KEPELBAGAIAN LARAS BAHASA YANG TERDAPAT DALAM SULALATUS SALATIN
Nor Kamilah Binti Said
D20111047643
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu)
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Abstrak
Artikel ini adalah berkenaan dengan kepelbagaian laras bahasa yang
terdapat dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Kajian ini dilakukan bagi
mengenalpasti serta meneliti laras bahasa yang terdapat dalam salah satu Karya
Agung Melayu iaitu Kitab Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin adalah merupakan
Teks Karya Agung yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Pengkaji menggunakan kaedah
kepustakaan bagi memperoleh maklumat berkaitan kepelbagaian laras bahasa tersebut.
Dalam kajian ini, pengkaji akan lebih memberikan perhatian terhadap laras
bahasa yang terdapat dalam Sulalatus Salatin terutama Laras Bahasa Melayu
Klasik dan Laras Bahasa Melayu Moden. Laras Bahasa Melayu Klasik yang dikaji
harus mengandungi aspek-aspek bahasa yang berikut seperti susunan dan pilihan
pola ayat dan perbendaharaan kata. Manakala Laras Bahasa Melayu Moden pula
dirangkumi oleh laras pantun bahasa Melayu lama, laras agama dan laras bahasa
himbauan. Bagi pengkajian terhadap Laras Bahasa Melayu Moden, dijangkakan ianya
sukar untuk dikaji kerana bahan yang dikaji adalah merupakan bahan yang
menggunakan Bahasa Melayu Lama.
Kata kunci:
laras bahasa, Sulalatus Salatin, Laras Bahasa Melayu Klasik, aspek-aspek
bahasa,pola ayat, perbendaharaan kata,Laras Bahasa Melayu Moden, laras pantun
bahasa Melayu lama, laras agama, laras bahasa himbauan
1.0
PENDAHULUAN
Laras
bahasa ialah gaya dan penggunaan sesuatu bahasa. Menurut Abdullah Hassan
(1997), gaya merujuk kepada pelisanan dan penulisan manakala penggunaan merujuk
kepada penutur, pendengar, situasi, topik dan tujuan perbincangan. Laras bahasa
dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah variasi bahasa mengikut penggunaanya
iaitu ragam bahasa yang digunakan dalam satu-satu masa. Laras bahasa ialah satu
variasi bahasa berdasarkan penggunaannya mengikut situasi, konteks, menentukan
makna dan pengertian yang mengkhusus kepada bidang tertentu.
Laras bahasa dapat menggambarkan ragam penggunaan bahasa yang
pelbagai dan mempunyai ketentuan bidang yang mengkhusus merujuk kepada
pemilihan diksi, istilah, frasa dan ayat yang digunakan. Jenis-jenis laras
bahasa ialah laras bahasa agama, sains, matematik, seni, pendidikan jasmani,
kemahiran hidup dan sastera. Selain itu, laras bahasa juga mempunyai retorik
yang tersendiri, sama ada pujukan, pernyataan, perintah dan sebagainya. Menurut
Ab. Razak Ab. Karim (2012), laras merupakan konvensi sosial dan sesuatu laras
digunakan untuk sesuatu situasi. Dari aspek lain pula, dapat dikatakan bahawa
dengan memilih laras yang berlainan untuk situasi-situasi yang
berbeza,ahli-ahli masyarakat menunjukkan bahawa mereka sedar akan
situasi-situasi sosial yang berlainan dan wujud di sekitar mereka.
Menurut beliau lagi, jumlah laras yang wujud dalam sesebuah
masyarakat bahasa menunjukkan bahawa pengalaman bahasa masyarakat tersebut agak
baik. Beliau mendefinisikan laras
sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan
sehari-harian. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung pada
keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung. Menurut Nik
Safiah Karim (1982: 1) menyatakan bahawa laras atau register bermaksud gaya
atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa
yang dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur.
Asmah Hj. Omar (1984:92) pula menyatakan laras bahasa adalah
kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang, seperti bidang ilmu dan bidang
sosial. Bahasa yang digunakan dalam bidang keilmuan tertentu akan
memperlihatkan beberapa perbezaan daripada bahasa yang digunakan dalam ilmu
yang lain. Perbezaan yang wujud bukanlah perbezaam sistem bahasa, tetapi
kesukaran wujud dalam pemahaman konsep-konsep yang didukung oleh
istilah-istilah tertentu ataupun khusus yang digunakan dalam ilmu berkenaan.
Menurut Abdullah Hassan (1997: 248),
terdapat pelbagai jenis laras bahasa. Ianya terbahagi kepada 9 iaitu:
i.
Laras
Bahasa Umum
ii.
Laras
Bahasa Teknikal
iii.
Laras
Bahasa Undang-undang
iv.
Laras
Bahasa Agama
v.
Laras
Bahasa Himbauan
vi.
Laras
Bahasa Klasik
vii.
Laras
Bahasa Kreatif
viii.
Laras
Bahasa Kanak-kanak
ix.
Laras
Bahasa Iklan
Manakala menurut Nik Safiah Karim (1989), laras bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu
bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada
sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Ure & Ellis (1977)
dalam Nik Safiah Karim (1989: 2) menyatakan laras adalah sebagai sejenis “language
patterning regularly used in a certain kind of situation (pola-pola
penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan-keadaan tertentu)”,
sementara Halliday (1968) dalam Nik safiah Karim (1989:2) mendefinisikannya
sebagai variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi. Menurut beliau,
“laras berubah-ubah mengikut situasi. Apabila kita mengamati perlakuan bahasa
yang wujud dalam berbagai-bagai konteks, kita dapati kelainan dan jenis-jenis
bahasa yang diguna disesuaikan dengan situasi yang berlainan”.
Antara laras
bahasa yang akan dikaji dengan lebih lanjut dalam artikel ini adalah Laras
Bahasa Melayu Klasik dan Laras Bahasa Melayu moden. Laras Bahasa Melayu Klasik
adalah merupakan bahasa yang berupaya mengungkapkan buah fikiran dengan jelas
dan kemas. Keindahannya juga ternyata. Yang membezakan bahasa lama daripada
bahasa zaman sekarang ialah ciri-cirinya yang lebih kepada penggunaan ayat yang
panjang lebar, penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan bahasa istana,
banyak menggunakan partikel pun, lah, kah dan tah, penggunaan kata pangkal ayat
dan kata hubung yang banyak, dan terdapat ungkapan doa, seruan dan ucapan yang
berbahasa arab. Berdasarkan Kitab Sulalatus Salatin, kita dapat lihat
bahawa terdapat banyak ciri-ciri yang telah disenaraikan di atas, misalnya
seperti:
i.
Penggunaan
ayat yang panjang lebar
Penggunaan
ayat yang panjang-panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit iaitu gabungan
daripada beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata
hubung yang tertentu, terutamanya ‘dan’ dan ‘atau’ ataupun dengan
menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Contohnya :
a)
Maka
titah Raja Suran kepada menterinya, “Himpunkanlah segala bala Teritera
kita sekalian, kampungkan segala gajah kuda, jangan diberi
berpecah- pecah, kerana hendak kembali; dan tafahus segala yang
sakit dan yang kekurangan makanan; tetapi alat Senjata perbaiki barang
yang tiada baik, dan panggil segala hakim dan utus. (Sulalatus
Salatin: 16)
Berdasarkan contoh-contoh di
atas, kita dapat lihat bahawa Bahasa Melayu Klasik lebih gemar menggunakan
bahasa yang panjang lebar. Berdasarkan contoh a), kita dapat lihat bahawa
terdapat 8 ayat tunggal, iaitu:
Maka titah Raja Suran kepada menterinya.
Himpunkanlah segala bala Teritera kita sekalian.
Kampungkan segala gajah kuda.
Jangan diberi berpecah- pecah kerana hendak kembali.
Dan tafahus segala yang sakit.
Dan yang kekurangan makanan.
Tetapi alat senjata perbaiki barang yang tiada baik.
Dan panggil segala hakim dan utus.
yang
digabungkan menjadi satu ayat majmuk gabungan. Perhatikan ayat-ayat majmuk yang
lain:
b)
Itulah
dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada
pernah memberi aib kepada segala Hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun
besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata
yang keji hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. (Sulalatus
Salatin: 26)
c)
Maka
mereka itu sekalian berlengkap; setelah sudah lengkap, maka Demang Lebar Daun
pun memanggil saudaranya yang muda, katanya, “Tinggallah tuan hamba,
peliharakan negeri ini baik-baik, hamba hendak mengiring duli Yang Dipertuan,
barang ke mana kehendak baginda hamba iringkan.”
(Sulalatus Salatin: 30)
ii.
Penggunaan
bahasa istana
Bahasa
Melayu Klasik lebih bersifat ‘bahasa istana’. Buktinya dapat dilihat melalui
penggunaan perkataan dan sistem panggilan kepada seseorang. Dalam Karya Agung
yang dikaji, bahasa Melayu Klasik adalam dalam bentuk karya sastera,
kebanyakkan cerita yang terdapat dalam karya agung melayu: Sulalatus Salatin
adalah berkisar kepada kisah dan peristiwa yang dialami oleh masyarakat di
kalangan raja di istana. Antara contoh penggunaan bahasa istana dalam teks
Sulalatus Salatin adalah:
a)
Setelah
itu titah Seri Teri Buana, “Katakan sembah kita kepada paduka
bonda itu, esoklah kita mengadap paduka bonda,” Maka sembah Aria Bupala,
“ Baiklah Tuanku,” serta ia bermohon kepada baginda dengan segala
menteri hulubalang yang sertanya, lalu turun kembali mengadap Wan
Seri Beni.
(Sulalatus Salatin: 33)
b)
Maka
Demang Lebar Daun dengan Menteri Bupala segera menyambut baginda, maka
baginda berjalanlah di seri balai, naik langsung bersemayam di
atas singgahsana Raja Ishar Syah, ayahanda Wan Seri Beni.
(Sulalatus
Salatin: 34)
Berdasarkan teks contoh
diatas kita dapat ketahui bahawa terdapat beberapa perkataan yang hanya
digunakan apabila berada di istana dan apabila kita berinteraksii sesama
kerabat raja. Antara contoh bahasa istana yang terdapat dalam teks contoh di atas
adalah seperti titah, sembah, paduka, bonda, tuanku, baginda, menteri
hulubalang, mengadap, seri balai, bersemayam, singgahsana, raja dan ayahanda.
iii.
Penggunaan
kata pangkal ayat dan kata hubung
Dr.
Zaitul Azama menyatakan bahawa bahasa Melayu Klasik terdapat penggunaan kata
pangkal ayat yang agak klise atau usang. Dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat, klise atau usang merujuk kepada tidak dipakai atau tidak digunakan
lagi iaitu bukan adat, perkataan dan lain-lain. Berdasarkan pernyataan ini,
boleh dikatakan Bahasa Melayu Klasik adalah merupakan bahasa yang mengandungi
penggunaan perkataan yang sudah diguna atau dipakai pada masa kini lagi. Contoh
teks yang menunjukkan penggunaan pangkal ayat dalam Sulalatus Salatin ini
adalah seperti berikut:
a)
Alkisah maka tersebutlah perkataan raja di Benua Keling, Adi Rama Raja
Mudaliar namanya, asalnya daripada anak cucu Raja Suran, raja di negeri Bijaya
Negara.
(Sulalatus Salatin: 42)
b)
Sebermula Seri Teri Buana pun beranak dua orang lelaki, terlalu baik paras
rupanya anakanda baginda kedua itu;...
(Sulalatus
Salatin: 42)
c)
Hatta berapa lamanya di laut maka sampailah ke negeri Bijaya Negara;
maka disuruh sambut oleh Raja Jambuga Rama Mudaliar surat dari Singapura itu,
dengan dihormati diarak berkeliling negeri baginda.
(Sulalatus Salatin:
42)
d)
Syahadan apabila Paduka Seri Pikrama Wira tiada keluar, maka Tun
Perpatih Permuka Berjajarlah duduk diadap orang banyak di balai,...
(Sulalatus Salatin: 44)
Berdasarkan pada contoh teks
yang diberi, kita dapat lihat bahawa teks Sulalatus Salatin mengandungi kata
pangkal ayat lama seperti Alkisah, Hatta, Sebermula, Syahadan,
dan Maka.
Laras bahasa lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah Laras
Pantun Bahasa Melayu Lama. Menurut Ab. Razak Ab. Karim (2012), pantun merupakan
salah satu bentuk puisi melayu lama yang diwarisi sejak zaman lampau tetapi
tidak diketahui tarikh sebenar kewujudannya. Namun, pantun merupakan satu
daripada bentuk puisi lisan tradisional yang masih kekal digunakan sehingga
kini. Menurut Za’ba (1965:218-219) dalam Ab, Razak Ab. Karim (2012), pantun
merupakan karangan berangkap iaitu puisi kepunyaan masyarakat Melayu lama.
Tambah beliau lagi, pantun digunakan di kampung-kampung untuk menggambarkan
fikiran hiba, sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah, seperti hal ehwal
berkasih sayang dan pujuk rayu yang lemah lembut antara pasangan kekasih.
Menurut Ab. Razak
Ab. Karim (2012), pantun dikatakan wujud sejak zaman kerajaan Melaka dan
catatan tentangnya terdapat dalam teks Sejarah Melayu, hikayat lama dan juga
dalam Hikayat Asyik kepada Masyuk. Menurut Za’ba (1965) dalam Ab. Razak Ab.
Karim (2012: 69), perkataan ‘pantun’ digunakan pada peringkat awal dengan makna
‘seperti’ atau ‘ umpama’ tetapi kemudian maksudnya diperbuat sehingga digunakan
untuk merujuk kepada bentuk puisi seperti yang terdapat dalam bentuknya
sekarang. Di dalam teks Sulalatus Salatin terdapat beberapa pantun yang telah
digunakan, antaranya adalah seperti berikut:
a)
Telur
itik dari Singgora,
Pandan tersandar di batang tui,
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di Lengkawi
(Sulalatus Salatin: 68)
b)
Gendang ria dapat berbunyi,
Raja Rekan masuk mengadap,
Orang kaya apa disembunyi,
Dendam sahaya dapat berdapat.
(Sulalatus Salatin: 82)
c)
Cau
panden anak Bubunnya,
Hendak menyerang ke Melaka,
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung air mata.
(Sulalatus Salatin: 96)
d)
Lalai-lalai
mana bubutan?
Bubutan lagi di kelati,
Kakak Tun Telanai, dimana pungutan?
Pungutan lagi di Tanjung jati.
(Sulalatus Salatin: 108)
Laras lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin adalah
laras agama. Laras agama adalah merupakan laras yang menunjukkan ciri-ciri
seperti mengandungi unsur-unsur bahasa klasik, terutama pada kosa katanya.
Selain itu, laras bahasa agama juga mempunyai istilah agama yang khusus bagi
sesuatu agama dan banyak mengandungi bentuk cerita, kias dan ibarat. Misalnya
boleh dilihat melalui contoh yang berikut:
a)
Man
qala: innal’llaha khaliqun wa raziqun fi’lazali faqad kafara, yakni barang
siapa mengatakan bahawa Allah subha nahu wa taala menjadikan dan memberi rezeki
pada azab, bahawa sesungguhnya kafir; Wa man qala: inna’illaha lam yakun
khaliqun wa raziqun fi’l-azali faqad kafara, yakni barang siapa mengatakan
bahawa Allah subha nahu wa taala tiada menjadikan dan tiada memberi rezeki pada
azali, maka sesungguhnya kafir.
(Sulalatus
Salatin: 248)
Seterusnya laras bahasa Himbauan. Laras bahasa himbauan adalah
merupakan laras bahasa yang menggunakan banyak perkataan yang membawa makna
ajak atau tegah. Selain itu ianya juga banyak menggunakan contoh, kes atau
cerita yang selaras dengan tajuk selain mengemukakan faedah daripada sesuatu
perbuatan. Sharifah Nor Syed Abd. Rahman et al. (2007), laras bahasa agama
digunakan untuk membincangkan isu agama seperti akidah, fiqah serta kisah-kisah
nabi dan para sahabat. Terdapat banyak penggunaan istilah agama yang dipinjam
daripada bahasa Arab. Terdapat tamsil ibarat seperti kias ibarat yang bertujuan
untuk memberi penjelasan kepada pembaca.
Melalui teks Sulalatus Salatin, kita dapat lihat bahawa
terdapat beberapa kehadiran laras bahasa himbauan. Misalnya dapat dilihat
melalui ayat-ayat yang berikut:
a)
Hatta
maka Sultan Mahmud Syah hendak menyuruh ke Pasai, bertanyakan masalah perkataan
antara Ulama Mawara’l Hartar, dan Ulama Khurasan, dan Ulama benua Irak.
(Sulalatus Salatin: 247)
b)
Man
qala: innal’llaha khaliqun wa raziqun fi’lazali faqad kafara, yakni barang
siapa mengatakan bahawa Allah subha nahu wa taala menjadikan dan memberi rezeki
pada azab, bahawa sesungguhnya kafir; Wa man qala: inna’illaha lam yakun
khaliqun wa raziqun fi’l-azali faqad kafara, yakni barang siapa mengatakan
bahawa Allah subha nahu wa taala tiada menjadikan dan tiada memberi rezeki pada
azali, maka sesungguhnya kafir.
(Sulalatus
Salatin: 248)
2.0
PENUTUP
Laras
bahasa merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seharia kita. Jumlah
laras sesuatu bahasa mencerminkan keadaan bahasa itu menjadi ukuran maju
mundurnya sesuatu bangsa. Sebagai contoh perbandingan jumlah bahasa Melayu
sebelum dan selepas merdeka, sudah dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu
bertambah dengan banyaknya yang dahulunya diperkatakan dalam bahasa Melayu
menjadi bahasa rasmi negara dan juga bahasa pengantar di institusi pengajian
tinggi.
Oleh itu, penutur bahasa Melayu haruslah mengenali laras-laras
bahasa Melayu. Malah hendaklah tahu membezakan antara laras tersebut, ciri-ciri
utama laras tertentu, terutama laras formal dan juga laras tidak formal. Maka,
sudah tentu tidak mengalami masalah menggunakan laras yang sesuai dengan
situasi. Ini amat penting bagi yang amat visible dari segi penggunaan bahasa
seperti pemimpin yang terlibat dalam saluran media elektronik. Oleh itu, amat
penting bagi golongan ini menggunakan laras yang sesuai dalam bentuk yang
sempurna.
Sebahagian laras merupakan laras baharu, oleh itu, laras-laras itulah
yang harus dipelajari sebagai suatu jenis kemahiran. Hal ini menghairankan
banyak pihak terutamanya orang Melayu itu sendiri. Sesetengah orang Melayu
berpendapat bahawa mereka tidak perlu lagi belajar perkara seperti ini. Laras
Bahasa Melayu Moden, terutama laras formal dan rasmi merupakan laras khusus
yang tidak menjadi sebahagian kehidupan rasmi.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa tidak formal.supaya masyarakat
benar-benar menguasai bahasa kebangsaan mereka sendiri. Pembelajaran laras
bahasa dalam bahasa Melayu haruslah dimulakan di bangku sekolah bukannya baru
di institut pengajian tinggi.
RUJUKAN
Ab Samad Kechot
et al. (2012). Pendidikan Warisan di Muzium: Kajian Berkaitan Penggunaan
Laras Bahasanya. Malaysia Journal of Society and Space, 8(2), 35-46.
Ab. Razak Ab.
Karim (2012). Kepelbagaian Laras Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan
Penerbitan Universiti Malaya.
Abdullah Hassan
(1997). Motivasi Belajar Berfikir. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distribution Sdn. Bhd.
Kementerian
Pelajaran Malaysia (2010). Modul Bahasa Melayu Komunikasi. Cyberjaya:
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Nik Safiah
Karim (1989). Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Sharifah Nor
Syed Abd. Rahman (2007). Bahasa Melayu Kertas 1 & 2. Kuala Lumpur:
Arah Pendidikan Sdn. Bhd.
tq info. saya pinjam ayat ya.
ReplyDelete