada bertarikh 1808.
            Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Lihat perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.
            Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Seri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiulawal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa. Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda.
            Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia membincangkan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
            Sejarah Melayu dikarang untuk kegunaan istana dan untuk kegunaan orang-orang bangsawan Melayu. Sejarah Melayu juga dihasilkan bertujuan untuk merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah Negara kota atau kerajaan Melayu. Oleh sebab itulah banyak bahagian dalam sejarah Melayu ini yang dipalsukan dengan sengaja. Tujuannya adalah untuk menutup kekurangan yang memalukan. Contohnya, terdapat beberapa peristiwa yang dipalsukan ialah bagaimana pengarang Sejarah Melayu menyamakan zaman perintahan kerajaan Melayu Melaka dengan Zaman keagungan Kerajaan Majapahit sungguhpun masa dan zaman pemerintahan itu berbeza hampir 100 tahun jaraknya. Peristiwa lain yang diselindungkan oleh pengarang Sejarah Melayu mengenai raja-raja Melaka ialah tentang kezaliman raja-raja yang melakukan kejahatan yang disampaikan secara kritikan iaitu melalui unsur-unsur mitos.
            Cerita dalam Sulalatus Salatin bercampur aduk antara peristiwa yang betul atau benar-benar merupakan fakta sejarah dengan kisah-kisah dongeng yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Misalnya kisah kehidupan manusia di bawah laut, mengenai lembu yang boleh terbang dan muntahnya melahirkan seorang manusia, kisah padi dan cacing gelang-gelang yang bertukar menjadi emas, kisah dongeng Badang yang mendapat kekuatan setelah memakan muntah hantu dan kisah-kisah bunga yang boleh bercakap dan sebagainya.



   Unsur-Unsur Falsafah Dalam Sejarah Melayu
1.      Unsur keberanian dalam Sejarah Melayu dapat dilihat dalam kisah Badang. Falsafah keberanian. Keberanian ditonjolkan melalui sifat raja yang berani menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Turut diceritakan mengenai sikap keberanian golongan rakyat biasa seperti badang. Selain itu ketokohan keberanian Hang Tuah juga menunjukkan kehebatan orang Melayu pada zaman itu. Selain itu, turut diceritakan juga tentang sifat keberanian golongan rakyat biasa seperti Badang dan keberanian golongan atasan seperti Hang Tuah.  Badang merupakan seorang yang berani, Dia berani untuk menangkap hantu yang telah mencuri ikannya.  Badang juga menunjukkan sikap beraninya apabila menerima cabaran untuk berlawan dengan pahlawan dari Benua Keling. Begitu juga dengan watak Hang Tuah yang berani berlawan dengan Hang Jebat demi menegakkan kebenaran, meskipun Hang Jenat adalah sahabat baiknya sendiri.
2.      Unsur keadilan dan kemanusiaan boleh dikaji dalam Sejarah Melayu ini. Keadilan dalam karya ini boleh dikatakan berat sebelah kerana hanya berpihak kepada Sultan atau pemerintah semata-mata. Hak rakyat pula tidak dihiraukan. Mungkin rakyat atau masyarakat pada masa dahulu merasakan sultan itu adil memandangkan mereka adalah berdaulat dan merupakan pemerintah. Namun demikian, dapat dilihat keadilan itu tidak wujud kerana rakyat hidup dalam kemiskinan dan ada yang dijadikan hamba sahaja. Hang tuah sanggup membunuh sahabat sendiri, iaitu Hang Jebat tanpa mengambil kira hakikat dirinya telah diperlakukan dengan tidak adil oleh sultan sebelum ini. Ini juga menunjukkan ketidakadilan sultan dalam pemerintahan kerana menghukum tanpa usul periksa. Sultan Muzaffar Syah juga telah mewujudkan undang-undang untuk dijadikan panduan pada masa itu dan juga bagi mengelakkan golongan bawahan melakukan kesalahan.
3.      Unsur ketuhanan juga terdapat dalam karya Sejarah Melayu. Unsur ketuhanan yang dapat dilihat dalam karya ini ialah melalui peristiwa yang telah dilalui oleh beberapa watak. Contohnya, pemerintah Samudera, Merah Silu telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. baginda Rasulullah s.a.w telah meludahi mulut Merah Silu. Apabila bangkit dari peraduannya, Merah Silu mendapati badannya berbau narawastu dan boleh menghafaz al-Quran. Ini menunjukkan unsur ketuhanan di mana Allah s.w.t telah memberikan keberkatan kepada Merah Silu atas kurnian tersebut.
4.      Unsur kebenaran juga dipertikaikan dalam Sejarah Melayu. Melalui Sejarah Melayu ini kita dapat lihat siapa yang betul dan siapa yang salah. Memang tidak dinafikan dalam karya ini, boleh dikatakan keseluruhan kebenaran berpihak kepada Sultan atau pemerintah, ini kerana masyarakat pada zaman dahulu menanamkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada pemerintah dan juga memegang konsep “menjunjung titah” serta “pantang menderhaka”. Rakyat yang menderhaka kepada Sultan akan terkenah tulah.
5.      Seterusnya ialah  unsur  Keindahan dan Estetik. Unsur keindahan yang ditunjukkan ialah melalui keindahan bahasa yang digunakan bagi menarik minat pembaca. Kita dapat lihat dalam peristiwa peminangan puteri Gunung Ledang. Bahasa yang digunakan adalah sangat puitis dan cukup indah serta diiringi dengan puisi-puisi yang menarik. Tun Sri Lanang menggunakan bahasa yang indah untuk mengambarkan kecantikan atau keindahan yang dimiliki oleh Tun Fatimah. Keindahan yang dimiliki oleh Tun Fatimah telah menyebabkan Sultan Mahmud tertawan hati kepadanya. Sultan Mahmud menjadi murka apabila Bendahara Sri Maharaja tidak mempersembahkan anaknya, Tun Fatimah kepadanya terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana, raja-raja pada zaman dahulu digambarkan gemar terhadap keindahan rupa paras wanita dan akan menjadikan wanita tersebut sebagai gundiknya. Setiap individu gemar terhadap keindahan. Keindahan akan menyebabkan diri seseorang itu dalam keasyikan. Unsur keindahan akan menarik minat seseorang terhadap orang lain atau benda lain yang mempunyai nilai keindahan yang tinggi.Unsur keindahan juga dapat dilihat apabila pengarang, iaitu Tun Sri Lanang menggunakan bahasa yang indah untuk menggambarkan kecantikan dan keindahan yang dimiliki oleh Tun Fatimah. Kecantikan Tun Fatimah menyebabkan sesiapa sahaja yang melihatnya akan tertawan, termasuklah Sultan Mahmud. Raja-raja pada zaman tersebut amat menyukai rupa paras wanita yang cantik untuk dijadikan gundik dan permaisuri.
6.      Estetik pula dapat dilihat melalui adat istiadat, agama, dan budaya. Etika ialah nilai-nilai moral yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat.Masyarakat yang ditunjukkan dalam karya ini sangat mementingkan adat dalam budaya hidup ketika itu. Unsur Etika dalam Sejarah Melayu dapat dikaitkan dengan kisah Hang Nadim yang membawa Tun Teja lari ke Melaka. Perbuatan Hang Nadim tersebut dianggap melanggar nilai-nilai moral dan etika dalam masyarakat. Unsur Etika juga terselah dari segi ketatanegaraan, iaitu hubungan antara rakyat dengan raja. Sebagai seorang rakyat, seseorang itu mestilah sentiasa patuh dan taat kepada pemerintah dan tidak melanggar undang-undang Negara. Seorang Rakyat juga haruslah memberikan kedudukan yang tinggi kepada pemerintah.
7.      Unsur Adat juga dapat dilihat dalam Sejarah Melayu.  Adat merupakan peraturan yang diamalkan secara turun-temurun. Sebagai contohnya adat bersunat dan adat bertindik masih diamalkan sehingga sekarang. Adat bersunat merupakan amalan yang dituntut oleh agama Islam tetapi adat bertindik merupakan pengaruh yang dibawa oleh agama Hindu. Selain itu, terdapat juga adat yang berkaitan dengan adat mengarak surat, adat dicucikan dan adat kematian. Pengaruh amalan adat yang dilakukan masyarakat pada zaman dahulu sangat kuat dan masih diamalkan sehingga kini.
8.      Unsur kekuasaan dalam sejarah Melayu menceritakan bahawa raja menggunakan kekuasaan yang dimiliki untuk mengerah tenaga rakyatnya, menjatuhkan hukuman bunuh, membuat keputusan dan memperluaskan tanah jajahannya. Kini, raja tidak boleh bertindak sesuka hati berdasarkan kuasa yang dimilikinya kerana rakyat mempunyai hak yang tersendiri dan Negara merupakan Negara yang demokrasi bukannya autokratik.

NILAI
Terdapat banyak nilai yang ada dalam karya agung sejarah Melayu ini. Nilai-nilai tersebut boleh kita ambil untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita. Antara nilai yang terdapat dalam karya agung ialah nilai kesabaran. Nilai kesabaran ini telah ditunjukkan oleh Laksamana dan Bendahara Paduka Raja. mereka begitu sabar sewaktu menjaga Raja Muhammad iaitu anak kepada almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah. Sewaktu dalam jagaan mereka, Raja Muhammad telah mengalami sakit yang agak teruk. Baginda mengalami cirit birit. Sewaktu baginda sakit, Laksamana dan Bendahara Paduka Raja begitu sabar menjaga makan dan minum beliau. Mereka sanggup membasuh najis Raja Muhammad yang pada ketika itu tidak larat untuk ke tandas. Mereka juga begitu sabar menyuap Raja Muhammad makan kerana dikatakan Raja Muhammad tidak berdaya untuk menyuap makanan sendiri. Laksamana dan Bendahara Paduka Raja begitu sabar menjaga Raja Muhammad sehingga baginda sembuh. Melalui peristiwa ini, dapat kita simpulkan bahawa nilai kesabaran ini memang sewajarnya ada pada setip orang. Apabila kita bersabar, kita dapat menghadapi sesuatu masalah itu dengan hati yang tenang. Selain itu, dengan kesabaran juga kita dapat menyenangkan hati orang lain.
Nilai lain yang terdapat dalam Sejarah Melayu ialah nilai pengorbanan. Nilai ini telah ditunjukkan oleh Tun Kudu iaitu kakak kepada Tun Perak.  Nilai yang ditunjukkan oleh Tun Kudu ialah nilai pengorbanan seorang kakak terhadap adiknya dan seorang isteri kepada suaminya. Sewaktu Tun Perak menjadi bendahara, Seri Nara Diraja yang pada ketika itu turut menjadi pembesar telah merasa iri hati dengan beliau. Akibatnya, pengikut beliau dan pengikut Seri Nara Diaraja telah berpecah dan bergaduh. Sultan Muzaffir Syah merasa baginda  perlu menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku. Oleh itu, beliau telah bertanya kepada Seri Nara Diraja apa yang Seri Nara Diraja kehendaki  yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Seri Nara Diraja meminta Tun Kudu menjadi isterinya sedangkan pada masa itu Tun Kudu merupakan isteri kepada raja. Oleh itu, demi menyelesaikan masalah ini, Tun Kudu sanggup diceraikan oleh raja dan berkahwin dengan Seri Nara Diraja yang pada ketika itu sudah tua. Beliau sanggup berkorban demi menyatukan kembali rakyatnya. Beliau juga sanggup berkorban demi kasih sayangnya pada adiknya iaitu Tun Perak dan suaminya iaitu Sultan Muzaffir Syah  yang tidak mahu memanjangkan persengketaan dengan Seri Nara Diraja.
Nilai yang seterusnya ialah nilai kebijaksanaan. Nilai ini ditunjukkan melalui peristiwa seorang budak yang memberikan cadangannya sewaktu Singapura di langgar todak.  Seorang budak telah memberikan cadangannya agar mereka menggunakan batang pisang sebagai banteng untuk mereka mempertahankan diri dari serangan todak. Ternyata cadangan yang dikemukakan Berjaya menghalang serangan todak tersebut. Dapat kita lihat melalui peristiwa ini bahawa walaupun hanya seorang budak, namun budak ini mempunyai akal yang panjang yang mampu mengatasi pemikiran orang dewasa. Atas kebijaksanaannya berfikir dalam menyelesaikan masalah juga telah menyelamatkan Singapura daripada terus di serang todak. Melalui nilai yang ditunjukkan, dapat kita simpulkan bahawa kebijaksanaan dapat membantu kita menyelesaikan setiap  permasalahan yang berlaku.
Seterusnya ialah nilai bertanggungjawab. Nilai bertanggungjawab ini telah ditunjukkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda telah menunjukkan rasa tanggungjawabnya terhadap rakyatnya. Sewaktu Melaka berlaku peristiwa kecurian yang berleluasa, penduduk Melaka telah kehilangan banyak harta benda mereka. Apabila baginda mengetahui perkara tersebut, baginda merasa sangat sedih. Berikutan daripada itu, Sultan Alauddin Riayat Syah telah memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut agar rakyatnya dapat kembali hidup aman seperti biasa. Atas rasa tanggungjawab itu, baginda telah menyamar menjadi pencuri  agar baginda dapat menangkap sendiri pencuri yang telah mengambil harta penduduk kampung.  Sikap tanggungjawab yang ditunjukkan oleh baginda ini akhirnya telah menyebabkan rakyat dapat kembali hidup aman setelah pencuri tersebut ditangkap. Sikap tanggungjawab baginda juga telah menjadi panduan kepada pembesar lain untuk bersikap dengan lebih tanggungjawab.
Jika dilihat secara teliti, nilai yang terkandung dalam Sejarah Melayu sebenarnya ada banyak. Bukan sahaja nilai yang disebutkan di atas namun, terdapat juga nilai positif yang lain seperti nilai kegigihan, nilai keadilan, nilai kepatuhan dan banyak lagi. Di samping nilai positif, terdapat juga nilai-nilai yang negatif yang boleh kita jadikan pedoman dan iktibar yang terdapat dalam karya ini. Antaranya ialah kezaliman, ketidakadilan, kesombongan dan banyak lagi.

PERSOALAN

           Sejarah Melayu merupakan sebuah karya yang cukup bernilai dari segi sejarahnya. Sejarah Melayu memperihalkan tentang pemerintahan kerajaan Melaka dan keagungan raja-raja Melayu. Oleh itu, Sejarah Melayu telah diklfikasikan sebagai karya yang berbentuk Historiografi. Disini Sejarah Melayu bukan sahaja sebuah karya yang berunsur sastera malahan turut berunsurkan sejarah. Tetapi sejauh manakah unsur- unsur ini dimiliki dalam karya Sejarah Melayu?
           Terdapat pelbagai persoalan dalam Sejarah Melayu yang ditonjolkan. Antaranya ialah kebijaksanaan. Dalam ceritera 23, 24, dan 25, Sultan Alauddin menunujukkan kebijaksanaan dalam pemerintahan apabila menyamar pada waktu malam untuk menangkap pencuri yang selalu melakukan pencurian di kawasan pemerintahnnya. Pendekatan yang diambil ketika itu jelas menunjukkan keintelektualan yang ada pada Sultan Alauddin dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Tindakan ini juga menunjukkan nilai tanggungjawab baginda dan tidak hanya menyerahkan sesuatu tugas itu kepada orang suruhannya semata-mata.
Selain itu ialah persoalan kezaliman. Hal ini dapt dilihat melalui tindakan Sultan Mahmud yang sanggup berkomplot dengan Raja Mendeliar untuk membunuh Bendahara. Baginda bersetuju kerana telah menyimpan dendam dengan Bendahara berikutan kerana tidak mengkhabarkan perihal anak perempuan Bendahara yang bernama Tun Fatimah yang merupakan perempuan yang sangat cantik dan sopan yang dilihatnya semasa menghadiri poerkahwinan Tun Fatimah. Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya Bendahara dibunuh demi kepentingan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun selepas kematian Bendahara, baginda pula berkahwin dengan Tun Fatimah. Ini menunjukkan bahawa kezaliman yang sangat nyata.
Di samping itu, persoalan taat setia iaitu rakyat yang mentaati raja. Contohnya, ketika Singapura diserang oleh todak Paduka Seri Maharaja telah mengarahkan rakyat jelatanya berbentengkan betis untuk menghalang serangan todak. Oleh kerana, mereka sangat mentaati raja mereka, mereka sanggup berbentengkan betis walaupun ramai yang telah mati kerana diserang todak ketika membuat benteng.
Persoalan seterusnya, ialah ketidakadilan. Persoalan ketidakadilan ini telah berlaku antara rakyat dan rajanya, Contohnya, Sultan Mahmud yang banyak mengamalkan sikap ketidakadilan terhadap rakyatnya. Sultan Mahmud seorang yang pilih kasih dan bersikap tidak adil ketika memilih pembesar. Pembesar-pembesar yang malas dan tidak menjalankan tugas yang diberikan dengan baik tetap disayangi oleh Sultan Mahmud malah tetap memberikan mereka ganjaran dalam bentuk wang. Pembesar-pembesar yang rajin dan menjalankan tugas mereka dengan baik pula kurang mendapat perhatian daripada Sultan Mahmud.
Persoalan persahabatan pula adalah di antara Hang Kasturi dengan Hang Tuah. Hang Kasturi sangat sayangkan Hang Tuah sehinggakan dia sanggup menderhaka kepada raja hanya untuk menunjukkan kertidakpuasan hatinya kepada Sultan Mansor Syah. Hal ini kerana, Sultan Mansor Syah telah mengarahkan Hang Tuah dibunuh setelah baginda mendengar fitnah dilakukan terhadap Hang Tuah. Oleh kerana, Hang Kasturi tidak mengetahui bahawa Hang Tuah, dia telah menderhaka untuk mendapatkan keadilan ke atas kematian Hang Tuah.
Persoalan seterusnya ialah persoalan belas kasihan. Contohnya, kisah pembunuhan anak Sang Rajuna Tapa. Anak Sang Rajuna Tapa merupakan gundik Sultan Iskandar Syah. Dia telah dihukum bunuh hanya kerana fitnah yang dilemparkan kepadanya. Hukuman yang dijatuhi juga amat kejam kerana dia telah disula di hujung pasar. Peristiwa ini dapat membangkitkan perasaan belas kasihan kepada pembaca kerana hanya kerana fitnah dia dihukum supaya disulakan di hujung pasar tanpa ada siasatan yang dilakukan terlebih dahulu.







KESIMPULAN
Sejarah Melayu disusun oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612. Ini bermakna isi-isi bersejarah atau bukan bersejarah berkenaan raja-raja Melaka melingkupi masa hampir 101 tahun selepas Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511. Bahan-bahan selama 101 tahun ini dimasukkan oleh Tun Seri Lanang kepada “Hikayat Melayu” yang lebih pendek yang didapatinya itu.

             Oleh itu, apabila mengkaji Sejarah Melayu sebagai hasil sastera lama yang bercorak sastera sejarah, patut dilihat dari dua segi atau sudut. Pertama, Sejarah Melayu dengan unsur sejarahnya dan kedua Sejarah Melayu dengan unsur bukan sejarah iaitu unsur sastera. Boleh dikatakan bahawa Sejarah Melayu tidak dapat dijadikan suatu sumber sejarah yang tepat, tetapi ia menjadikan satu sumber yang bernilai kiranya isi kandungannya dikaji. Walaupun sejarah melayu secara keseluruhannya merupakan sebuah buku mitos dan lagenda, tetapi disebalik mitos dan lagenda ini terdapat unsur- unsur sejarah.


Disebalik unsur-unsur sejarah, secara keseluruhan boleh dikatakan Sejarah Melayu adalah sebuah karya sastera lama yang dikategorikan dibawah karya sastera sejarah. Semestinya Sejarah Melayu turut mempunyai unsur-unsur sastera. Kalau dihayati, pengarang telah mencuba melihat Sejarah Melayu dari perspektif kesusasteraan. Dari segi tujuan pengarang menulis Sejarah Melayu yang bertemakan kemegahan dan kesultanan melayu, dan secara keseluruhan ceritanya berpusat kepada golongan raja-raja serta pembesar-pembesar yang berlatar berlakangkan istana dan kawasan pemerintahan. Pengarang juga menyelitkan kisah-kisah bercorak mitos, lagenda, cerita rakyat dan kisah-kisah sejarah yang dikatakan adalah unsur-unsur sastera walaupun ada yang bercorak sejarah. 

No comments:

Post a Comment