PEMIKIRAN
ISLAM DALAM SULALATUS SALATIN
Siti Nur Atikah Binti Mat Dusi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Perak, MALAYSIA
Abstrak
Artikel ini berkenaan
dengan gaya pemikiran Islam masyarakat dahulu yang telah ditulis dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 : 411) mendefinisikan bahawa
pemikiran bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan perihal berfikir (memikir).
Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010 : 590) juga mendefinisikan Islam adalah agama yang disampaikan oleh Nabi
Muhammad SAW. Dalam Sulalatus Salatin
menggambarkan kedatangan Islam di nusantara baru sahaja bertapak, lebih-lebih
lagi di Tanah Melayu. Kedatangan Syeikh Ismail ke alam Melayu untuk mencari
sebuah negeri yang bernama Samundra telah menyebabkan berlakunya pernyebaran
Islam di beberapa buah negeri di nusantara. Penyebaran mula berkembang apabila
sultan-sultan mula memeluk agama Islam lalu rakyatnya juga turut mengikuti
agama yang dianuti oleh baginda sultan mereka. Secara logiknya, segala tingkah
lagu yang dilakukan oleh manusia adalah didorong oleh akal fikirannya. Akal
fikiran adalah gambaran pemikiran seseorang itu berfikir lalu dizahirkan
melalui tingkah laku. Pada zaman dahulu, mesti pun Islam baru berkembang di
alam Melayu, tetapi terdapat juga segelintir masyarakat dahulu mengamalkan
corak kehidupan yang berlandaskan ajaran Islam selepas mereka memeluk agama
tersebut. Sebagai contoh, kepercayaan terhadapat kuasa Allah, mematuhi arahan
Allah, memperlajari ilmu agama dan sebagainya adalah merupakan salah satu ciri
seseorang itu berfikir mengikut pemikiran Islam.
Kata kunci : pemikiran Islam, Kitab
Duri’l Mazlum, bersembahyang, pengislaman,
perkahwinan
1.0 Pengenalan
Sulalatus Salatin
juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang
ketika beliau menjadi Bendahara Paduka Johor bermula tahun 1580 hingga 1615.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 1565 di Bukit Seluyut, Johor. Maklumat
terpenting tentang Tun Seri Lanang terdapat dalam mukadimah beberapa versi Sejarah Melayu termasuk Sejarah Melayu edisi Shellabear (pertama
kali diterbitkan 1898) dan dalam Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu) yang
diselenggarakan pengeditannya oleh A. Samad Ahmad yang pertama kali diterbitkan
pada 1979 (Kelompok Pemikiran Sastera Melayu,
2009 : 150).
Karya
ini mempunyai banyak versi antaranya versi W. G
Shellabear, Munshi Abdullah dan versi Winstedt (Raffles MN). Sulalatus Salatin adalah merupakan bergenre sejarah yang
mengandungi lima belas bab kesemuanya. Karya agung ini menceritakan tentang
perihal zaman kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan di bawa dari Goa. Hal ini
dapat dibuktikan dalam ayat berikut :
“Pada antara itu ada seorang Orang Besar, terlebih
mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia
kepada fakir, “ Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa;
barang kita perbaiki kiranya dengan adatnya, supaya diketahui oleh segala anak
cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka
itu”
(Sulalatus
Salatin, 2010 : xxi-xxii)
Dalam
karya agung ini mengisahkan tentang zaman pemerintahan raja terdahulu seperti
zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka.
Pelbagai kisah yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat pada hari
ini. Walaupun karya ini berkisarkan tentang zaman pemerintahan raja-raja, karya
ini tetap boleh dijadikan panduan hidup serta mendidik masyarakat pada hari
ini. Terdapat banyak pemikiran yang bercorak Islam yang terkandung dalam Sulalatus Salatin meskipun agama Islam
baru sahaja bertapak di Tanah Melayu pada ketika itu.
2.0 Pemikiran Islam dalam Sulalatus Salatin
Pemikiran seperti yang saya bincangkan di bahagian
abstrak tadi, ianya melibatkan tingkah laku seseorang. Jadi sekiranya seseorang
itu mempercayai Allah dan ajaran agama Allah iaitu Islam, maka dia akan
mengikuti ajaran agama itu lalu mentaatinya. Untuk melihat sejauh mana
kepercayaan seseorang itu kepada Allah adalah dengan melihat tingkah lakunya yang
menggambarkan pemikirannya seperti berkahwin mengikut cara Islam, mengucap dua
kalimah syahadah, menerima ajaran Islam, berkelakuan baik, solat, dan
lain-lain. Oleh itu, dalam melihat pemikiran Islam dalam Sulalatus Salatin, saya
membahagikannya kepada enam perkara, iaitu :-
2.1 Penyebaran Islam
Kedatangan
Islam ke alam Melayu bermula dengan pengislaman Merah Silu. Kedatangan Sheikh
Ismail ke alam Melayu adalah untuk mencari sebuah negeri yang bernama Samundra
lalu menyebarkan agama Islam di sana. Dalam Sulalatus
Salatin ada menceritakan bahawa tujuan kedatangan Syeikh Ismail untuk
menyebarkan Islam di Samudera adalah didorong oleh sabda Rasulullah SAW, iaitu
:
“Pada akhir zaman kelak, ada
sebuah negeri di bawah angin, Samundra namanya ; maka apabila kamu dengar
khabarnya negeri Samundra itu, maka segeralah kamu pergi ke negeri itu, bawa
isi negeri Samundra itu masuk Islam, kerana dalam negeri itu banyak wali Allah
akan jadi ; tetapi ada seorang fakir di negeri Mutabari namanya, ialah kamu
bawa serta kamu...”
(Sulalatus
Salatin, 2010 : 55)
Sepanjang
perlayaran Syeikh Ismail ke Samundra, beliau ada singgah di beberapa buah
negeri iaitu Mu’tabari, Fansuri dan Haru. Di setiap negeri tersebut, Syeikh
Ismail akan menyebarkan agama Islam sehingga berjumpa dengan negeri Samundra. Di
negeri Mu’tabari, Sultan Muhammad mendapat tahu bahawa tujuan kedatangan Syeikh
Ismail adalah disebabkan oleh sabda Rasul Allah, lalu baginda sultan mahu turut
serta dalam pelayaran tersebut menuju ke Samundra. Sultan Mahmud melantik
anaknya sebagai raja untuk menggantikan diri baginda untuk memerintah kerajaan
baginda.
Setelah
sampai di Samundra, Merah Silu diislamkan oleh Syeikh Ismail dan diajarkannya
kalimatul syahadat. Pada waktu malam, Merah Silu bermimpi bahawa dirinya
berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah meludahkan ludahnya ke dalam mulut
Merah Silu. Apabila Merah Silu terjaga daripada tidurnya, dia mendapati bahawa
bau tubuhnya seperti bau narawastu. Pada waktu siang pula, Syeikh Ismail
meminta Merah Silu membaca al-Quran dan didapati Merah Silu dapat membacanya.
Merah Silu menjadi raja dan dinamainya Sultan Maliku’s-Salleh.
Kedatangan
Islam ke Melaka pula adalah bermula daripada Raja Kecil Besar yang telah
diislamkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w melalui mimpi. Diceritakan pada suatu
malam Raja Kecil Besar bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah s.a.w mengajar
baginda mengucap dua kalimah syahadat. Rasulullah s.a.w menitahkan baginda
menukar nama kepada Sultan Muhammad Syah. Contoh petikan teks yang
menggambarkan pengislaman Raja Kecil Besar ialah :
“Maka sabda Rasulullah pada
Raja Kecil Besar, “Ucap olehmu : Asyhadu alla ilaha i’l Allah wa asyhadu anna
Muhammad-ar-rasulullah.” Maka oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasulullah
s.a.w itu diturutnya.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 72)
Raja
Kecil Besar sangat yakin telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w kerana baginda
mendapati bahawa kalam baginda seperti dikhatankan orang. Rasulullah s.a.w
memberitahu bahawa keesokan hari pada waktu Asar akan sampai sebuah kapal dari
Jeddah dan orang-orang dari kapal itu akan bersembahyang di pantai Melaka. Semasa
waktu asar, memang benar terdapat sebuah kapal dari Jeddah tiba seperti yang
dikatakan oleh Rasulullah. Orang-orang Melaka kehairanan melihat perilaku Syed
Abdul Aziz iaitu orang yang terdapat dalam kapal itu bersembahyang. Lalu
orang-orang kampung tidak kira laki atau perempuan semuanya masuk Islam.
2.2 Pekahwinan mengikut
Islam
Selain
itu, dalam Sulalatus Salatin ada juga
menceritakan tentang tokoh terhebat iaitu Iskandar Zul-Karnain. Iskandar
Zul-Karnain adalah anak Raja Darab yang berbangsa Rom. Raja Iskandar hendak
melihat matahari terbit, maka baginda sampai di sebuah negeri yang bernama
Hindi. Raja Kida Hindi menghimounkan segala rakyatnya tercetusnya peperangan
antara kerajaan Raja Kida Hindi dengan kerajaan Raja Iskandar dan kemenangan
berpihak kepada Raja Iskandar. Oleh sebab kekalahan menimpa Raja Kida Hindi,
Raja Iskandar meminta Raja Kida Hindi memeluk Islam. Lalu raja Kida Hindi
berimanlah kepada Allah dan memeluk Islam.
Raja
Kida Hindi meminta agar Raja Iskandar berkahwin dengan puterinya yang bernama
Puteri Syahrul-Bariyah. Raja Iskandar bersetuju untuk berkahwin dengan puteri
Raja Kida Hindi. Dalam Sulalatus Salatin
ada menceritakan bahawa perkahwinan Raja Iskandar dengan Puteri Syahrul-Bariyah
adalah mengikut cara Islam dengan mas kahwinnya adalah tiga ratus ribu dinar
emas. Dengan ini kita dapat lihat bahawa pada zaman tersebut telah mula
mengikuti adat yang terdapat ajaran Islam. Contoh petikan teks mengenai
perkahwinan tersebut adalah seperti berikut :
“Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi
yang bernama Puteri Syahrul-Bariyah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya
tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan hamba?” Maka sahut Raja Iskandar,
“Redalah hamba.”
(Sulalatus
Salatin, 2010 : 6)
Selain daripada kisah perkahwinan
antara Raja Iskandar dengan puteri Raja Kida Hindi, terdapat kisah lain yang
menunjukkan bahawa adat perkahwinan yang dilangsungkan mengikut cara
Islam. Perkahwinan Raja Ahmad dengan
Raja Puspa Dewi menggambarkan bahawa mereka mengikuti syarat sah perkahwinan
mengikut ajaran Islam iaitu adanya kadi. Contoh petikan tersebut ialah :
“Setelah datang pada ketika baik, maka Raja Ahmad pun
diarak oranglah bergajah dengan selengkap perhiasan pakaian raja-raja; setelah
sampai ke balairung, maka dinikahkan oleh kadi.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 286)
Kedatangan Islam pasti akan memberi
kesan kepada masyarakat yang menerimanya. Perubahan tersebut boleh dilihat dari
segi tingkah laku, akidahnya, aktiviti sosial, kepercayaan dan lain-lain.
Apabila kita menerima sesuatu agama, contohnya Islam, secara tidak langsung
pemikiran kita juga akan dipengaruhi oleh agama yang kita anuti. Kebiasaannya,
tingkah laku dipengaruhi oleh pemikiran kita. Dalam Sulalatus Salatin, kita dapat lihat beberapa contoh perwatakan yang
menggambarkan perilaku beberapa orang watak yang berlandaskan ajaran Islam
contohnya baik hati, bijaksana, berani dan sebagainya sejajar dengan sifat
mulia Rasulullah s.a.w.
Dalam Sulalatus Salatin menceritakan bahawa harta yang telah diberi oleh
raja-raja, orang besar-besar, para menteri dan sebagainya digunakan untuk
disedekahkah kepada fakir miskin semasa majlis perkahwinan Raja Iskandar dengan
Raja Syahrul-Bariyah. Sifat bersedekah adalah sangat digalakkan oleh Rasulullah
s.a.w dan barang siapa yang bersedekah akan memperoleh pahala. Contoh petikan
teks tersebut adalah seperti berikut :
“Maka bangkit berdirilah segala raja-raja dan segala
Orang Besar-besar dan para menteri dan hulubalang dan segala pendita dan ulama
dan segala hukama menabur akan emas dan perak dan permata ratna mutu manikam
kepada kaki Raja Iskandar, hingga tertimbunlah segala emas dan perak dan ratna
mutu manikam itu di hadapan Raja Iskandar, seperti busut dua tiga timbunannya.
Maka sekalian harta itu disedekahkan pada segala fakir dan miskin.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 6)
2.3
Mencontohi akhlak Rasul
Antara
contoh bagi sifat dan akhlak yang mulia adalah suka menderma. Dalam Sulalatus Salatin juga dapat dilihat sifat
tersebut menerusi perkahwinan Sultan Malikus Salleh dengan Puteri Ganggang.
petikan teks yang menggambarkan situasi sifat menderma adalah seperti berikut :
“Telah sudah kahwin itu maka memberi kurnia akan segala
hulubalang dan memberi derma akan fakir dan miskin dalam negeri Semunda itu
daripada emas dan perak, dan akan Tun Perpatih Pandak.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 58)
Seterusnya,
sifat kasih sayang atau penyayang juga adalah merupakan sifat yang dikehendaki
oleh Islam. Sifat penyayang dapat dilihat melalui Betara Majapahit terhadap
anak dan menantunya dalam Sulalatus
Salatin. Sayang antara manusia dengan binatang adalah digalakkan, ini kan
pula sayang antara sesama manusia. Selain daripada sifat kasih sayang, sifat
hormat-menghormati juga terdapat dalam petikan teks di bawah. Sifat tersebut
dapat dilihat melalui perwatakan Sultan Mansur Syah yang sangat menghormati
ayahdanya. Contoh petikan teks adalah seperti berikut :
“Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun bermohonlah
kepada Betara Majapahit bersama-sama isteri baginda. Maka kedua anakanda
baginda laki isteri dipelu dicium baginda, beberapa puluh peti pakaian dan
beratus orang dayang-dayang dibekalkan Betara akan anakanda baginda itu. Maka
Sultan Mansur Syah pun bermohonlah kepada Betara, membawa isteri baginda turun
ke perahu, diiringi segala dayang-dayang, inang pengasuh Raden Galuh.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 129)
Seperti yang diketahui, Tun Perpatih
Putih seorang yang bijak dengan menggunakan helah menyuruh raja China memakan
kangkung untuk melihat wajah raja China tersebut. Dikisahkan bahawa raja China
bertanya kepada Tun Perpatih Putih mengenai kegemaran orang Melaka, lalu Tun
Perpatih Putih menjawab bahawa orang Melaka gemar memakan sayur kangkung.
Dengan helah itu, Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China semasa raja
tersebut makan kangkung. Sifat bijaksana seperti Tun Perpatih Putih amat
digalakkan kerana ianya selari dengan sifat Rasulullah iaitu fatonah yang
bererti bijaksana. Contoh petikan teks mengenai kisah tersebut adalah seperti
berikut :
“Maka titah raja China kepada Tun Perpatih Putih, “Apa
kegemaran orang Melaka?” Maka sembah Tun Perpatih Putih, “Sayur kangkung
tuanku, jangan dikerat-kerat, belah panjang-panjang, iaitulah kegemaran kami
semua orang Melaka makan, tuanku...kelihatanlah raja China duduk di atas kerusi
dalam mulut naga pada mungkur kacanya. Maka barulah dapat dipandang dengan
nyata oleh orang Melaka raja China itu.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 133)
Contoh lain yang berkaitan
dengan kebijaksanaan yang terdapat dalam Sulalatus
Salatin adalah melalui perwatakan Tun Perak. Negeri Siam ketika itu yang
dikenali sebagai Syahru’n Nuwi merupakan sebuah kerajaan yang besar. Raja
Bubunnya telah menghantar utusan ke Melaka meminta surat sembah. Sultan
Muzaffar Syah enggan tuduk kepada Bubunnya. Baginda Bubunnya telah menghantar
panglimanya Awi Cakri menyerang Melaka mengikut jalan air.
Tun Perak tekah turun ke Melaka
untuk membantu menentang serangan tersebut. Peliknya beliau bukan sahaja datang
dengan para hulubalang tetapi juga dengan anak isteri mereka. Apabila ditanya,
beliau menerengkan bahawa sekurang-kurangnya orang-orang Kelang akan
mempertahankan bumi Melaka demi membela anak isterinya itu. Serangan Siam dapat
dipatahkan. Tun Perak tidak dibenarkan pulang ke Kelang dan dijadikan bentara
oleh baginda sultan. Melihat kebijaksanaannya, akhirnya Tun Perak dijadikan
menteri bergelar Paduka Raja.
Sifat atau akhlak yang lain adalah
melalui perwatakan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Baginda seorang pemerintah
yang adil, bertanggungjawab dan berjiwa rakyat. Sultan Alau’d-Din Riayat Syah
merupakan seorang pemerintah yang amat mementingkan keadilan. Baginda telah
membina balai di simpang empat di tengah negeri bagi membolehkan orang ramai
meletakkan semua harta yang ditemui atau diperoleh daripada pencuri agar dapat
diambil semula oleh tuannya.
Dalam Sulalatus Salatin juga menyatakan sifat baginda yang
bersugguh-sungguh untuk membasmi pencuri. Baginda sultan telah menyamar memakai
pakaian biasa dan berjalan tanpa teman kecuali Hang Isap berkeliling Melaka. Sifat
baginda menggambarkan bahawa baginda cuba menjaga kesejahteraan rakyat dibawah
pimpinan baginda dengan mengikut akhlak terpuji seperti yang disarankan oleh
ajaran Islam. Contoh petikan teks yang menunjukkan baginda sultan seorang yang
berjiwa rakyat dan bertanggungjawab adalah seperti berikut :
“Setelah Sultan Alau’d-Din Riayat Syah mendengar pencuri
terlalu ganas itu,maka baginda memakai cara pakaian si pencuri. Maka baginda
berjalan menyamar, tiada membawa teman; hanya Hang Isap dibawa baginda beserta
pergi itu.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 173)
Selain
itu, dalam Sulalatus Salatin juga
terdapat banyak dialog yang menggunakan kata-kata yang mengaitkan dengan unsur
Islam. Antaranya memgucapkan salam, penggunaan ‘InsyaAllah’, ‘Allah Taala’,
‘Rasul Allah’ dan lain-lain. Jika dalam percakapan yang kita lakukan
mengandungi unsur-unsur Islam, maka tidak dinafikan lagi bahawa orang tersebut
adalah yang beragama Islam dan beriman kepada Allah. Contohnya, Raja Kida Hindi
telah menggunakan istilah ‘Insya-Allah’ dalam percakapanya dengan Perdana
Menterinya. Kemudian, Perdana Menteri Raja Kida Hindi memberi salam kepada Nabi
Khindir semasa bertemu dengan Nabi Khindir tersebut. Selain itu, dalam petikan
di bawah juga kita dapat lihat bahawa Perdana Menteri mengucap puji kepada Nabi
Khindir dengan memanggil Nabi Khindir ‘ya nabi Allah’. Contoh petikan adalah
seperti berikut :
“Adapun setelah Menteri itu sampai kepada Nabi Khindir
maka ia pun memberi salam, maka disahut leh Nabi Khindir salam Menteri itu,
lalu disuruh duduk...berkatalah Perdana Menteri itu kepada Nabi Khindir alaihi
s-salam, “Ketahuilah oleh tuan hamba, ya nabi Allah, bahawa rajahamba terlalu
amat kasihnya akan Raja Iskandar...”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 5)
Kepercayaan mengenai ajaran Allah
dan kekuasaan Allah adalah menunjukkan bahawa seseorang itu beriman kepada
Allah. Kepercayaan tentang hari kiamat, akhirat, kewujudan syurga dan neraka
juga adalah merupakan salah antara rukun iman yang telah diturunkan oleh Allah.
Dalam Sulalatus Saladin, terdapat
beberapa kisah yang menggambarkan bahawa mereka percaya akan wujudnya kiamat
dan akhirat, serta syurga dan neraka Allah dan lain-lain. Contohnya semasa
perkahwinan Raja Iskandar, nabi Khindir telah membaca khutbah nikah lalu ada
menyebut berkenaan dengan hari kiamat. Ini menunjukkan bahawa mereka yakin dan
percaya akan berlakunya hari khiamat suatu hari nanti. Contoh petikan teks yang
berkenaan adalah seperti berikut :
“...jangan lagi berputusan kiranya hingga hari kiamat.
Bagaimana, kabulkah? Atau tidakah?”
(Sulalatus Salatin. 2010 : 6)
Seterusnya, dalam Sulalatus Salatin juga, Sultan Pasai
inginkan kepastian sama ada segala isi syurga dan neraka itu kekal atau pun
tidak. Sultan menitahkan Tun Bija Wangsa untuk menjawab soalan baginda tersebut. Biarpun soalan baginda seakan
seperti belum mengetahui bahawa syurga dan neraka itu sememangnya wujud, tetapi
kita dapat lihat bahawa baginda bersifat ingin belajar dan mengetahui tentang
ajaran Allah Taala dengan lebih mendalam. Petikan teks tersebut adalah seperti
berikut :
“Tuan, raja Besar menitahkan Tuan Bija Wangsa ke mari,
bertanyakan masalah segala isi syurga dan isi neraka itu; kekalkah isi syurga
itu, dan kekalkah isi neraka itu, atau tiadakah?”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 159)
Keyakinan dan berserah kepada Allah
Taala merupakan sifat yang perlu ada dalam setiap diri manusia yang beriman
kepada Allah. Sifat sebegitu menggambarkan bahawa tiada lagi tempat yang perlu
diharap dan bergantung melainkan satu-satunya kepada Allah. Sekiranya seseorang
itu beriman kepada Allah, sudah pasti dia akan yakin dan berserah kepada Allah.
Dalam Sulalatus Salatin, contoh yang
saya jumpa iaitu melalui perwatakan Sultan Pahang yang menyerahkan takdir
kepada Allah seperti yang dikatakan oleh Bendahara dan Seri Nara Diraja. Contoh
petikan teks yang menggambarkan sifat tersebut adalah seperti berikut :
“Maka sembah Bendahara dan Seri Nara Diraja, “Kepada
Allah Subha nahu wa taala tuanku serahkan paduka cunda itu, masakan patik
sekalian lainkan dengan paduka cunda kedua itu,” maka terlalu sukacita Sultan
Pahang mendengar kata Bendahara dan Seri Nara Diraja itu.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 302)
2.4 Mentaati perintah Allah
Kemudian,
dalam Sulalatus Salatin ini juga
terdapat beberapa contoh yang berkaitan dengan tingkah laku yang menggambarkan
masyarakat dahulu memyembah dan mentaati Allah. Sebagai contoh, ada bukti
menunjukkan bahawa ada yang melakukan solat, bertarawih, pembahagian harta
pusaka mengikut cara Islam, bersunat, mengaji dan lain-lain. Dengan ini, dapat
kita ketahui bahawa mereka yang melakukan amalan tersebut merupakan orang-orang
yang beriman kepada Allah. Contoh yang pertama adalah berkenaan dengan amalan
bersolat. Diriwayatkan dalam Sulalatus
Salatin bahawa Sultan Maliku’l Mansur mengambil air sembahyang lalu
sembahyang dua rakaat. Contoh petikan teks yang berkaitan adalah seperti
berikut :
“Telah didengar Sultan Maliku’l-Mansur, baginda pun
mengambil air sembahyang, lalu sembahnyang dua rakaat serta salam. Telah sudah
sembahyang, maka baginda pun berbaring-baring di sisi kubur Sidi Asma
Yaumi’d-Din, lalu baginda putus nyawa.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 65)
Dalam Sulalatus Salatin, ada kisah yang
mengaitkan tentang raja yang
berangkat ke masjid yang disamai
seperti adat hari sembahyang tarawih. Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa
pada ketika itu mereka telah melakukan
solat tarawih. Seterusnya, berkenaan dengan pembahagian harta pusaka yang
diceritakan adalah tentang kisah Nizamu’l Muluk Akhbar Syah iaitu raja di
Pahili di benua Keling yang telah memeluk Islam telah hilang. Maka anakanda
baginda mahu membahagikan harta pusaka dengan adik-beradiknya mengikut hukum
Allah. Sebagai contoh petikan teks yang telah diambil dalam Sulalatus Salatin adalah seperti berikut
:
“Maka Raja Nizamu’l Muluk
Akhbar Syah pun sudah hilang, maka anakanda baginda Raja Akhbar Muluk Kud
Syahlah kerajaan, menggantikan ayahanda baginda. Maka baginda berbahagi pusaka
tiga bersaudara, seperti dalam hukum Allah demikianlah diturutnya.”
(Sulalatus Salatin, 2010 :
80)
Seterusnya, bagi seorang lelaki,
mereka perlulah untuk berkhatan seperti yang diajar oleh agama Islam. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat juga
beberapa kisah yang menggambarkan rakyat dahulu telah mengikuti ajaran Islam
dengan mengkhatankan anak lelakinya. Contoh petikan teks adalah seperti berikut
:
“Raja Puspa Dewi dan raja Kesuma Dewi bertindik, serta
menyunatkan Raja Ahmad.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 285)
“Hatta sampaikanlah umur Sultan Abdul jalil sembilan
tahun, sekira-kira akan hendak dicucikan, maka baginda pun geringlah terlalu
sangat; maka bertunggulah Bedahara dengan segala orang Besar-besar sekalian.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 308)
2.5
Wasiat berlandaskan Islam
Selain
itu, wasiat yang dilakukan melalui kisah-kisah dalam Sulalatus Salatin dapat menggambarkan bahawa ianya dipengaruhi oleh
pemikiran Islam. Kita ambil contoh melalui wasiat Sultan Mansur Syah dan juga
Sultan Alau’d-Din Syah. Hasil perkahwinan dengan Rden Gakuh Cendera Kirana,
Sultan mansur Syah memperoleh seorang putera bernama Raden Kelang. Putera
inilah yang dihajatkan oleh baginda akan mewarisi tahta. Malangnya Raden Kelang
mati ketika bertikam dengan orang mengamuk.
Akhirnya Sultan Mansur Syah gering.
Baginda memanggil Raja Ahmad (nama timbanganya ialah Raja Hussain) dan
mengumumkan kepada para pembesar bahawa putera itulah yang akan mengantikan
baginda. Baginda mewasiatkan kepada para pembesar agar menjaga dan memaafkan
sebarang kesilapan puteranya yang masih mentah itu, Wasiat baginda kepada
puteranya pula ialah agar mementingkan keadilan dan permuafakatan dalam
mentadbir negara. Dalam wasiat baginda kepada Raja Ahmad, kita dapat lihat
banyak nasihat baginda kepada Raja Ahmad berkaitan dengan soal agama,
pemerintahan, dan kehidupan. Contoh
petikan teks yang berkenaan dengan wasiat Sultan Mansur Syah adalah seperti
berikut :
“ Maka titah Sultan Mansur Syah pada sekalian, mereka
itu,”Ketahuilah olehmu sekalian, bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya
daripada genggamanku;melainkan negeri akhiratlah penghadapanku. Adapun
pertaruhkulah pada Bendahara dan segala Orang Kaya-kayasekalian, anakkita Ahmad
ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian.Jikalau barang sesuatu salahnya,
hendaklah dimaafkan olehtuan-tuan sekalian,kerana ia budak yang bebal, tiada
tahu istiadat.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 171)
“...maka titah baginda, Hei anakku, ketahui olehmu dunia
ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga
sudahnya; iman semourna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang
selama-lamanya. Adapun peninggalan aku ini, hei anakku, hendaklah engkau
berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada
sebenarnya. Makan haqu’I-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah
S.w.t...”
(Sulalatus Salatin, 2006 : 172)
Dalam wasiat Sultan
Alau’d-Din Syah, terdapat banyak pesanan dan nasihat yang baginda berikan
kepada anakanda baginda iaitu Raja Mamad. Segala wasiat yang dipesan oleh
baginda adalah bercorak Islam kerana baginda banyak mengingatkan anakanda
baginda mengenai pemerintahan sebagai sultan, perlu taati perintah Allah,
tentang dosa dan sebagainya. Contoh petikan teks berkenaan dengan wasiat
tersebut adalah seperti berikut :
“Maka Sultan Alau’d-Din pun terlalu sukacita mendengar
segala mereka itu. Maka Baginda memandang kepada muka anakanda baginda, Raja Mamad, maka
titah baginda, “Hei anakku, adapun
engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu,
dan baik-baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala Inna’llahu ma’as
sabirin, yakni bahawa Allah Taal serta pada segalayang sabar. Dan jikalau
datang kepada dua pekerjaan, suatu olehmu pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan
dunia, maka dahulukan olehmu pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia.
Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala
yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal ‘ala’llah.
Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar
dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya
derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab
Al-‘abadi tinu’l-maulahu, yang hamba itu tanah...”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 186-187)
2.6 Mendalami ilmu agama
Ajaran
agama Islam amat menggalakkan manusia untuk menimba ilmu lebih-lebih lagi ilmu
keagamaan. Sifat ilmu yang terlalu luas dan tidak akan putus. Dalam bidang
keagamaan, antara contoh ilmu yang boleh dipelajarai ialah berkaitan dengan
ilmu, tauhid, tasawuf, usuluddin, tasawwur, dan lain-lain. Ilmu-ilmu sebegitu
biasanya akan disebarkan oleh para alim dan ulama. Dalam Sulalatus Salatin ada mengisahkan tentang seorang pendita iaitu
Maulana Abu Ishak yang handal dalam bidang tasawuf.
Maulana
Abu Ishak telah mengarang sebuah kitab dengan dua bahasa yang bertajuk Duri’l-Mazlum. Maulana Abu Ishak
digambarkan sebagai seorang yang taat dengan perintah Allah dan seorang yang
banyak beribadat kepada Allah. Ini dapat dibukti melalui percakap bondanya yang
mengatakan bahawa Maulana Abu Ishak hanya mengambil dua kali sahaja air
sembahyang pada setiap bulan. Dengan ini kita dapat lihat bahawa Maulana Abu
Ishak seorang yang tekun beribadat kepada Allah.
Anak murid Maulana Abu Ishak iaitu
Maulana Abu Bakar telah belajar Kitab
Duri’l Mazlum. Tujuannya adalah untuk menyebarkan Islam di negeri yang
belum menerima Islam. Maulana menumpang kapal yang belayar dari Jeddah ke
Melaka. Tibanya di Melaka disambut baik oleh Sultan Mansur Syah. Kemudian,
Sultan Mansur Syah telah berguru dengan Maulana Abu Bakar. Selain daripa Sultan
Mansur Syar, Orang Besar-besar Melaka pun turut berguru dengan anak murid
Maulana Abu Ishak itu kecuali Kadi Yusuf. Dengan ini kita dapat lihat bahawa
Sultan Mansur Syah dan pengikutnya adalah merupakan manusia yang suka belajar
dan menghargai ilmu, lebih-lebih lagi ilmu keagamaan.
Contoh petikan teks yang
menggambarkan Sultan Mansur Syah dan Orang Besar-besar berguru dengan Maulana
Abu Bakar adalah seperti berikut :
“Maka Kitab Duri’l-Mazlum itu disuruh baginda arak lalu
ke balirung. Maka Sultan Mansur Syah pun bergurlah pada Maulana Abu Bakar; maka
sangatlah dipuji oleh Maulana Abu Bakar akan Sultan Mansur Syah, terlalu amat
terang hati; banyaklah ilmu diperoleh baginda... Maka segala Orang Besar-besar
Melaka sekaliannya pun bergurulah pada Maulana Abu Bakar, melainkan Kadi Melaka
yang tiada berguru, Kadi Yusuf namanya.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 157-158)
Dikisahkan dalam Sulalatus Salatin, selain daripada Maulana
Abu Ishak dan Maulana Abu Bakar, terdapat seorang lagi pendeta yang bernama
Maulana Sadar Jahan yang datang ke Melaka melalui kapal dari Jeddah. Pendeta
tersebut digambarkan seorang yang terlalu alim. Sultan Mahmud Syah pada ketika
itu telah berguru dengan Maulana Sadar Jahan manakala anakanda baginda iaitu
Raja Ahmad turut sama mengaji. Maulana Sadar Jahan pernah menasihati Seri Rama
yang mabuk kerana Seri Rama didapati meminum arak. Nasihat pendeta itu
mencerminkan dirinya sebagai seorang yang patuh arahan Allah dan boleh
dijadikan ikhtibar. Contoh petikan teks tersebut adalah :
“Maka kata Makhdum Sadar Jahan, “Al-khamru
ummu’l-khabaith,” ertinya: arak itu ibu segala najis.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 246)
Selain itu, dalam Sulalatus Salatin juga ada menceritakan
bahawa Sultan Alau’d-Din juga turut menghantar anakanda baginda iaitu Raja
Muzaffar dan Raja Fatimah belajar mengaji. Baginda menitahkan kepada Tun Kamal
Wangsa disuruh ajar mengaji kepada kedua-dua orang anakanda baginda. Dengan ini
kita dapat ketahui bahawa Sultan Alau’d-Din Riayat Syah menitikberatkan soal
ilmu agama terhadap anakanda baginda. Contoh petikah teks yang berkaitan adalah
seperti berikut :
“Setelah itu maka dititahkan Sultan Alau’d-Din pada Tun
Kamal Wangsa disuruh ajar mengaji; takdir Allah dengan segera baginda kedua
saudara tamatlah mengaji.”
(Sulalatus Salatin, 2010 : 292)
3.0 Kesimpulan
Dalam
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebenarnya banyak
menceritakan kisah yang mitos berbanding dengan kisah yang berunsurkan Islam.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kisah yang menujukkan kemegahan
agama Islam biarpun Islam baru sahaja bertapak di alam Melayu. Agama yang
dianuti oleh seseorang kebiasaannya akan mendorong daya pemikiran dan perilaku
pengikutnya. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, kisah yang terdapat dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini sememangnya didapati
ada dipengaruhi oleh pemikiran Islam walaupun tidak banyak seperti kisah mitos.
Hal ini demikian kerana, ajaran agama Islam mula mendapat sambutan dan mula
tersebar luas dari semasa ke semasa pada zaman itu.
Rujukan
A.Samad Ahmad (2010). Sulalatus
Salatin. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ali Ahmad (1999). Kisah-kisah
Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala
Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
D.Kathiresan (1998). Kajian
Teks Sastera: Sulalatus Salatin. Selangor : Longman
Malaysia
Sdn Bhd.
Jelani Harun (2003). Pemikiran
Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala
Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelompok Pemikiran Sastera Melayu. Selangor :
Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (1993). Kesusasteraan Melayu Tradisional.
Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment